Amaran guru, pelajar sertai Bersih – Utusan Malaysia


Amaran guru, pelajar sertai Bersih

 

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
utusansabah@utusan.com.my

 

KOTA KINABALU 4 Julai – Guru dan pelajar yang didapati menyertai himpunan haram Bersih pada Sabtu ini akan dikenakan tindakan tatatertib oleh Kementerian Pelajaran.

Selain itu menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, mereka juga akan berhadapan dengan tindakan undang-undang daripada polis.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi kerana ingatan demi ingatan telah dikeluarkan supaya rakyat termasuk kumpulan guru dan pelajar tidak menyertai perhimpunan haram itu.

“Kita akui pada perhimpunan Bersih yang lalu memang terdapat segelintir pihak menggunakan pelajar sekolah sebagai benteng pertahanan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya di sini hari ini.

Hadir sama, Guru Besar Sk Pulau Gaya, Jamsen Elahan.

Sementara itu, Dr. Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menggesa kerajaan supaya bertindak lebih tegas terhadap dalang perhimpunan haram itu dengan menahan mereka mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dilihat sebagai langkah pencegahan paling berkesan.

Ia kerana tegas beliau, tindakan polis menahan beberapa pemimpin mengikut Ordinan Darurat langsung tidak memberi kesan terhadap kumpulan tidak bertanggungjawab itu.

Malah, beliau berkata, mereka sebaliknya dilihat semakin berani menghasut orang ramai supaya keluar beramai-ramai menyertai perhimpunan haram Sabtu ini.

”Peduli apa yang akan diperkatakan oleh negara luar, gunakan ISA bagi menghalang keadaan daripada bertukar menjadi lebih buruk,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Puad mengakui terdapat kekurangan dan kelonggaran sistem penyampaian kerajaan berhubung maklumat lengkap mengenai penjelasan konkrit kerajaan terhadap kesemua tuntutan Bersih.

“Semua tuntutan Bersih telah dijawab kerajaan tetapi apa yang menjadi masalah ialah rakyat tidak mendapat maklumat lengkap dan menyeluruh. Saya lihat ia berpunca daripada kelemahan sistem penyampaian maklumat kerajaan,” katanya.