Kakitangan awam, pelajar tajaan JPA akan dikenakan tindakan – Utusan Malaysia


Kakitangan awam, pelajar tajaan JPA akan dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR 11 Julai – Kakitangan awam mahupun pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang didapati menyertai perhimpunan haram Bersih kelmarin akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan bahagian masing-masing.

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, pihaknya sentiasa memantau penglibatan golongan itu pada perhimpunan tersebut dan masih menunggu laporan daripada pihak polis sebelum menggerakkan langkah seterusnya.

“Tidak ada sesiapa yang berkecuali dari tindakan tatatertib. Selagi mereka berkhidmat kepada kerajaan, semua kakitangan awam adalah tertakluk kepada aku janji.

“Kita yakin semua jabatan, agensi telah dimaklumkan mengenainya melalui surat pekeliling dan tindakan sewajarnya akan diambil kepada mereka yang menyertai perhimpunan haram itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Wacana Eksklusif Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Bukit Kiara di sini, hari ini.

Dalam siasatan itu, jelasnya, penglibatan golongan itu dibahagikan kepada dua iaitu secara aktif dan pasif yang akan menentukan bentuk hukuman yang akan dikenakan ke atas mereka.

Kata Abu Bakar, sejak awal lagi, golongan tersebut diingatkan supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan haram kerana ia jelas bertentangan dengan tugas kakitangan awam.

Namun, tambahnya, jika terbukti terdapat antara mereka yang melanggar arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa termasuk pihak polis, tindakan tatatertib harus diambil terhadap mereka.

“Bukannya tiada peringatan sebelum ini, ada. Jika terbukti golongan itu terlibat dalam perhimpunan itu, mereka perlu menghadapi balasannya,” ujarnya.