Pelajar tingkatan empat maut, motosikal terbabas – Bernama


Pelajar tingkatan empat maut, motosikal terbabas

27 September 2012

KUANTAN – Seorang pelajar Tingkatan Empat maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar tiang lampu jalan di Jalan Teluk Sisek dekat Pantai Teluk Chempedak, di sini hari ini.

Gabriel Rajiv Backer, 16, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata pelajar lelaki itu menetap di Taman Bukit Pelindung di sini dan merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Chempedak,

Mayat pelajar itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini. – Bernama

Pelajar tingkatan empat maut – Sinar Harian


Pelajar tingkatan empat maut

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012
Pelajar tingkatan empat maut
Anggota JPAM memeriksa Muhammad Yusri dan didapati dia sudah meninggal dunia di Kampung Jawek. Gambar kecil: Muhammad Yusri Asyraf.

JERTIH –  Seorang pelajar Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Vokasional Besut meninggal dunia apabila motosikal yang di boncengnya merempuh belakang sebuah kereta dalam kemalangan di Kampung Jawek dekat sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang, mangsa Muhammad Yusri Asyraf Ali, 16, dari Alor Lintang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, penunggang motosikal itu yang juga rakan sebaya mangsa mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, sebelum kejadian sebuah kereta Kancil yang dipandu seorang wanita datang dari arah Jertih kemudian ingin memasuki lorong sebelah kanan jalan.

“Pada masa sama motosikal yang dinaiki mangsa datang dari arah belakang telah melanggar bahagian belakang sebelah kiri kereta menyebabkan kedua-dua mangsa menghentam kereta tersebut dan terpelanting di atas jalan,” katanya.

Kamaruddin berkata, akibat kemalangan itu mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala rakannya Mohd Ikhwan Kaswadi yang belajar di sekolah sama mengalami patah kaki kanan.

Mangsa dibawa ke Bilik Mayat Hospital Besut manakala rakannya dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menurutnya, bagaimanapun wanita yang memandu kereta tersebut tidak mengalami kecederaan.

Mereka difahamkan dari Jertih dan ingin pulang ke rumah mangsa yang terletak di Rumah Awam (Tangki Air) Alor Lintang dekat Kampung Raja.