Sekolah tidak perlu sewa van lagi – Sinar Harian


Sekolah tidak perlu sewa van lagi

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 April 2013
Sekolah tidak perlu sewa van lagi
Sabri (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci kepada Ahmad sebagai gimik penyerahan di perkarangan Maahad Muhammadi Pasir Pekan.

TUMPAT – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyumbangkan sebuah van Toyota Hiace bernilai RM104,000 kepada Sekolah Maahad Muhammadi Pasir Pekan bagi kemudahan pengangkutan 884 pelajar, di sini.

Penyerahan van tersebut disempurnakan Ketua Eksekutif PKINK, Sabri Abdullah kepada Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, merangkap Adun Pasir Pekan.

Pengetua Maahad Muhammadi Pasir Pekan, Tarmizi Said berkata, sumbangan van ini memberi manfaat besar kepada pelajar.

“Setiap kali aktiviti kokurikulum di luar sekolah, pihak sekolah tidak perlu menyewa pengangkutan lain kerana ada pengangkutan sendiri.

“Begitu juga bagi kegunaan pelajar asrama untuk ke mana-mana destinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan van sekolah Maahad Muhammadi Pasir Pekan.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Pelajar, Huda Syafinaz Badri pelajar tingkatan empat berkata, dia gembira dengan sumbangan van tersebut kerana ia kemudahan yang bernilai kepada pelajar.

“Biasanya, setiap kali aktiviti luar, pihak sekolah perlu menyewa bas dan van sekolah, paling dibanggakan di van itu ada nama sekolah,” katanya.

Pelajar tingkatan enam, Siti Salsadila Ishak berkata, wajar di setiap sekolah ada pengangkutan sendiri dan sumbangan ini merealisasikan impian pelajar di sini.

“Ia aset berharga sekolah kami dan terima kasih kepada PKINK atas keprihatinan mereka menyumbangkan van kepada sekolah kami,” katanya.

47,884 calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam STPM 2012 – Berita Harian


47,884 calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam STPM 2012

2013/03/18 – 12:43:18 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Seramai 47,884 atau 92.67 peratus calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 berbanding 46,705 (92.19 peratus) pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata 18 calon mencapai keputusan cemerlang Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding 12 calon pada tahun sebelumnya.

“Pada umumnya, prestasi calon 2012 adalah lebih baik berbanding dengan prestasi 2011 di mana Purata Nilai Gred Keseluruhan (PGNK) meningkat kepada 2.24 daripada 2.22,” katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2011 di sini, hari ini.

Pada 2012, seramai 442 calon (0.86 peratus) mendapat PGNK 4.00 berbanding 300 calon (0.59) pada tahun sebelumnya.

Seramai 51,673 calon menduduki peperiksaan itu tahun lalu.

Sementara itu, Noh berkata pada 2012, MPM sudah melaksanakan sistem pentaksiran baru STPM yang menggantikan sistem pentaksiran sedia ada bermula sesi pengambilan 2012/2013.

“Pelajar tingkatan enam bawah 2012 adalah kohort pertama yang menduduki peperiksaan penggal 1 STPM 2013 yang diadakan pada 5 hingga 8 November 2012,” katanya.
Justeru, katanya keputusan peperiksaan itu akan dikeluarkan pada Khamis ini bermula jam 12.00 tengah hari.

Kerajaan Pusat peruntuk RM492,200 hargai pelajar 5A – Bernama


Kerajaan Pusat peruntuk RM492,200 hargai pelajar 5A

29 Disember 2012

BACHOK – Kerajaan pusat memperuntukkan RM492,200 menerusi wang ihsan bagi program anugerah kecemerlangan pelajar yang mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 di semua sekolah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata seramai 4,922 pelajar masing-masing menerima RM100 menerusi majlis penyampaian yang diadakan di setiap kawasan Parlimen sepanjang bulan ini.

“Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pengagihan kecemerlangan UPSR di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang.

Seramai 665 pelajar cemerlang Tahun Enam dari 34 sekolah rendah di Bachok menerima sumbangan wang ihsan yang diagihkan secara tunai berjumlah RM66,500.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata pemberian itu sebagai menghargai kesungguhan pelajar mengharumkan nama Kelantan yang berupaya berada di tangga kedua cemerlang selepas Putrajaya dalam UPSR tahun ini.

Selain itu katanya, pihaknya juga bercadang akan turut memberi sumbangan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan menengah rendah, pelajar tingkatan enam dan bakal penuntut universiti.

Awang Adek menegaskan bahawa perbelanjaan wang ihsan digunakan sebaik mungkin dengan pengagihannya dilaksanakan secara telus dan adil serta lengkap dengan laporan auditnya.

“Ini adalah wang rakyat dan saya bertanggungjawab memegang amanah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mentadbir wang berkenaan bagi keperluan rakyat berasaskan prosedur yang diputuskan di peringkat jawatankuasa pengagihan,” katanya.  – Bernama

Pelajar lemas lepas tekanan – Metro


Pelajar lemas lepas tekanan

Oleh Mohammad Ishak
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JERTIH: Hasrat seorang pelajar untuk melepaskan tekanan selepas menduduki peperiksaan percubaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan berkelah bertukar tragedi apabila dia lemas ketika mandi di Air Terjun Lata Tembakah, Hulu Besut, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, Muhamad Hafiz Hazwan Razali, 19, yang juga pelajar tingkatan enam atas Sekolah Menengah Pengkalan Chepa, Kelantan, mandi di tingkat tiga air terjun berkenaan sebelum dia tiba-tiba hilang daripada pandangan rakan-rakannya.
Rakannya, Mohd Zubaidi Zulkifli, 19, berkata, mereka dan dua lagi rakan bertolak dari rumah mangsa di Taman Pinggiran Golf, Pengkalan Cepa, Kelantan kira-kira jam 7.30 pagi dengan menunggang dua motosikal berasingan sebelum tiba di kawasan perkelahan berkenaan dua jam kemudian.

 

“Arwah mengajak kami mandi di air terjun itu untuk menghilangkan tekanan selepas menghadapi peperiksaan percubaan baru-baru ini.
“Malah selepas kira-kira 15 minit sampai di air terjun berkenaan, arwah terlebih dulu meluru ke sungai untuk mandi diikuti saya dan seorang lagi rakan manakala seorang lagi berada di tebing sungai.
“Bagaimanapun tidak lama kemudian, arwah tiba-tiba hilang dan tiada seorang pun daripada kami ternampak dia lemas,” katanya.

 

 

Menurutnya, mengesyaki perkara buruk menimpa rakannya itu, dia kemudian bergegas membuat laporan di pondok pengawal Jabatan Perhutanan di pusat perkelahan itu sebelum gerakan mencari dilakukan pihak berkuasa termasuk polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam dengan bantuan penduduk kampung.
Mayat mangsa dijumpai terdampar di dasar air terjun berkenaan kira-kira jam 1.30 tengah hari sebelum dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

 

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria yang dihubungi berkata, ketika kejadian keadaan air di tempat mangsa mandi dalam dan berarus deras selain cuaca hujan.
“Mangsa yang dipercayai pertama kali berkunjung ke kawasan perkelahan berkenaan tidak pandai berenang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10

PIBGN: Tenaga pengajar juga perlukan baucer buku – Sinar Harian


PIBGN: Tenaga pengajar juga perlukan baucer buku

ARASHY AZIM
30 September 2012

KUALA LUMPUR – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan supaya pemberian baucer buku bukan sahaja diberikan kepada pelajar tingkatan enam dan mahasiswa, tetapi wajar dipanjangkan kepada tenaga pengajar juga.

Presidennya, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan berkata, baucer tersebut bukan sahaja diperlukan oleh pelajar dan mahasiswa, malah turut diperlukan oleh penjawat awam serta warga pendidik untuk mengajar di sekolah termasuk universiti.

“Kedua-dua kumpulan ini juga akan mendapat manfaat bersama.

“Pemberian baucer buku sebanyak RM250 berbanding RM200 sebelumnya kepada 1.3 juta pelajar universiti dan tingkatan enam bukan sahaja dapat mengurangkan beban pelajar.

“Pada dasarnya, ia satu pemberian menarik dan dalam masa sama dapat menjana budaya membaca di kalangan pelajar untuk melahirkan seorang insan yang kaya dengan ilmu pengetahuan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Mengulas perkara sama, beliau menambah, baucer ini perlulah digunakan sebaik mungkin kerana ia adalah pemberian kerajaan untuk kemudahan para pelajar menambah sumber pencarian maklumat berguna ketika proses pembelajaran.

Beliau turut mencadangkan supaya pemantauan rapi dan jawatankuasa khas perlu diwujudkan bagi memastikan baucer berkenaan tidak disalahgunakan dan digunakan sebaik.

Sementara itu, katanya, kelayakan penerima pemberian bantuan persekolahan RM100 kepada 5.4 juta pelajar sekolah yang diumumkan dalam Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu perlu dikaji semula.

Beliau menjelaskan, kajian dan penelitian semula wajar dilakukan supaya pemberian tersebut hanya diberikan kepada ibu bapa yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

“Saya melihat belanjawan kali ini merupakan bajet untuk membantu rakyat secara keseluruhan dan daripada sektor pendidikan sendiri mempunyai belanjawan khusus bermula dari pra-sekolah hingga ke peringkat universiti.

“Bagaimanapun, ucapan terima kasih tetap diucapkan terhadap bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan bajet kali ini adalah bajet yang menyeluruh dari peringkat pendidikan awal sehinggalah ke peringkat universiti,” kata Mohd Ali yang juga pensyarah di Universiti Malaya (UM).

Sehubungan itu, beliau turut menekankan supaya pendidikan agama juga harus diberikan bantuan dan pembiayaan yang setara dengan sekolah harian biasa supaya taraf pendidikan ini dapat dipertingkatkan.

“Saya menyarankan dalam bajet akan datang, sekolah agama ini diberi lebih perhatian dari segi belanjawan.

“Apa yang saya dapat lihat, sekolah ini tidak mendapat pembiayaan yang mencukupi ini sedangkan ia adalah penting supaya anak-anak yang berada di sekolah agama tidak terpengaruh dengan ideologi-ideologi negatif,” tambah beliau.

Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan peruntukan sejumlah RM1 bilion di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan serta pembinaan blok tambahan.

Jumaat lalu, kerajaan turut mengumumkan sebanyak RM38.7 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan serta peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras.

Pelajar tingkatan enam ditahan belasah teman wanita – Bernama


Pelajar tingkatan enam ditahan belasah teman wanita

25 September 2012

KUANTAN – Seorang pelajar Tingkatan Enam di Lipis ditahan selepas terbabit dalam kes samun dan membelasah teman wanitanya yang juga pelajar sekelasnya.

Dalam kejadian 5.40 petang semalam iu, pelajar perempuan berusia 18 tahun itu dipukul dengan topi keledar di kepala selain ditendang berkali-kali oleh suspek.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supt Abdul Razak Hassan, suspek turut bertindak melarikan rantai leher mangsa yang bernilai RM1,000 selepas membelasahnya.

“Kes dipercayai gara-gara teman wanita suspek didakwa gagal menjelaskan hutang yang tidak diketahui jumlahnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kejadian di Tanjung Lipis, Lipis itu, mangsa ditemani tiga rakannya untuk bertemu dengn suspek bagi menyelesaikan kes hutang yang membabitkan suspek dan mangsa.

“Tiba di tempat berkenaan, suspek terus melenting dan bertindak memukul mangsa. Mangsa yang cedera di kepala dan muka menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lipis,” katanya.

Abdul Razak berkata suspek kemudiannya melarikan diri dengan motosikal, bagaimanapun berjaya ditahan pihak polis pada jam 10 malam tadi selepas mangsa membuat laporan polis pada jam 6.10 petang kejadian.

Katanya siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu kes jenayah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan tahun lepas yang bakal dibicara bulan depan.

“Suspek kini ditahan reman di Lokap Balai Polis Kuala Lipis selama  empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – Bernama

Sekolah Di PJ Setuju Pulangkan Telefon Yang Dirampas Kepada Pelajar – mStar


Sekolah Di PJ Setuju Pulangkan Telefon Yang Dirampas Kepada Pelajar
Oleh JEANNETTE GOON

PETALING JAYA: Seorang pembantu kanan di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya bersetuju untuk memulangkan telefon mudah alih yang telah dirampas daripada pelajar Tingkatan Enam semasa pemeriksaan mengejut baru-baru ini.

Seorang ibu, Lee Peng Peng berkata, dia hanya mengetahui tentang telefon milik anaknya telah dirampas apabila diberitahu mengenainya.

“Saya datang untuk mengambil telefon tersebut tetapi diberitahu yang ia hanya akan dipulangkan semula pada akhir semester. Pihak sekolah berkata bahawa semua telefon mudah alih yang dirampas dalam tempoh tiga bulan akan datang akan dipulangkan pada waktu yang sama,” tambahnya.

Lee berkata, tiada pemberitahuan secara bertulis diberikan mengenai rampasan telefon mudah alih dan menyatakan kebimbangan tentang siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya ia hilang.

Pada masa ini, para pelajar tidak dibenarkan membawa telefon mudah alih ke sekolah.

Lee dan dua lagi ibu bapa berjumpa dengan pihak berkuasa sekolah mengenai hal tersebut pada Jumaat di mana pihak berkenaan bersetuju untuk memulangkan telefon mudah alih itu kepada ibu bapa pada Isnin ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mewakili mereka berkata, seorang penjaga telah menghubungi beliau dan mengadu mengenai bagaimana sekolah tersebut tidak mahu memulangkan telefon mudah alih milik pelajar kepada ibu bapa serta-merta, yang mendakwa bahawa mereka perlu menunggu sehingga berakhirnya semester pada 30 Oktober depan.

“Walaupun terdapat peraturan yang mengatakan bahawa para pelajar tidak dibenarkan membawa telefon mudah alih ke sekolah, pihak sekolah seharusnya menggunakan budi bicara mereka,” kata beliau.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong baru-baru ini berkata bahawa para pelajar dibenarkan untuk membawa telefon mudah alih dan gajet ke sekolah bermula tahun depan selepas peraturan dan undang-undang di bawah Akta Pelajaran 1996 dipinda.

Perubahan itu, tambahnya, selaras dengan pelaksanaan program pengajaran dan pembelajaran maya dinamakan sebagai “1Bestari” yang menawarkan WiFI percuma.

Tiga suspek belasah dicari – Metro


Tiga suspek belasah dicari
SEREMBAN: Polis giat memburu tiga lelaki dipercayai suspek yang membelasah tiga pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mohd Said, Nilai, dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, semua suspek berusia 20-an terbabit melarikan diri dan tidak pulang ke rumah selepas menyedari diburu polis.
“Polis yakin semua suspek ditahan tidak lama lagi kerana identiti mereka dikenal pasti.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan masing-masing kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan mengugut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/10

Transformasi Tingkatan Enam: Gagasan saran kerajaan laksana projek perintis – Bernama


Transformasi Tingkatan Enam: Gagasan saran kerajaan laksana projek perintis

8 Julai 2012
KUALA TERENGGANU – Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menyokong penuh langkah kerajaan untuk menambah baik pendidikan tingkatan enam selaras dengan sistem pendidikan prauniversiti lain termasuk kolej matrikulasi.

Setiausaha Agungnya Syed Anuar Syed Mohamad berkata untuk itu, Gagasan mencadangkan agar Kementerian Pelajaran menjalankan projek perintis secepat mungkin dengan memilih sebuah sekolah di setiap negeri bagi merealisasikan transformasi tersebut.

“Langkah itu penting sebagai satu permulaan dan sekiranya memberi kesan positif, ia perlu diperluaskan ke sekolah lain di seluruh negara.

“Memang sejak dulu lagi Gagasan mencadangkan usaha itu dan kesediaan kerajaan berbuat demikian amat dialu-alukan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Yogyakarta, Indonesia kelmarin, bahawa kerajaan akan membuat penjenamaan semula pendidikan tingkatan enam selaras dengan sistem pendidikan prauniversiti lain seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dilapor berkata selain dipisahkan dari sekolah menengah sedia ada, pelajar tingkatan enam juga akan dididik oleh golongan guru yang berbeza.

Mengulas lanjut, Syed Anuar berkata pada amnya pelajar tingkatan enam tidak lagi sesuai untuk berada dalam kelompok yang sama dengan pelajar lain kerana mereka lebih matang.

Cadangan pengasingan itu memang wajar khususnya dalam usaha membentuk daya kepimpinan berkualiti setaraf dengan pelajar prauniversiti, katanya.

Katanya Gagasan juga menyambut baik hasrta Kementerian Pelajaran untuk menjadikan semua sekolah di seluruh negara sebagai sekolah satu sesi.

Bagaimanapun ketanya kementerian itu perlu terlebih dahulu memastikan segala inrafstruktur lengkap bagi menampung keperluan pelajar dan guru di sekolah terbabit. – Bernama

Subjek Sejarah patut dikemas kini – Bernama


Subjek Sejarah patut dikemas kini
2012/06/07

GEORGETOWN: Kementerian Pelajaran disaran mengemas kini sukatan mata pelajaran Sejarah terutama bagi pelajar Tingkatan Enam supaya selaras penemuan teori terkini dan penambahan maklumat oleh sejarawan negara.

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Abu Talib Ahmad, berkata beberapa tahun kebelakangan ini banyak aspek yang tercicir dalam subjek Sejarah dibangkitkan ahli sejarah melalui penyelidikan mereka.
“Sebagai contoh sudah sekian lama kita percaya bangsa Melayu berasal dari Yunan tetapi hasil kajian terkini mendapati bangsa itu datang dari Taiwan berkembang di Borneo seterusnya Palembang sehinggalah beranak-pinak di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Antarabangsa Perantauan Sumatera-Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CEnPRIS) di kampus USM di sini, semalam.

Abu Talib berkata, penekanan fakta sejarah juga perlu melihat daripada semua aspek termasuk sosial, agama, budaya, makanan dan sebagainya, bagi membantu pelajar memahami ilmu sejarah dengan lebih terperinci dalam konteks yang lebih luas.

Sementara itu, Sasterawan Negara, Prof Emeritus Muhammad Salleh berkata, tema dalam sukatan mata pelajaran juga perlu diperluas bagi menarik perhatian generasi muda kerana subjek Sejarah itu adalah kunci bagi memupuk semangat nasionalisme kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Kurikulum di sekolah menggalakkan penghafalan menyebabkan kebanyakan pelajar menjauhi mata pelajaran itu kerana ia membosankan. Sebenarnya Sejarah itu lebih menarik jika watak dan kerangka waktu dalam subjek dilakonkan semula,” katanya.
Seminar tiga hari bermula semalam menghimpunkan 26 pembentang dari institusi pengajian tinggi tempatan dan Indonesia bagi mengupas 23 kertas kerja mengenai perkembangan susur galur bangsa Melayu dan menggalakkan kerjasama intelektual bangsa serumpun di rantau ini. – BERNAMA