Pelajar tingkatan lima maut motosikal bertembung kereta – Bernama


Pelajar tingkatan lima maut motosikal bertembung kereta

13 Februari 2013

KUANTAN – Seorang pelajar tingkatan lima maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Km34, Jalan Temerloh-Bahau, dekat Bera semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 1.20 pagi itu, pelajar berkenaan, Hermawan Jumadi Yanto, 17, dari Taman Triang Maju, Triang dipercayai sedang berlumba dengan beberapa penunggang motosikal lain.

Pelajar itu meninggal dunia pada kira-kira 3.50 pagi semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya pemandu kereta berkenaan, Chue Choy Yeen, 42, pekerja swasta yang berasal dari Kerayong, dekat Temerloh bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
– Bernama