Pelajar Tingkatan Satu maut motosikal ditunggang terbabas – Bernama


Pelajar Tingkatan Satu maut motosikal ditunggang terbabas

23 Jun 2012
TELUK BAHANG – Seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dalam kejadian di Jalan Teluk Bahang, di sini awal pagi ini.

Mohamad Firmanshah Iskandarshah, 13, yang menunggang motosikal itu bersama rakannya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Hatta Md Zin berkata kejadian berlaku 2.30 pagi dan mangsa dipercayai menunggang dengan laju ketika menuruni bukit di kawasan itu.

“Mangsa gagal mengawal motosikalnya dan terbabas sebelum dia terhumban ke dalam longkang berhampiran tanah perkuburan Cina di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata rakan mangsa yang berusia 14 tahun bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Balik Pulau. – Bernama