Pelajar tumbuk tengkuk pengetua – Sinar Harian


Pelajar tumbuk tengkuk pengetua

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Jun 2013

TEMERLOH – Seorang pengetua sebuah sekolah di bandar Temerloh cedera ringan selepas mendakwa ditumbuk tiga kali oleh seorang pelajar tingkatan lima sekolahnya.

Kejadian dipercayai berlaku Selasa lalu apabila pengetua terbabit yang melakukan rondaan sekitar kawasan sekolah menemui sebuah telefon bimbit lalu menyimpannya.

Selepas beberapa minit, datang seorang pelajar tingkatan lima menuntut telefon bimbit itu yang didakwa miliknya.

Bagaimanapun pengetua terbabit enggan memulangkannya mengakibatkan pelajar tersebut berang lalu melepaskan tumbukan di tengkuk mangsa.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh enggan mengulas lanjut tetapi mengesahkan kejadian dan pihaknya telah memanggil pelajar serta pengetua terbabit untuk diambil keterangan.

Menurutnya, polis telah membuka siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 323 kerana mendatangkan kecederaan dan pelajar terbabit dilepaskan selepas memberi keterangan.