Pelan pendidikan dibentang hujung bulan ini – Utusan


Pelan pendidikan dibentang hujung bulan ini

MELAKA 22 Jan. – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi ke arah memperkasakan sistem pendidikan negara akan dibentang kepada Jemaah Menteri hujung bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau yakin pelan itu dapat disiapkan sepenuhnya pada masa ditetapkan memandangkan pelan tersebut ketika ini sudah mencapai 99.9 peratus.

“Kita akan bentangkan dalam sesi Jemaah Menteri khas pada 30 haribulan ini dan selepas diluluskan, kita akan segera laksanakan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia Bersama Pemimpin dan penyampaian Bantuan Awal Persekolahan RM100 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek, Cheng, dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, terdapat perubahan sangat besar dalam PPPM melibatkan semua pihak merangkumi golongan pendidik, pihak sekolah, masyarakat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, perubahan itu bertujuan meningkatkan kedudukan negara dari sudut pendidikan ketika ini kepada antara tahap terbaik di dunia.

“Dalam tempoh masa 13 tahun ini, akan ada anjakan besar melibatkan semua peringkat bukan sahaja warga pendidik tetapi masyarakat, pemimpin, PIBG, serta komuniti dan kita rangkumkan dalam pelan yang saya rasa inklusif ini.

“Tiada yang diasingkan, semua akan terlibat,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130123/dn_10/Pelan-pendidikan-dibentang-hujung-bulan-ini#ixzz2IlqrfNjw
© Utusan Melayu (M) Bhd