Pelarasan gaji ikut tarikh kuat kuasa – Utusan


Pelarasan gaji ikut tarikh kuat kuasa

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Pembayaran gaji di bawah Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hanya akan dibuat setelah semakan semula mengenainya dimuktamadkan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan di sini hari ini menyatakan, pembayaran pelarasan gaji itu akan dibuat dengan mengambil kira tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Januari 2012.

“Bagi penjawat awam yang memilih opsyen SBPA, pembayaran baki perbezaan gaji bagi bulan Januari 2012 di bawah SBPA tidak dapat dilaksanakan pada 31 Januari tahun ini.

“Pembayaran gaji bulanan di bawah SBPA mulai Februari ini juga tidak dapat dilaksanakan dan akan dibayar mengikut gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM),” jelas kenyataan itu.