Pelbagai gelagat, ragam pelajar duduki PMR – Utusan


Pelbagai gelagat, ragam pelajar duduki PMR

Sebahagian pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman Ipoh mengambil peperiksaan Pernilaian Menengah Rendah, Ipoh, Perak, semalam.

 

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Pelbagai gelagat dan ragam dapat dilihat apabila seramai 481,147 pelajar tingkatan tiga di seluruh negara menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang bermula hari ini dan akan berakhir 11 Oktober ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pelajar yang terlibat masih sempat membuat ulang kaji terakhir sebelum menduduki dewan peperiksaan.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat, Pauziah Mahmood, 57, berkata, pihaknya membuat pelbagai persediaan untuk pelajarnya dengan membuat latih tubi, bengkel dan klinik serta ujian pra PMR yang diadakan sendiri.

“Kami harapkan seramai 284 calon PMR berdaftar di sini akan membuat yang terbaik dan menyasarkan 60 pelajar mendapat kesemuanya gred A.

“Sebelum peperiksaan ini, saya sendiri berjumpa setiap calon PMR yang berkesempatan untuk bertanya khabar dan memberi ‘lencana pin’ yang tertulis kata-kata semangat seperti ‘saya adalah terbaik’ dan ‘menjadi yang terbaik’ agar mereka yakin kepada diri sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut memberi kata-kata perangsang kepada pelajar tingkatan tiga yang menduduki PMR.

Seramai 481,147 pelajar hari ini menduduki PMR dengan kertas pertama adalah Bahasa Melayu dan seterusnya Pendidikan Islam.

Tambah Pauziah, pihaknya juga menyediakan minuman pagi dan biskut bagi membekalkan sedikit tenaga kepada pelajar-pelajar yang tidak sempat bersarapan.

Sementara itu, salah seorang pelajar sekolah tersebut, Nazlin Adlina, 15, berkata, dia bersyukur kerana dapat menjawab kertas soalan pertama tersebut dengan baik ekoran persiapan dan latihan yang telah dibuat.

Jelasnya, dia berterima kasih kepada guru yang mengajarnya dan mendoakan agar semuanya berjalan dengan lancar.

Rakannya, Farah Wahida, 15, pula berkata, dia sedikit gementar apabila menduduki peperiksaan itu.

“Saya akan cuba menjawab soalan PMR sebaik mungkin untuk mendapat keputusan yang baik,” katanya.