Tanam azam hadiah 5A – Metro


Tanam azam hadiah 5A

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: “Ini hadiah paling bermakna kepada pengorbanan ayah dan ibu,” kata Adam Muqrish Azlisham, 12, anak bekas penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Azlisham Ibrahim, 39, dan pelakon serta model, Wan Khadijah Wan Othman, 36, yang memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9 di sini itu, berkata ibunya kini berada di Paris kerana urusan perniagaan.
“Ibu dan ayah mendorong kejayaan ini kerana mereka kerap menghantar saya ke sekolah dan kelas tambahan selain memastikan saya mengulang kaji pelajaran setiap hari. “Walaupun masing-masing sibuk dengan kerja, pengorbanan masa diberikan mereka adalah kekuatan sehingga saya berjaya hari ini,” kata anak sulung daripada empat beradik ini. Adam Muqrish yang mahu mengikut jejak bapanya sebagai pemain bola sepak profesional berkata, pengorbanan ayah dan ibunya yang mencuri masa memantau pelajarannya walaupun sibuk, mendorongnya menanam azam untuk menghadiahkan kejayaan kepada mereka.

 

“Sebagai jurulatih pasukan bola sepak Selangor bawah 21 tahun, bapa sentiasa sibuk manakala ibu pula menguruskan perniagaan. Namun mereka tetap memastikan kerja sekolah saya siap dan jika ada waktu terluang, menjadi guru di rumah,” katanya. Adam Muqrish memperoleh A bagi Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Azlisham ketika ditemui berkata amat berbangga dengan kejayaan anak sulungnya dan sentiasa memberikan perhatian penuh kepada pelajaran anak-anaknya.
“Saya tidak bercadang menghantarnya ke sekolah berasrama kerana mahu melihat dia membesar di depan mata. Saya akan pastikan Adam belajar lebih tekun dan terus berjaya,” katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20

Remaja Malaysia sertai kelab bola sepak Itali – Bernama


Remaja Malaysia sertai kelab bola sepak Itali

14 Ogos 2012

Pemain bola sepak remaja Malaysia yang baru berusia 15 tahun, Sean Gan Giannelli
KUALA LUMPUR – Pemain bola sepak remaja Malaysia yang baru berusia 15 tahun, Sean Gan Giannelli, akan menyertai kelab Itali, Atletico Arrezo untuk pasukan bawah 17 tahunnya di Tuscany pada 20 Ogos ini, selepas berjaya menawan hati jurulatih dan kakitangan teknikal kelab baru-baru ini.

Sean yang berdarah campuran Itali-Malaysia, merupakan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan berlatih serta bermain dengan pasukan Bukit Jalil bawah 17 tahun, iaitu skuad pelapis pasukan kebangsaan.

Bapanya, Massimo memberitahu Bernama dari Milan, beliau berbangga dengan pencapaian anak lelakinya memandangkan remaja itu menjadi rakyat Malaysia pertama mewakili kelab bola sepak remaja Itali selepas menjalani percubaan pada Jun.

“Dia anak muda yang bercita-cita tinggi dan matlamat hidupnya ialah bermain bola sepak secara profesional pada tahap tertinggi di Eropah dan daripada apa yang dia capai setakat ini, tidak ada apa yang tidak boleh dilakukannya,” katanya menambah yang beliau sedang melakukan persiapan untuk Sean di Itali.

Katanya kepantasan dan teknik yang dipamer Sean sebagai pemain penyerang, memikat hati ketua jurulatih kelab Serie D itu Abel Balbo, yang juga bekas pemain pasukan Argentina dan bermain bersama legenda bola sepak Maradona.

Balbo menyumbat 150 gol ketika bermain dalam Serie A dan pernah bermain untuk kelab AS Roma, Udinese, Fiorentina, Parma dan Boca Juniors.- Bernama