Ikrar sarapan pelajar luar bandar – Kosmo


Ikrar sarapan pelajar luar bandar

RAMAI kanak-kanak sekolah akan mendapat manfaat khasiat Milo melalui kempen nutrisi Gerakan Nutrisi Milo dan juga seruan ikrar di laman Facebook Milo Malaysia.

TENAGA untuk kekal cergas sepanjang hari, setiap hari. Itulah mesej utama yang ingin disampaikan oleh Milo menerusi kempen nutrisi yang dinamakan Gerakan Nutrisi Milo.

Kempen tersebut bertujuan mendidik ibu-ibu di Malaysia tentang kepentingan kanak-kanak mendapatkan keseimbangan antara khasiat dan tenaga yang betul dalam pemakanan mereka.

Buat kali pertama, Milo Malaysia akan melancarkan kutipan ikrar selama sebulan menerusi laman Facebook Milo Malaysia.

Ia adalah untuk meraih sekurang-kurangnya 10,000 ikrar yang akan membolehkan 10,000 sajian sarapan dibekalkan kepada para pelajar sekolah-sekolah luar bandar terpilih di seluruh Malaysia.

Gerakan Nutrisi Milo bertujuan mendidik ibu-ibu bahawa amalan peminuman yang betul juga sama penting untuk tumbesaran kanak-kanak.

Minuman sihat seperti Milo dapat membekalkan khasiat pemakanan tambahan dan melengkapi diet yang seimbang bagi memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan terbaik.

Dalam menekankan betapa pentingnya sarapan yang sesuai bagi kanak-kanak, kempen tersebut menjelaskan juga mengenai kandungan malt coklat Milo yang berzat, menyihatkan dan boleh memberikan tenaga.

Kerajaan Malaysia bersikap proaktif menggalakkan pemakanan sihat di sekolah-sekolah dengan mencadangkan larangan jualan makanan tertentu.

Program Bulan Khasiat Pemakanan Malaysia dan dasar 1Pelajar 1Sukan juga menunjukkan kerajaan turut memandang berat usaha meningkatkan kesedaran pemakanan serta gaya hidup aktif dan sihat.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2008, hampir 30 peratus murid-murid sekolah rendah tidak bersarapan hampir dua hingga tiga kali seminggu.

Pemakanan ideal

“Dalam pasaran Minuman Khasiat Kesihatan di Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mendidik ibu-ibu di Malaysia tentang pemakanan yang sesuai bagi anak-anak mereka.

“Milo sudah bertapak di Malaysia selama lebih 60 tahun dan kami sentiasa komited untuk memberikan minuman berkhasiat yang terbaik kepada pengguna kami,” kata Pengarah Eksekutif, Unit Kopi dan Minuman, Nestle Products Sdn. Bhd., Don Howat.

Tambahnya, menerusi penyelidikan yang dijalankan sejak bertahun-tahun lamanya, pakar nutrisi Milo telah menemui keseimbangan yang betul antara vitamin dan mineral untuk memberikan tenaga serta khasiat yang mencukupi supaya kanak-kanak kekal aktif sepanjang hari.

“Milo mungkin dikenali ramai kerana rasa malt coklat yang hebat, tetapi pengguna kami juga diberi jaminan bahawa kandungan dalam satu cawan Milo dengan Protomalt dan Actigen-E mampu memberikan anak-anak mereka khasiat pemakanan dan tenaga secukupnya untuk memulakan hari,” ujarnya.
JENAMA dan rasa minuman Milo sudah lama sebati dalam amalan seharian masyarakat Malaysia terutamanya kanak-kanak.

Protomalt ialah sejenis ekstrak barli malt yang memberikan bekalan karbohidrat yang secukupnya untuk tenaga, manakala Actigen-E ialah kombinasi lapan vitamin dan empat mineral yang mengoptimumkan pembebasan tenaga daripada makanan.

Menyedari bahawa para ibu yang menentukan pemakanan anak-anak mereka, sasaran utama bagi Gerakan Nutrisi Milo ialah golongan ibu yang mempunyai anak-anak berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Kaji selidik

Milo telah menjalankan kaji selidik ke atas ahli Dear Nestle untuk menggalakkan maklum balas atau soalan tentang nilai nutrisi Milo di laman Facebook (www.facebook.com/MiloMalaysia).

Selain merombak laman web http://www.milo.com.my untuk memaparkan berita dan maklumat terkini tentang Milo dan aktivitinya, Milo Malaysia juga menggalakkan ibu bapa untuk menyumbangkan ikrar sebagai tanda sokongan kepada Gerakan Nutrisi Milo dilaman Facebook.

Apabila jumlah ikrar telah mencapai sasaran 10,000 ikrar, 10,000 sajian sarapan yang ditaja sepenuhnya oleh Milo akan dibekalkan ke sekolah-sekolah luar bandar yang terpilih dari seluruh Malaysia.

Kutipan ikrar tersebut akan berlangsung bermula 18 Jun hingga 18 Julai 2012.

Dalam pada itu, aktiviti lain yang bakal diadakan adalah kegiatan di lokasi, penerangan ciri produk di pelbagai pasar raya besar dan pasar raya selain membuat kunjungan ke sekolah-sekolah.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Gerakan Nutrisi Milo dan ikrar yang boleh dibuat, sila kunjungi http://www.facebook.com/MiloMalaysia.

Pengusaha kantin masih jual 15 jenis ‘makanan tak sihat’ – Berita Harian


Pengusaha kantin masih jual 15 jenis ‘makanan tak sihat’
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/02/08

Abai garis panduan tangani masalah obesiti murid sekolah

KEMENTERIAN Pelajaran perlu melaksanakan segera larangan penjualan 15 makanan diproses di kantin sekolah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan sejak sembilan bulan lalu dan sepatutnya berkuatkuasa Jun lepas. Ini kerana kegagalan mengeluarkan arahan atau surat pekeliling kepada pengusaha atau operator kantin sekolah menyebabkan makanan dan minuman tidak berkhasiat itu masih dijual secara berleluasa.

Tinjauan Berita Harian di sekolah di Subang Jaya dan Petaling Jaya mendapati juadah itu termasuk ais krim dan minuman bergas yang tersenarai sebagai makanan dilarang mengikut Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata antara kekangan pelaksanaannya adalah ketiadaan kerjasama daripada pihak pengusaha kantin atau operator kantin sekolah, pihak sekolah serta ibu bapa.

“Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan oleh Kementerian Kesihatan hanya boleh dilaksanakan menerusi kerjasama pihak sekolah, operator kantin, pelajar dan ibu bapa.
“Tindakan terhadap pengusaha kantin sekolah tidak boleh dilaksanakan kerana ia bukan dasar sebaliknya hanya garis panduan,” katanya kepada Berita Harian selepas melancarkan Pertandingan Antiaedes Renjer Ridsect peringkat Sekolah Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pada pengumuman April tahun lalu, Kementerian Pelajaran sepatutnya mengeluarkan pekeliling kepada pihak sekolah untuk melarang penjualan makanan larangan berkenaan, bagaimanapun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Cadangan larangan 15 jenis makanan yang dilarang penjualannya di sekolah terkandung dalam draf garis panduan penjualan makanan di kantin sekolah yang diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 April tahun lalu.

Berita Harian sebelum ini menyiarkan makanan diproses seperti burger, sosej dan nuget serta teh dan kopi ialah antara 15 jenis makanan `tidak sihat’ yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai Jun tahun lalu.

Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan makanan ringan.

Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan, termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru.

Garis panduan itu dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes dalam kalangan pelajar.

Penyenaraian 70 jenis makanan dan larangan 15 jenis makanan itu disediakan Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Larangan penjualan makanan tidak sihat sejajar dengan usaha kementerian menangani masalah obesiti dan diabetes yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat, terutama kanak-kanak, selain dijadikan langkah pencegahan peringkat awal.