Pemandu lori dijel setahun pukul anak – Utusan


Pemandu lori dijel setahun pukul anak

SHAH ALAM 10 Jan. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap seorang pemandu lori yang didapati bersalah memukul anaknya yang berusia lapan tahun dengan kerusi di kepala, tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menetapkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Nor Azlizan Jusoh, 33, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret yang hanya mengenakan denda terhadap lelaki itu.

Menurut hakim tersebut, hukuman denda RM6,000 atau penjara enam bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 2 November tahun lalu terhadap tertuduh adalah terlalu ringan.

Beliau bagaimanapun mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret itu manakala hukuman penjara setahun diperintah berkuat kuasa selepas hukuman penjara enam bulan yang sedang dijalani oleh tertuduh kerana gagal membayar denda, berakhir.

Hakim Abdul Halim turut menetapkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun selepas menjalani hukuman berserta syarat dia menjaga kebajikan anak dan isterinya.

Beliau menasihati tertuduh mengenai tanggungjawab suami dan bapa sepatutnya melindungi dan membelai isteri serta anak bukannya memukul mereka.

Abdul Halim juga berharap hukuman tersebut akan memberi pengajaran dan kesedaran kepada tertuduh dan orang ramai bahawa kesalahan tersebut sangat serius.

Tertuduh sebagai seorang yang memelihara anaknya Kamelia Emelda didakwa menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal di kepala dengan memukul mangsa menggunakan kerusi plastik.

Kejadian berlaku di No.95, Jalan Sultan Abdul Samad 3, Bandar Sultan Suleiman, Klang pada pukul 8.30 malam, 26 Oktober tahun lalu.

Menurut fakta kes, isteri tertuduh melaporkan kepada pihak polis tentang kejadian itu selepas melihat suaminya memukul anak mereka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130111/ma_03/Pemandu-lori-dijel-setahun-pukul-anak#ixzz2Hf8p3WdK
© Utusan Melayu (M) Bhd