Tambah Baik Sekolah Berisiko Banjir – Ka Siong – Bernama


Tambah Baik Sekolah Berisiko Banjir – Ka Siong

KANGAR: Kementerian Pelajaran akan memastikan projek pembangunan sekolah di kawasan berisiko banjir turut mengambil kira aspek tambahan termasuk meningkatkan ketinggian lantai bangunan sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Selain itu, pihaknya juga mengkaji kemungkinan membina bangunan sekolah yang lebih tinggi di kawasan berisiko seperti membina blok setinggi tiga tingkat, katanya pada Jumaat.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat projek pembangunan sekolah di negeri ini, beliau berkata kerajaan tidak akan meminggirkan pembangunan sekolah di kawasan berisiko banjir kerana ia merupakan satu keperluan.

“Kita mungkin bina tapak bangunan yang lebih tinggi walaupun ia tidak memberi jaminan bebas daripada ancaman banjir,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang meneliti sekolah yang memerlukan sistem pendawaian dikemas kini demi keselamatan sekolah dan pelajar.

Mengenai lawatannya, Wee berkata ia bertujuan meninjau pelaksanaan projek tambahan dan pembaikan enam buah sekolah bantuan kerajaan yang membabitkan peruntukan RM1 juta.

“Setakat ini saya amat berpuas hati dengan pelaksanaan pembangunan enam sekolah berkenaan termasuk dua projek yang hampir siap,” katanya.

Mengenai perhimpunan pembangkang di ibu negara esok, beliau yang juga Ketua Pemuda MCA berharap para pelajar tidak dieksploitasi untuk tujuan politik pembangkang.

Katanya ibu bapa perlu memastikan anak mereka memberi tumpuan kepada pelajaran dan tidak menyertai sebarang kegiatan yang merugikan mereka. –BERNAMA

Berkat kerjasana Ibu Bapa, Guru – Sinar Harian


Berkat kerjasana Ibu Bapa, Guru
NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK
16 Julai 2012

Suriani beramah mesra dengan penjual pada program tersebut.
Bagi sesebuah sekolah, keperluan mengumpul dana untuk sesuatu perancangan pasti tidak akan berjaya jika tiada sokongan daripada warga sekolah dan masyarakat sekeliling yang keseluruhannya bertujuan meningkatkan mutu pendidikan serta pembangunan sekolah.

Selain mendapat dana daripada kerajaan, banyak lagi dana mahu digunakan justeru berdikari untuk mencari dana sendiri lebih memuaskan pihak sekolah untuk menyediakan kemudahan dan kelengkapan pendidikan yang sempurna kepada pelajarnya.

Begitulah dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam apabila berinisiatif mengadakan program Bacaton dan Hari Koperasi 2012 baru-baru ini yang dilihat mendapat sambutan menggalakkan daripada warga sekolah. Majlis dua hari itu telah dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan, Manap Katis.

Pengetuanya, Datin Suriani Supardi berkata, kerjasama daripada ibu bapa, guru, pelajar dan masyarakat sekitar amat penting untuk mendorong pihak sekolah menghasilkan pelbagai kecemerlangan baik dalam akademik atau kokurikulum.

Menurutnya, justeru melalui penganjuran program seperti Bacaton dan Hari Koperasi sekolah sedikit sebanyak menyumbang dana kepada sekolah hasil kutipan pelajar dan guru menggunakan sistem kad.

“Kami hanya membenarkan pelajar tingkatan lima mengutip sendiri dana masing-masing manakala kad kutipan pelajar bawah 16 tahun dipegang oleh ibu bapa untuk mengumpul dana.

“Kutipan Bacaton ini telah bermula pada 2 Julai sehingga 26 September ini yang menyasarkan dana sebanyak RM100,000 hingga RM150,000 untuk pelbagai tujuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Untuk pengetahuan, program Bacaton diadakan semula oleh pihak sekolah setelah kali terakhir diadakan pada 2008 di mana program yang sama tetapi dengan nama berbeza iaitu Senamrobikton.
Dana pembangunan sekolah

Kata Suriani, pemilihan nama Bacaton ini bersesuaian dengan objektif sekolah untuk mengumpul dana bagi kegunaan Pusat Sumber Sekolah (PSS) sebagai persediaan pada Pertandingan PSS Peringkat Kebangsaan tahun hadapan.

“Selain itu, dana kepada PSS ini, bagi menambah baik pengurusan dan kelengkapan PSS sekolah yang sering digunakan pelajar untuk mencari bahan rujukan serta mengulang kaji pelajaran.

“Justeru pada tahun lepas, PSS kami menerima Anugerah PSS terbaik Peringkat Negeri dan berharap pada peringkat Kebangsaan nanti akan turut menerima anugerah terbaik,” katanya.

Suriani menambah, selain dana untuk PSS, pihak sekolah juga mahu menggunakan dana tersebut untuk program peningkatan prestasi sekolah dan pembentukan sahsiah pelajar.

“Kami mahu memastikan keputusan pelajar sentiasa cemerlang dan meningkat dengan adanya pelbagai program pendidikan yang diadakan pihak sekolah hasil kerjasama ibu bapa dan pelajar sendiri.

“Sejak program peningkatan prestasi diadakan, kita nampak hasil sangat memberangsangkan apabila baru-baru ini, sekolah menerima Anugerah Kualiti Lonjakan Saujana peringkat negeri dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah tahun lalu,” katanya.

Kejayaan itu kata Suriani merupakan berkat kerjasama antara PIBG dan sekolah di mana ibu bapa sangat memberi kepercayaan kepada pihak sekolah untuk mengadakan pelbagai program demi kebaikan anak-anak mereka.

Tidak penting juga kata Suriani, dana daripada Bacaton ini nanti akan turut digunakan untuk menyiapkan surau sekolah yang kini 80 peratus telah siap.

“Surau sekolah ini, hanya tinggal menyiapkan bilik air dan tempat mengambil wuduk sahaja dan dijangka akan dirasmikan pada 26 September akan datang jika kutipan mencapai sasaran yang diingini.

“Pembinaan surau ini sebagai menampung jumlah pelajar yang semakin ramai dan memudahkan sekolah mengadakan program keagamaan di surau yang lebih selesa dan besar,” katanya yang telah berkhidmat sebagai Pengetua di sekolah berkenaan selama tujuh tahun.
Nilai keusahawanan

Pada program Bacaton dan penutupan Hari Koperasi itu, pelbagai gerai jualan diadakan oleh pelajar dan kakitangan sekolah termasuk pihak luar yang merangkumi gerai makanan, pakaian, permainan dan perkhidmatan.

Suriani berkata, secara langsung, penjualan ini memberikan kemahiran baru kepada pelajar untuk mempelajari selok-belok perniagaan sekali gus menerapkan nilai keusahawanan dalam diri pelajar.

“Dalam urusan penjualan dan pembelian, kami menggunakan kaedah kupon yang tertera harga 50 sen, RM1, RM2 dan RM5 dan kaunter jualan kupon disediakan untuk memudahkan pembeli membeli barangan yang diingini.

“Setiap hasil jualan, 20 peratus daripada keuntungan akan disumbangkan kepada sekolah dan selebihnya menjadi milik peniaga berkenaan. Selain membeli barang, pembeli dan penjual secara tidak langsung turut menyumbang dana kepada sekolah,” katanya.

Pencapaian yang turut boleh dibanggakan adalah apabila, sekolah yang mempunyai 2200 pelajar dan 148 guru ini merupakan antara tiga sekolah pertama yang mewujudkan Koperasi (Coop 1 Malaysia) di negara ini.

“Coop ini menjual pelbagai barangan keperluan harian untuk kemudahan warga sekolah dan ibu bapa dengan harga berpatutan.

“Keuntungan daripada pengurusan Coop 1Malaysia ini, akan turut disumbangkan kepada sekolah sebagai kutipan dana untuk pelbagai kegunaan,” katanya.

Jelas Suriani, semua pencapaian ini adalah usaha sama semua pihak terutama ibu bapa yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada sekolah demi melihat sekolah dan anak berjaya dalam pelbagai bidang.

Bajet tambahan 12 peratus – Sinar Harian


Bajet tambahan 12 peratus

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 14, 2012

KLUANG – Sektor pendidikan agama menerima peruntukan tambahan sebanyak 12 peratus daripada Kerajaan Negeri pada tahun ini khusus untuk menggandakan lagi aktiviti-aktiviti keagamaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sebelum bajet tambahan ter­­sebut dimaklumkan, Kerajaan Ne­geri telah memperuntukkan bajet sebanyak RM180 juta pada 2011 khusus untuk pengurusan pendidi­kan agama.

“Walau bagaimanapun, untuk portfolio agama, peruntukan yang diterima adalah peruntukan terbesar daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapannya sempena Majlis Peng­isytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA), Sijil Intensif Bahasa (SIB), Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) dan Peng­anu­gerahan Kecemerlangan Ujian Pe­nilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi tahun 2011 yang diadakan di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, dari segi pembinaan sekolah agama di negeri ini, Kerajaan Negeri tetap akan memberi keu­ta­maan kepada pendidikan agama dengan menambahkan jumlah sekolah agama mengikut keperluan semasa.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan sedang membina 121 sekolah agama. Ia dibina berikutan terdapat sekolah-sekolah agama yang menumpang.

“Pembinaannya dijangka siap selewat-lewatnya pada 2013 dengan kos lebih daripada RM200 juta.

“Dengan pembinaan tersebut ia menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sangat prihatin dalam pembangunan pendidikan agama di negeri ini,” katanya.

Katanya, Majlis Agama Islam Johor (Maij) telah mengeluarkan RM61.9 juta dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini bagi pembangunan sekolah agama rakyat (SAR), Skim Wakaf Kitab, bantuan anak-anak yatim dan insentif untuk pelajar tahfiz.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan sentiasa memberi perhatian dan sokongan terhadap program pembangunan pendidikan agama di negeri ini, khususnya yang menjurus ke arah pembentukan dan perkembangan minda anak-anak.
“Malah, ianya bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan warga Malaysia yang berilmu dan berpengetahuan menjelang 2020,” katanya.