Sekolah dalam hospital ditambah – Sinar Harian


Sekolah dalam hospital ditambah

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mac 2013

MUAR – Sebanyak tiga lagi sekolah dalam hospital kerajaan bakal dibuka pada tahun ini sebaik kerja pengubahsuaian siap dilaksanakan.

Tiga sekolah berkenaan adalah di Sarawak, Sabah dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, di sini.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abd Rahman berkata, kerja pengubahsuaian bangunan kini sedang giat dilakukan dan dijangkakan memulakan kelas pada akhir April ini.

“Sebelum ini, tujuh sekolah dalam hospital iaitu di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang, Hospital Ampang, Hospital Kuala Krai,
Kelantan dan Hospital Temerloh di Pahang telah berjaya diwujudkan.

“Pembukaan sekolah ini bertujuan mengelakkan pelajar yang sedang menjalani rawatan jangka panjang di hospital tercicir dalam pelajaran,” katanya ketika berucap merasmikan Rumah Kasih HPSF di Jalan Salleh, di sini, kelmarin.

Menurutnya, program anjuran Yayasan Nurul Yakin dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan itu membolehkan pelajar yang terpaksa dirawat di hospital berpeluang meneruskan pelajaran mereka.

Mengulas berkaitan Rumah Kasih HPSF itu, Noorainee berkata, rumah tersebut membantu memudahkan keluarga pesakit yang terpaksa bermalam di hospital berkenaan yang jauh dari kediaman masing-masing.

“Mereka hanya perlu membayar RM10 semalam untuk tinggal sementara di rumah itu sehingga keluarga mereka yang dirawat dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyeru syarikat korporat supaya menyumbang kepada tabung yayasan berkenaan untuk membolehkan lebih banyak rumah seumpama itu diwujudkan di hospital di seluruh negara.

Selain itu, Noorainee yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai, kemudiannya meninjau kerja pengubahsuaian dua bilik darjah sekolah dalam hospital di hospital berkenaan.

Gadis terjebak dalam masalah moral – Sinar Harian


Gadis terjebak dalam masalah moral

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 September 2012

JOHOR BAHRU – Keseronokan melakukan seks kali pertama selepas terpengaruh dengan video lucah di Internet menyebabkan seorang gadis berusia 13 tahun sanggup meniduri tujuh lelaki, termasuk beberapa penjawat awam, sejak awal tahun ini.

Tanpa memikirkan risiko ke atas dirinya, gadis kecil ini rela bersama lelaki berkenaan di hotel bajet dan rumah sewa di bandar raya ini, meskipun baru berkenalan beberapa hari menerusi Internet tanpa mengenakan bayaran.

Gadis berkenaan juga bangga menceritakan pengalamannya kepada rakan sekolahnya, sebelum aktiviti sumbangnya itu terbongkar apabila ibunya mengesyaki anaknya kerap keletihan setiap kali pulang ke rumah, selain sering dipanggil guru kaunseling berikutan masalah ponteng sejak Julai lalu.

Membuat pendedahan tersebut, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, perkara itu telah dirujuk kepada pihak polis dan JKM untuk tindakan susulan berikutan mangsa di bawah umur.

“Bagi menyelamatkan gadis berkenaan, kami terpaksa menahannya selama 30 hari di pusat perlindungan JKM mengikut Seksyen 46 (2) (bb) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi membantu menjalankan siasatan.

“Selepas dirujuk ke mahkamah, remaja berkenaan diarahkan menjalani perintah tahanan sementara selama tiga tahun di Batu Gajah, Perak dan dia akan dihantar ke sana hujung bulan ini untuk proses pemulihan.

“Diharapkan pendedahan ini menjadi pengajaran kepada semua ibu bapa, supaya mengawasi tingkah laku anak-anak mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir tidak baik,” katanya kepada media semasa Majlis Penutup Seminar Keselamatan Kanak-kanak dan Keluarga di @Mart Kempas, di sini, semalam.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Rinting, Chia Song Cheng yang merupakan wakil rasmi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri Johor, Dr Robia Kosai.

Dalam pada itu, Song Cheng ketika membacakan teks ucapan Robia memberitahu, statistik JKM negeri merekodkan sebanyak 133 kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan telah diselamatkan sehingga Ogos tahun ini.

“Manakala pada tahun lalu menunjukkan sebanyak 158 kes kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. Berdasarkan statistik ini ianya amat menyedihkan dan mendatangkan kebimbangan kepada kita apabila memikirkan adakah anak-anak kita selamat berada di persekitaran.

“Masyarakat perlu sedar tanggungjawab sebagai ibu bapa, anggota keluarga dan anggota masyarakat untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak mereka selain perlu mengambil tahu dan peduli bagi memastikan keselamatan masyarakat sekeliling terjamin,” katanya.

Nasib enam beradik dibela – Sinar Harian


Nasib enam beradik dibela

MOHD FIRDAUS YON
2 April 2012
Nasib enam beradik dibela

JOHOR BAHRU – Kesukaran hidup yang terpaksa diharungi enam beradik selepas kehilangan ibu bapa dalam tragedi kebakaran di rumah sewa di Kampung Melayu Kangkar Pulai, 13 Mac lalu, mendapat pembelaan segera daripada Kerajaan Negeri.

Adik-beradik terbabit ialah Sharifah Aiysha, 23; Sharifah Zulaikha, 21; Syed Mohd Masyhur, 18; Sharifah Athirah Alya, 16; Syed Abdul Rahman, 15 dan Syed Abdullah, 11.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri negeri, Dr Robia Kosai berkata, Kerajaan Negeri mengambil berat nasib menimpa adik-beradik itu yang kini hidup dalam keadaan trauma dan tertekan.

“Kami mengambil berat dengan nasib adik-beradik terbabit yang kini amat memerlukan sokongan psikologi dan fizikal termasuk sebuah kediaman sempurna.

“Selepas perbincangan diadakan bersama anggota keluarga terdekat, mereka akan ditempatkan di Perumahan Rakyat Kempas Permai, di sini, tanpa perlu membayar sewa, manakala seorang lagi, Sharifah Athirah akan bersama keluarga angkat di Tangkak, Muar,” katanya ketika mengadakan lawatan keluarga berkenaan, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar.

Dr Robia berkata, JKM akan menghulurkan bantuan termasuk persekolahan dan bulanan kepada penjaga iaitu kakak sulung adik-beradik terbabit, Sharifah Aiysha, 23, yang turut melecur teruk pada seluruh tubuhnya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Sharifah Rashidah Syed Hussin, 42, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk wakil rakyat yang memberi bantuan kepada adik-beradik itu.

“Saya mewakili mereka mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Kerajaan Negeri, wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya dan Parlimen Gelang Patah, Badan Perhubungan UMNO selain JKM sendiri kerana sudi membantu,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang lelaki, Syed Hussin Syed Hussin, 63, bertindak membakar kediaman mereka sehingga isteri dan dua anaknya yang cuba menyelamatkan satu sama lain turut melecur teruk pada bahagian anggota badan.