Rayuan empat pelajar batal PPSMI ditolak – Utusan


Rayuan empat pelajar batal PPSMI ditolak

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 23 Mei – Empat pelajar termasuk anak bekas Menteri Besar Perak gagal mendapat perintah agar dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diisytiharkan batal dan tidak sah, selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka hari ini.

Mereka ialah Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar, 16, Mohammad Fadzil Nor Mohd. Rosni, 21, Nur Najihah Muhaimin, 21, dan Syazaira Arham Yahya Ariff, 22. Kesemuanya mengemukakan permohonan itu melalui bapa masing-masing.

Mahkamah berpuas hati rayuan mereka untuk mencabar surat pekeliling ikhtisas yang dikeluarkan berhubung penguatkuasaan PPSMI, kini bersifat akademik selepas membenarkan bantahan awal pihak Kerajaan. Merit rayuan tidak didengar hari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wira Low Hop Bing bersetuju bahawa rayuan itu kini akademik berikutan pemansuhan PPSMI melalui surat pekeliling ikhtisas bertarikh 4 November 2011.

Perayu-perayu diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin manakala pihak Kerajaan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan. – UTUSAN

Puad Zarkashi: Kerajaan akan tambah pengambilan pelajar OKU di sekolah harian – Bernama


Puad Zarkashi: Kerajaan akan tambah pengambilan pelajar OKU di sekolah harian

17 Februari 2012

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran akan meningkatkan pengambilan pelajar orang kurang upaya (OKU) bukan tegar di sekolah harian daripada 7.5 peratus kepada 30 peratus pada masa hadapan.

Timbalan Menteri berkenaan Dr Mohd Puad Zarkashi berkata langkah itu bagi melibatkan kira-kira 28,000 pelajar OKU bukan tegar iaitu tidak cacat penglihatan dan pendengaran dalam pendidikan inklusif di sekolah harian.

“Matlamat utama kita menggalakkan pelajar OKU ini belajar bersama pelajar normal dan diajar oleh guru biasa, ialah untuk mewujudkan daya saing selain boleh memotivasikan diri mereka sendiri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Motivasi Pengurusan Pembelajaran Strategik Pelajar Tingkatan 5, di sini hari ini.

Beliau berkata guru sekolah harian perlu didedahkan dengan teknik mendidik pelajar OKU bukan tegar ini, termasuk daripada segi mengawal emosi dan tahap motivasi.

Menyentuh perhimpunan ibu bapa yang menyokong Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Dataran Petaling Jaya bulan depan, Mohd Puad berkata kementerian tetap dengan keputusan memansuhkan PPSMI.

Beliau juga berkata kementerian akan menubuhkan satu jawatankuasa kerja untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris selaras dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang menggantikan PPSMI.- Bernama

Perhimpunan kumpulan ibu bapa sokong dasar PPSMI – Bernama


Perhimpunan kumpulan ibu bapa sokong dasar PPSMI

15/02/2012 6:49pm

 

PETALING JAYA 15 Feb. – Satu kumpulan penyokong PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) akan menganjurkan satu perhimpunan di Dataran PJ di sini pada 10 Mac ini bagi menunjukkan pendirian serius mereka mahukan kerajaan mengembalikan dasar itu.

Penyelaras kumpulan Ibu bapa Prihatin Selangor (CPS), Shamsudin Hamid berkata, antara 5,000 dan 10,000 ibu bapa akan menghadiri perhimpunan “Parents for PPSMI” (P4P) pukul 10 pagi, dan ia akan diadakan serentak di Pulau Pinang, Ipoh dan Sabah.

“Tujuan perhimpunan ini adalah bagi menyatakan sokongan kami kepada PPSMI. Kami mahu kerajaan mengembalikan dasar itu.

“Ini tidak bermaksud kita tidak hormat pada bahasa kebangsaan. Tapi, sila lihat dalam gambaran yang lebih luas, iaitu masa depan anak-anak kita,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

PPSMI dimansuhkan bermula tahun ini dan digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). — BERNAMA

MBMMBI ganti PPSMI adalah tepat: Muhyiddin – Berita Harian


MBMMBI ganti PPSMI adalah tepat: Muhyiddin 

2011/12/30

KUALA LUMPUR: Keputusan melaksanakan Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah tepat apabila hanya 11 peratus pelajar memilih untuk belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris manakala 89 peratus memilih untuk menggunakan Bahasa Melayu atau dwibahasa, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian sebentar tadi ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini bagi meninjau persiapan sebelum bermulanya sesi persekolahan 2012.