Pembelajaran sejarah di sekolah adalah tepat: Muhyiddin – Bernama


Pembelajaran sejarah di sekolah adalah tepat: Muhyiddin

2011/10/05

KUALA LUMPUR: Pembelajaran sejarah yang diguna pakai dalam kurikulum sekolah yang sedia ada adalah tepat dan relevan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa kementerian mementingkan ketepatan dalam mata pelajaran itu, namun tidak mengetepikan pemahaman dan taksiran dari sudut falsafah.

Menjawab soalan Datuk Mafuz Omar (PAS-Pokok Sena), beliau berkata terdapat banyak pendapat dan tafsiran berbeza mengenai sejarah negara daripada orang yang berbeza, “tambahan pula apabila ianya ditokok tambah dengan elemen politik”.

“Sebab itu kandungan sedia ada tidak perlu dipertikaikan, peristiwa dan taksiran tentang sejarah tadi. Biarlah ketepatan itu kita serahkan kepada tokoh,” katanya.

Mahfuz bertanya mengenai tafsiran sejarah dari ahli falsafah Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang menyatakan terdapat percanggahan mengenai sejarah dan beberapa fakta yang tidak lengkap dalam subjek sejarah.

Terdahulu, ketika menjawab soalan bertulis daripada Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang mahu tahu mengenai cadangan kementerian untuk mengkaji semula mengenai fakta sejarah dalam sistem pendidikan, Muhyiddin berkata Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah yang ditubuhkan pada 3 Mei tahun lepas mendapati bahawa kurikulum sedia ada masih relevan tetapi ia perlu diperinci, diperluas dan disusun semula skopnya supaya lebih jelas dan mudah difahami oleh murid.

Katanya satu laporan lengkap dijangka diterimanya dari jawatankuasa itu selewat-lewatnya pada Mei tahun depan.
Beliau berkata bagi memastikan generasi muda dapat dibentuk dan didedahkan dengan pengetahuan sejarah di peringkat awal persekolahan, mata pelajaran sejarah di peringkat sekolah rendah akan diperkenalkan mulai tahun 2014 secara berperingkat.

“Murid-murid akan dinilai melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sepenuhnya,” katanya sambil menjelaskan bahawa ianya adalah asas kepada generasi baru berupaya membuat pertimbangan tepat dan tidak terpengaruh dengan dakyah pihak-pihak tertentu.

Bagi menggalakkan penglibatan pelajar sekolah dalam aktiviti yang berkaitan sejarah khususya menyentuh patriotisme, Muhyiddin berkata kementerian akan mengkaji jumlah Geran Perkapita bagi mata pelajaran itu bagi setiap murid supaya bersesuaian dengan keperluan aktiviti. – BERNAMA