Kemahiran, kualiti guru dipertingkat – Berita Harian


Kemahiran, kualiti guru dipertingkat

Muhyiddin  merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Malaysia Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru, di Kuala Lumpur, semalam.Muhyiddin merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Malaysia Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru, di Kuala Lumpur, semalam.

Program Pembangunan Profesional Berterusan fokus 2 bidang

Kuala Lumpur: Mulai tahun depan, program Pembangunan Profesional Berterusan untuk guru akan dipertingkat dengan tumpuan kepada keperluan individu dan latihan berasaskan sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bersesuaian dengan persaingan pendidikan abad ke-21 dan transformasi pendidikan untuk melahirkan modal insan bertaraf dunia yang mampu bersaing dan mengharungi cabaran peringkat antarabangsa.

Katanya, profesion guru abad ini dibina atas dasar persaingan, iaitu pendidikan selepas tamat persekolahan, latihan dan pembangunan kerjaya.

Justeru, ia perlu selari dengan visi dan misi negara ke arah menyediakan rakyat berilmu dan berkemahiran.

Dilatih jadi pemikir 

Katanya, bagi melahirkan guru berkemahiran abad ke-21 dan untuk melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat, mereka perlu dilatih menjadi pemikir dan berupaya menyelesaikan masalah serta berfikiran sebagai usahawan.

“Dalam dunia kompetitif hari ini, kelebihan daya saing terletak kepada kemampuan minda dan keupayaan berfikir pada tahap tinggi, iaitu kritis, kreatif, inovatif dan imiginatif,” katanya merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Malaysia Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, kemahiran berfikir, pemikiran kritikal, keupayaan berkomunikasi serta keyakinan kendiri perlu dijana menerusi pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang holistik serta mampu berfikir secara mencapah (divergent thinking) bagi menerokai kebenaran.

Katanya, dalam konteks pembangunan kerjaya guru, ia merentasi beberapa laluan dengan kemajuan dinilai berasaskan kompetensi, bukan bergantung kepada tempoh perkhidmatan semata-mata.

Sistem perlu mekanisme 

Muhyiddin juga berkata, sistem pendidikan negara perlu mempunyai mekanisme untuk menentukan guru yang dilahirkan benar-benar kompeten dan memenuhi standard yang ditetapkan.

Katanya, transformasi keguruan sebagai profesion pilihan, iaitu satu daripada 11 anjakan dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menekankan kepada peningkatan pembelajaran dan pembangunan guru.

Bagi melaksanakannya, beliau berkata, kementerian perlu meningkatkan kualiti profesion perguruan supaya dapat menghasilkan guru cemerlang.

Latih bakal guru berfikir sebagai usahawan – Utusan


Latih bakal guru berfikir sebagai usahawan

KUALA LUMPUR 20 Nov.- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bakal guru perlu dilatih untuk menjadi seorang pemikir dan berupaya menyelesaikan masalah serta berfikiran sebagai seorang usahawan.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, langkah itu penting dalam usaha untuk melahirkan guru yang memiliki kemahiran abad ke-21 dan melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat.

“Saya berharap guru-guru akan sentiasa menunjukkan dan mengamalkan pemikiran yang kreatif dan berfikir sebagai seorang usahawan.

“Pemikiran yang kreatif, pemikiran yang ‘luar biasa’ dan ‘berfikir di luar kotak’ merupakan pemikiran yang mampu melahirkan senario baharu yang lebih dinamik dan mencabar serta berkemampuan untuk melahirkan tenaga kerja pada suatu masa nanti,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121120/dn_14/Latih-bakal-guru-berfikir-sebagai-usahawan#ixzz2CkOaI29u
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sambung belajar – Metro


Sambung belajar
KUALA LUMPUR: Kakitangan kerajaan dan swasta, terutama golongan pendidik, disaran melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi dalam memastikan kredibiliti profesion mereka meningkat dengan menggunakan saluran pendidikan sedia ada.

Canselor Wawasan Open University (WOU), Tun Dr Lim Keng Yaik berkata, sistem pendidikan yang fleksibel membolehkan golongan bekerja membahagikan masa dengan sebaik-baiknya tanpa perlu mengabaikan tanggungjawab profesional.
Beliau yang juga bekas Presiden Gerakan berkata, golongan pendidik yang hanya memiliki kelulusan diploma digalakkan merebut peluang ditawarkan institusi pengajian, sekali gus memberi manfaat kepada diri sendiri, sama ada daripada segi pendapatan, jawatan mahupun keluarga.

“Dipercayai hanya 20 peratus daripada lebih 10 juta sumber tenaga negara merebut peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya, manakala selebihnya selesa dengan kedudukan sekarang.
“Dalam menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, kita memerlukan tenaga kerja berkaliber, mahir dan berpengetahuan tinggi, sekali gus meningkatkan industri perniagaan, kerajaan serta negara.
“Walaupun beberapa kali kita cuba mempromosikan sistem pembelajaran sepanjang hayat di kalangan masyarakat, ia seakan-akan tidak berjaya.

“Malah, puncanya turut gagal dikenal pasti, sama ada rakyat berpuas hati dengan kelayakan dimiliki atau tersilap kaedah promosi,” katanya ketika menghadiri Majlis Konvokesyen Istimewa WOU, semalam.
Jelasnya, sistem pembelajaran bagi golongan dewasa mempunyai kepentingan sama seperti di kalangan generasi muda dalam mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian negara pada masa depan.

Katanya, umur median bagi pekerja Malaysia adalah 27 tahun dan mereka dijangkakan berada dalam lapangan kerja untuk tempoh 30 tahun atau lebih, berikutan itu pendidikan secara berterusan sangat penting.
Justeru, pelaksanaan sistem pembelajaran sepanjang hayat harus diserahkan ke tangan agensi pendidikan seperti sekolah, kolej serta universiti bagi memastikan ia berjalan lancar.
Sempena majlis konvokesyen, Lim menyerahkan ijazah kehormat kepada tiga individu iaitu Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Holdings Berhad, Datuk Seri Nazir Razak; Pengerusi East Asean Institute, Profesor Emeritus Wang Gungwu dan R Padmanathan.