Pembinaan bangunan baru SJK (T) Batang Kali tahun depan
HULU SELANGOR – Kementerian Pelajaran hari ini memberi jaminan akan membina satu blok bangunan baru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK (T) Batang Kali pada perancangan tahun 2013 bagi memastikan suasana pembelajaran yang selesa dan selamat di sekolah itu.
Timbalan Menteri berkenaan Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pembinaan bangunan baru dengan enam bilik darjah itu akan dimulakan sebaik sahaja peruntukan diluluskan dan dijadual siap dalam masa setahun.
“Saya akan berbincang segera dengan Menteri Pelajaran untuk mendapatkan persetujuannya. Kita berjanji akan menyelesaikan masalah sekolah dan murid-murid. Ini adalah cara kerajaan diterajui Barisan Nasional.
“Kita sentiasa prihatin dalam isu berkaitan pendidikan serta tidak mahu membiarkan rakyat menderita,” katanya kepada pemberita selepas melawat SJK (T) Batang Kali di sini.
Turut hadir Penyelaras Pelan Tindakan Bagi Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil Malaysia, Pejabat Perdana Menteri Prof Dr N.S. Rajendran, Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor V. Mugilan, Penyelia Sekolah Tamil Malaysia M.Baskaran serta wakil-wakil daripada Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Pelajaran Daerah.
Pada 4 Mei, Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor V. Mugilan mengetuai satu perhimpunan mogok lapar secara aman bersama ibu bapa dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) A. Omparoa selama 24 jam bagi menuntut pembinaan bangunan baru setelah JKR mengisytiharkan bangunan sedia ada tidak selesa dan keselamatan bangunan itu di tahap tidak memuaskan.
Sementara menunggu kelulusan peruntukan kementerian, Puad berkata empat kabin fiber komposit akan ditempatkan di kawasan sekolah dalam masa terdekat.
Kementerian turut memperuntukkan RM100,000 untuk baik pulih blok A yang mengalami kerosakan bumbung dan pembinaan struktur serta RM20,000 untuk mengatasi masalah anai-anai di sekolah itu.
SJK (T) Batang Kali merupakan sekolah Tamil bantuan penuh kerajaan, yang dibina pada 1960-an, mempunyai 10 bilik darjah, sebuah bilik guru, sebuah pejabat, satu bilik darjah prasekolah, sebuah pusat sumber dan sebuah kontena yang dilengkapi dengan pendingin hawa.
Sekolah itu mempunyai 368 murid termasuk 25 pelajar prasekolah.
– Bernama