Budak 14 tahun ditemui mati di kawasan pembuangan sampah – Sinar Harian


Budak 14 tahun ditemui mati di kawasan pembuangan sampah

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mei 2013

 MELAKA – Misteri kehilangan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang tidak pulang ke rumah selepas keluar mengaji dua hari lalu terjawab apabila dia ditemui mati di kawasan pembuangan sampah di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, lewat petang semalam.

Mangsa yang tinggal di Taman Desa Molek di sini, ditemui dalam keadaan terlentang di atas papan lapis berhampiran padang oleh sekumpulan remaja lelaki yang baru sahaja pulang dari bermain bola sepak kira-kira jam 7 petang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan PR Gunarajan berkata, ibu bapa mangsa membuat laporan polis  di Balai Polis Tiang Dua kelmarin selepas anak mereka tidak pulang ke rumah Isnin lalu.

“ Pihak keluarga telahpun mengesahkan mangsa adalah anak mereka berdasarkan pakaian mangsa yang  sama sebelum keluar rumah,” katanya.