Pemohon PTPTN perlu ada SSPN – Utusan Malaysia


Pemohon PTPTN perlu ada SSPN

 

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

 

PUTRAJAYA 20 Julai – Mulai tahun depan, pelajar yang ingin memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) terlebih dahulu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dengan deposit serendah RM20, akaun SSPN boleh dibuka di mana-mana cawangan bank terpilih.

Antaranya Maybank, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat), Agro Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN), CIMB Group Bhd. (CIMB) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

“Kini proses untuk membuka SSPN menjadi lebih mudah kerana hanya memakan masa sehari berbanding 14 hari sebelum ini.

“Pembukaan akaun SSPN digalakkan kepada semua peringkat umur, ibu bapa juga boleh terus membuka akaun untuk anak mereka yang baru sahaja dilahirkan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar PTPTN bersama institut pengajian tinggi (IPT) dan Majlis Pelancaran Semula SSPN di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan bantuan kewangan pendidikan kepada PTPTN daripada Ambank Group, Kuwait Finance House dan Malaysian Building Society Berhad (MBSB).

Mohamed Khaled berkata, pembukaan akaun SSPN itu dapat mengelakkan pelajar dibebani masalah hutang selepas tamat pengajian selain menggalakkan amalan menabung untuk masa depan.

“Sejak SSPN dilancarkan pada 2004 sehingga 2011, terdapat 990,000 akaun dengan jumlah simpanan sebanyak RM465 juta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menggalakkan penglibatan lebih banyak agensi korporat menyalurkan sumbangan kewangan kepada PTPTN untuk membantu pelajar miskin meneruskan pengajian ke peringkat tinggi.

“Dengan itu, PTPTN dapat membantu menguruskan bantuan kewangan kepada pelajar yang tidak berkemampuan,” katanya.