Pemotong rumput dituduh rogol pelajar
17 Ogos 2012
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tiga pertuduhan merogol pelajar tingkatan empat di dalam sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di Dungun.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh, Mohd Affendi Ahmad, 25, dari Bandar Permaisuri, Setiu didakwa merogol mangsa berusia 16 tahun di sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Rhu Batil, Kuala Abang, Dungun, kira-kira jam 10 malam, 8 Ogos lalu.
Tertuduh yang bekerja sebagai pemotong rumput itu turut didakwa mengulangi perbuatan sama sebanyak dua kali terhadap mangsa di lokasi sama pada hari yang sama kira-kira jam 10.30 malam dan jam 2.30 petang keesokan harinya.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Bagaimanapun, tertuduh hanya mengangguk faham ketika ketiga-tiga pertuduhan di bawah Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan kerana merogol dibacakan di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Mohd Rusli Ahmad. Mohd Rusli kemudian menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen di sini.
Bagaimanapun tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi manakala Mohd Affendi tidak diwakili peguam.