Yayasan Wilayah Persekutuan bantu anak mangsa kebakaran
17 November 2012
KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bersedia untuk menyalurkan bantuan persekolahan tiga anak Allahyarham Mohd Hakimi Zubair, 40, dan isterinya, Leila Sahak, 40, yang terkobar dalam kebakaran di sebuah banglo di Taiping, Perak pada 13 November lalu.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata, pihaknya prihatin dan simpati dengan nasib yang menimpa keluarga itu.
Menurutnya, bantuan berbentuk kewangan juga dihulurkan bagi mengurangkan beban yang ditanggung anak-anak arwah.
“Dua bentuk bantuan persekolahan yang boleh disalurkan iaitu untuk sesi tahun hadapan dan juga bantuan kewangan yang berterusan kepada anak-anak mangsa.
“Selain itu, bantuan kewangan berjumlah RM3,500 juga disalurkan oleh YWP, Umno Bandar Tun Razak, dan sumbangan saya sendiri,” katanya ketika penyampaian bantuan tersebut di Dewan Merawan, Taman Len Seng, Cheras, di sini, hari ini,
Hadir sama, Pengarah Eksekutif YWP, Datuk Mohd Idris Mohd Isa; Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Rizalman Mokhtar dan Naib Ketua Umno Bahagian Tun Razak, Azami Mohamad.
Allahyarham Mohd Hakimi adalah seorang akauntan sebuah bank di ibu negara, yang juga Bendahari Persatuan Penduduk Alam Damai Merawan, Cheras, meninggal dunia bersama isteri serta anak bongsu mereka dalam kejadian menyayat hati itu.
Mereka meninggalkan tiga anak iaitu Luqman Hafiy, 13; Ain Najwa, 11, dan Azad Fahmi, 8.
Sementara itu, adik kepada arwah Mohd Hakimi, Azam Zubair, 38, berterima kasih atas sumbangan yang dihulurkan atas inisiatif pihak persatuan penduduk, Umno, YWP, dan Raja Nong Chik sendiri.
Katanya, dia sebelum ini menetap di United Kingdom dan pulang ke Malaysia sebaik mengetahui kejadian yang menimpa keluarga abangnya itu.
“Kami sekeluarga masih berbincang berhubung penjagaan anak-anak arwah, juga melibatkan keluarga sebelum arwah isteri,” katanya.
Kejadian kebakaran di banglo dua tingkat yang juga rumah bapa arwah Mohd Hakimi, turut mengorbankan pembantu rumah, warga Indonesia, dikenali sebagai Rizki, 40.