LINUS 2.0 bantu murid kuasai bahasa Inggeris – Berita Harian


LINUS 2.0 bantu murid kuasai bahasa Inggeris

2012/11/24 – 08:07:37 AMCetakEmel Kawan
Putrajaya: Program peningkatan pencapaian murid dalam penguasaan literasi dan numerasi (LINUS) membabitkan penguasaan menulis serta membaca dalam bahasa Melayu akan diperluaskan kepada bahasa Inggeris, yang dikenali sebagai LINUS 2.0.

Ini berikutan pencapaian memberangsangkan program LINUS sejak diperkenalkan pada 2010 dengan 99.84 peratus pelajar Tahun Tiga yang mengikuti program itu sejak 2010 berjaya menguasai literasi (menulis dan membaca) manakala 99.92 peratus pelajar berjaya menguasai asas numerasi (mengira).

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Shamsuri Sujak, berkata daripada jumlah itu hanya 0.15 peratus atau 692 adalah pelajar yang perlu mengikuti pemulihan literasi manakala 0.08 peratus atau 346 lagi memerlukan pemulihan numerasi.

Mulai sesi 2013 

Bagaimanapun, katanya, jumlah terbabit dalam pemulihan itu adalah mereka yang dikategorikan sebagai murid berkeperluan khas merangkumi pelajar kurang upaya, menghadapi kecacatan fizikal, cacat penglihatan dan pendengaran.

“Berdasarkan kejayaan ini, program LINUS akan diteruskan dalam bahasa Inggeris bermula sesi persekolahan 2013 bagi memastikan penguasaan murid dalam literasi bahasa Inggeris.

“Melalui program ini, murid yang menghadapi masalah literasi bahasa Inggeris akan menerima bantuan dan sokongan tambahan melalui LINUS 2.0 bagi membolehkan mereka setara dengan rakan lain dalam arus perdana,” katanya pada satu sidang media di sini, semalam.
Shamsuri menjelaskan, saringan asas akan dilaksana di kalangan pelajar Tahun Satu pada Jun 2013 bagi menentukan tahap literasi murid dalam bahasa Inggeris supaya murid yang memerlukan perhatian khusus dikenal pasti.

Ibu bapa perlu pantau anak pernah terlibat dadah – Sinar Harian


Ibu bapa perlu pantau anak pernah terlibat dadah

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Oktober 2012
Ibu bapa perlu pantau anak pernah terlibat dadah
Penghulu kampung turut hadir dalam Program Damai Pemadam, Rabu lalu.

PASIR MAS – Ibu bapa diingatkan memantau pergerakan anak-anak, terutama remaja yang pernah terlibat dalam kancah dadah.

Ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Yam berkata, dia akan menemani anaknya, Mamat, 16, setiap sesi kaunseling di pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan dekat Lubok Jong.

Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik ini dibebaskan dari pusat pemulihan Februari lalu selepas mengambil pil kuda.

“Tindakannya itu turut menyebabkan Mamat tidak lagi mahu ke sekolah, sebaliknya menghabiskan masa di rumah.

“Saya tidak pernah berputus asa mendidiknya agar menghargai diri demi masa depannya kelak,” katanya selepas Program Damai Pemadam, Rabu lalu.

Dalam majlis itu, Ketua Jajahan, Mohd Ghazali Mohamad turut menasihati remaja agar tidak mengambil mudah isu dadah, kerana ia hanya bersifat sementara.

Beliau berkata, masyarakat diingatkan supaya tidak menjatuhkan hukuman kepada bekas penagih dadah di atas setiap jenayah yang berlaku di kampung.

“Serahkan perkara ini kepada pihak polis untuk menyiasat dengan terperinci.

“Tindakan masyarakat memberi tekanan kepada bekas penagih dan keluarga, menyebabkan mereka menghadapi beban berat,” katanya.