Pelajar SMSS cipta Mobile Sunpack – Sinar Harian


Pelajar SMSS cipta Mobile Sunpack

NORHIDAYYU ZAINAL
13 September 2012
Pelajar SMSS cipta Mobile Sunpack
Ketika sertai salah satu pertandingan.
Pelajar SMSS cipta Mobile Sunpack
Pelbagai anugerah yang diraih melalui ciptaan generator mesra alam ini.

Suasana di setiap pasar malam sentiasa riuh-rendah dengan suara tawar-menawar pelanggan dan penjaja yang cuba menarik perhatian setiap pelanggan.

Selain suasana sebegitu, terdapat perkara lain yang benar-benar mencuri perhatian di pasar malam iaitu bunyi daripada mesin generator.

Generator berenjin diesel ini mengeluarkan bunyi bingit dan asap tebalnya boleh menyumbang kepada penambahan kadar pencemaran alam sekitar.

Namun, pasar malam menjadi satu tempat terbaik melakukan kajian tinjauan terhadap penggunaan generator, terutama bunyi bingit yang keluar dan cara peniaga mengendalikan generator mereka.

Rata-rata peniaga pasar malam masih lagi menggunakan generator sebagai perkakas utama dalam membekal tenaga elektrik disebabkan mereka tidak mempunyai pilihan lain.

Maka atas kesedaran itu, sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) mula menjana idea untuk menghasilkan sebuah generator yang mesra alam.

Mobile Sunpack

Sekumpulan pelajar tersebut terdiri daripada Ahmad Nasri Othman, Muhammad Zulkifli Amiruddin, Muhammad Syamil Musa, Khairul Muhammad Akmal Khairul Azhar dan Ashraff Khan Fairuz Khan.

Mereka dikendalikan oleh dua guru dari sekolah berprestasi tinggi tersebut iaitu Aini Arifah Abdul Karim dan Roselina Azizan.

Aini Arifah berkata, projek reka cipta dan inovasi itu dinamakan sebagai Mobile Sunpack, iaitu sebuah generator penjana elektrik yang menggunakan tenaga solar sebagai sumber tenaga utama.

Menurutnya, ia lebih ringan, mesra pengguna, mudah dibawa, digunakan di mana-mana, tidak mengeluarkan bau, tiada bunyi bising, dan yang paling utama – tidak membebaskan sebarang gas yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar.

“Produk ini berpotensi untuk dijadikan sebagai alternatif utama dalam menggantikan penjana kuasa berasaskan minyak yang digunakan di pasar malam pada masa kini,” katanya kepada Konsumer ketika ditemui,     baru-baru ini.

Beliau berkata, idea untuk menghasilkan penjana kuasa mesra alam ini tercetus apabila pelajar SMSS berbelanja di sebuah pasar malam, seterusnya meneliti bagaimana penggunaan generator ketika mereka berniaga.

“Mereka mendapati generator yang digunakan oleh peniaga pasar malam mengeluarkan bunyi sangat bising.

“Ia juga menggunakan gas diesel dengan berterusan bagi menghidupkan generator, seterusnya menjadi sumber utama untuk memasang lampu sepanjang malam,” katanya.

Menurutnya, Mobile Sunpack ialah sebuah generator yang hanya menggunakan panel solar fleksibel dan boleh digulung untuk dimuatkan di dalam beg, serta boleh dijemur pada bila-bila masa untuk mengecas bateri pada alat ini.

“Kita boleh mengecas selama dua jam 40 minit bagi mendapatkan tahap pengecasan maksimum sehingga mampu menerangkan tiga lampu pendarfluor dan bertahan selama enam jam,” katanya.

Aini Arifah berkata, buat masa ini, pihaknya sedang dalam perancangan untuk mempertingkatkan lagi mutu Mobile Sunpack dengan memperkecilkan saiz, menjadikannya lebih kompak atau meninggikan tahap kuasa voltan dengan menggunakan transformer.

Menurutnya, Mobile Sunpack bersifat mesra alam, murah dan sasaran pasarannya lebih menyeluruh.

“Ia juga merangkumi keperluan orang ramai untuk pelbagai kegunaan dan boleh dibawa dengan mudah.

“Selepas ini, kaki-kaki pancing yang membawa produk ini ke lubuk-lubuk pancing tidak lagi perlu menyalakan unggun api atau memancing dalam gelap,” selorohnya.

Raih kejayaan

Dalam pada itu, katanya, buat julung kali pada April lalu, Mobile Sunpack dipertandingkan dalam Malaysian International Young Inventors Olympiad (MIYIO) dan International Engineering Invention & Innovation Exhibition (i-ENVEX) serta memenangi Anugerah Emas dan membawa pulang Anugerah Khas dari Korea Invention Academy.

Produk ini turut memperoleh pengiktirafan di Iasi, Romania, apabila memenangi perak dan sebuah lagi Anugerah Khas dalam European Exhibition for Creativity and Innovation (Euroinvent) pada Mei lepas.

“Pada Jun lalu, Mobile Sunpack sekali lagi mendapat pingat perak melalui Macau Communic Expo yang diadakan di Macau dan juga satu anugerah khas dari Korea University Invention Association,”  katanya.

Aini Arifah  berkata, hasil usaha sama antara pelajar sekolah ini dengan Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) dan sebuah syarikat pembekal panel solar, Ooex Enterprise.

“Hasil kerjasama ini berjaya merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan 2012 sebagai tahun inovasi.

“Produk ini boleh menjadi satu tenaga alternatif untuk menghasilkan tenaga elektrik yang tidak mencemarkan alam sekitar,” jelasnya.

Katanya, mungkin lebih ramai peniaga pasar malam atau penjaja gerai pinggir jalan atau kontraktor akan beralih kepada inovasi terbaru ini demi kesejahteraan orang ramai dan juga alam sekitar.