Polis giat kesan remaja hilang – Sinar Harian


Polis giat kesan remaja hilang

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Januari 2013
M Jethendran
M Jethendran

KUALA LUMPUR – Polis sudah mengambil keterangan daripada keluarga, saksi dan rakan kepada M Jethendran, 16, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu selepas tidak pulang ke rumahnya dari gimnasium di Taman Desa, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, salah seorang saksi memberitahu pernah melihat mangsa berbual dengan seorang perempuan berhampiran gimnasium berkenaan.

“Kami tidak pasti sama ada perempuan itu teman wanitanya kerana rakan Jethendran memberitahu dia tidak ada teman wanita,” katanya.

Muhammad Azlee berkata, pihaknya akan cuba mengesan remaja berkenaan sebaik sahaja keluarga remaja itu membuat laporan pada Jumaat lalu.

“Tanda jelas yang ada pada remaja berkenaan seperti rambut kerinting, kurus, tinggi lebih 152 sentimeter dan memakai pendakap gigi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, semalam.

Kali terakhir anak sulung daripada tiga adik beradik itu menghubungi ibunya pada jam 3.45 petang pada hari kejadian dan memberitahu dia akan pulang ke rumah dengan menaiki teksi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Brickfields ditalian 03-90571086 atau pegawai penyiasat, Inspektor Rosnani Ramli di talian 017-2194171.