Maut gelongsor tangga sekolah – Metro


Maut gelongsor tangga sekolah

 58  1 Google +0  0  1

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Batu Pahat: Seorang murid lelaki tahun dua Sekolah Kebangsaan Parit Raja di sini, meninggal dunia selepas terjatuh akibat menuruni tangga dengan cara menggelongsor pada pemegang tangan di tangga tingkat dua Blok A sekolah itu, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Khairul Hakimi Ab Ghani, 8, dikatakan menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke pusat perubatan berhampiran untuk rawatan kecemasan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Superintendan Mat Razali Awang berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai waktu persekolahan.

 

Menurutnya, mangsa difahamkan menuruni tangga dengan menggelongsor pada pemegang tangan di tangga itu sebelum terjatuh di bahagian tengah tangga antara tingkat dua dan tingkat satu. “Mangsa jatuh terhentak lalu tidak sedarkan diri. Dia dipercayai mengalami pendarahan dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.
“Hasil laporan bedah siasat mendapati tempurung kepala mangsa pecah menyebabkannya meninggal dunia. Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan luaran,” katanya.
Beliau berkata, kejadian disaksikan beberapa individu termasuk guru sekolah berkenaan.

 

“Polis mengingatkan orang ramai terutama ibu bapa menasihati anak mereka lebih berhati-hati di mana saja kerana kemalangan boleh berlaku tanpa mengira masa. “Dalam kes ini, tidak ada sebarang unsur jenayah dan mangsa juga tidak ditolak mana-mana individu atau murid lain,” katanya.
Menurutnya, kes diklasifikasikan mati mengejut, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Kanak-kanak perempuan 12 tahun dirogol dan dibunuh – Utusan


Kanak-kanak perempuan 12 tahun dirogol dan dibunuh

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL

KLANG 9 Mei – Mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dipercayai mangsa rogol dan bunuh dijumpai di tempat letak kereta Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Senior Asisten Komisioner Mohammad Md. Yusop berkata, mayat Nur Amyliana Shuhada Mohd. Nor ditemukan oleh orang ramai dalam keadaan terbaring di tempat kejadian pada pukul 10.30 malam.

“Kanak-kanak malang itu sudah meninggal dunia semasa ditemukan dan polis mengesyaki mangsa mungkin dirogol sebelum dibunuh kerana siasatan mendapati ada kesan pendarahan di bahagian kemaluannya

“Dua suspek lelaki berusia 19 dan 24 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130509/je_09/Kanak-kanak-perempuan-12-tahun-dirogol-dan-dibunuh#ixzz2SmuBF7Ne
© Utusan Melayu (M) Bhd

Guru bersara ditemui mati berhampiran bilik air – Bernama


Guru bersara ditemui mati berhampiran bilik air

6 Julai 2012
MELAKA – Seorang pesara guru yang berumur sekitar 70-an ditemui mati dengan kepala berlumuran darah di dalam rumahnya di sebuah taman perumahan di Bukit Katil di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Muhammad Koey Abdullah berkata polis menemui mayat tersebut kira-kira 10 pagi, selepas menerima aduan daripada jiran mangsa yang terhidu bau busuk dari rumah itu sejak beberapa hari lalu.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, pintu rumah mangsa didapati tertutup menyebabkan pihak polis terpaksa memecah masuk rumah berkenaan sebelum menjumpai mangsa terbaring di atas lantai berhampiran bilik air,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mangsa yang tinggal berseorangan dipercayai mati kira-kira empat hari lalu akibat pendarahan yang banyak dipercayai selepas terjatuh di dalam bilik air.

Mangsa dipercayai cuba merangkak keluar dari bilik air selepas terjatuh, katanya. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – Bernama