Sekolah risiko litar pintas – Sinar Harian


Sekolah risiko litar pintas
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Ogos 2013
  • Sekolah risiko litar pintasKeadaan bangunan lama asrama yang tidak boleh digunakan lagi.
< 1 / 1 >

JERANTUT – Pelajar dan guru Sekolah Menengah Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah (JPSHAS) Kuala Tahan, di sini, terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa berikutan bangunan sekolah tidak diselenggara.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) JPSHAS, Abdullah Manan berkata, masalah tersebut berlaku sejak tahun 2000 apabila keadaan beberapa bangunan sekolah yang mengalami kerosakan tidak diberi perhatian segera untuk dibaik pulih.

Menurutnya, JPSHAS sekolah yang menjadi kebanggaan penduduk Tembeling Tengah termasuk penduduk di Ulu Tembeling.

Katanya, disebabkan keadaan bangunan yang membahayakan, pelajar dan guru terpaksa sentiasa berhati-hati kerana pendawaian  elektrik di sekolah itu sudah tidak berfungsi dengan baik.

“Ada kalanya ketika sesi pembelajaran secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus dan mengeluarkan bau hangit seperti terbakar.

“Kita bimbang, sekolah ini akan terbakar akibat pendawaian elektrik yang sudah tidak sempurna dan bila-bila masa sahaja boleh berlaku litar pintas,” katanya.

Abdullah berkata, bangunan lama asrama dan dewan makan sudah tidak boleh digunakan lagi kerana bumbung bangunan tersebut sudah reput.

Menurutnya, PIBG dan pengurusan koperasi sekolah bercadang menjadikan bangunan itu sebagai asrama desa iaitu penempatan kepada pelajar sekolah lain dan pelancong yang ingin datang ke Taman Negara kerana kedudukannya hanya dua kilometer ke kawasan rekreasi berkenaan.

“Sekiranya pengurusan koperasi sekolah dapat menjadikannya asrama desa, secara tidak langsung ia mampu memberi pendapatan sampingan kepada sekolah dan membolehkan pelbagai perancangan pembangunan dilaksanakan.

“Kita mahu lihat pelajar sekolah ini belajar dalam suasana kondusif dan dapat menumpukan perhatian mereka. Kita juga mahu lihat pelajar asrama di sini tinggal dengan lebih selesa dan berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Solat Jumaat di surau sekolah – Sinar Harian


Solat Jumaat di surau sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mei 2013
Solat Jumaat di surau sekolah
Keratan akhbar yang memaparkan penduduk tidak sabar menunggu masjid siap di Kampung Kebor Ayer, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGANU – “Minggu depan kami semua dijangka menunaikan solat Jumaat di surau Sekolah Kebangsaan Kebor Ayer, kerana masjid di kampung ini akan dibina baru,” kata Abu Bakar Jusoh.

Abu Bakar selaku Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung berkata, sementara menunggu masjid baru itu siap, penduduk kampung akan menggunakan surau sekolah berhampiran untuk solat berjemaah.

Bagaimanapun, surau yang hanya mampu memuatkan kira-kira 80 jemaah itu perlu dilakukan sedikit penambahbaikan sebelum dapat digunakan.

“Sebelum itu, surau sekolah ini perlu dibaiki terutama pendawaian elektrik dan beberapa masalah lain untuk memberi keselesaan kepada jemaah.

“Walaupun surau ini tidak dapat memuatkan ratusan jemaah, pihak kami bersama kontraktor akan cuba melakukan yang terbaik bagi memastikan orang ramai dapat menunaikan solat dalam keadaan yang sempurna,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihak sekolah telah mendapat arahan untuk membenarkan orang kampung menggunakan surau berkenaan bagi menjalankan aktiviti agama seperti yang dilakukan di masjid itu.

“Soal penduduk kampung dengan pihak sekolah, sudah tidak ada masalah, cuma bimbang ramai penduduk di sini ‘lari’ ke masjid lain kerana hanya dapat memuatkan hanya segelintir jemaah sahaja,” katanya.

Namun dalam kebimbangan itu, diharap penduduk dapat kembali menunaikan solat berjemaah di masjid baru suatu hari nanti.

Sebelum ini, akhbar Sinar Harian melaporkan, kebanyakan penduduk Kampung Kebor Ayer tidak sabar menunggu sebuah masjid yang dikatakan bernilai hampir RM6 juta siap dibina.

SK Tanjung Batu tiada CF? – Sinar Harian


SK Tanjung Batu tiada CF?

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Februari 2013
SK Tanjung Batu tiada CF?
SK Tanjung Batu di Seberang Temerloh didakwa masih tidak mempunyai CF walaupun beroperasi sejak 10 tahun lalu.

TEMERLOH – Lebih 300 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu di sini terpaksa berhadapan pelbagai kesukaran apabila beberapa kemudahan disediakan rosak dan tidak dapat dibaik pulih disebabkan masih belum menerima sijil layak menduduki (CF).

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tanjung Batu, Nordin Abu Bakar mendakwa, kerosakan pada longkang, tandas, tangki air dan pendawaian elektrik tidak dapat diperbaiki gara-gara ketiadaan CF.

Menurutnya, sejak dibuka 10 tahun lalu, sekolah terbabit yang terletak kira-kira 10 minit dari bandar Temerloh masih belum mempunyai CF sekali gus mengundang pelbagai risiko jika berlaku sesuatu yang buruk.

“Setahu saya memang tidak ada penyerahan daripada pihak kontraktor kepada jabatan terlibat, kami (PIBG) banyak kali membincangkan masalah ini dan memaklumkan kepada pihak berkenaan namun masih tiada penyelesaian,” katanya kepada Sinar Harian.

Nordin berkata, terdapat lebih 300 murid dari Kampung Tanjung Batu, Lebak Seberang, Paya Jauh dan Padang Tenggala belajar di sekolah tersebut pada satu-satu masa.

Beliau berkata, antara masalah yang timbul sekarang ialah, pihak sekolah tidak dapat membaiki kerosakan tandas, pendawaian elektrik dan longkang pecah.

Lebih membimbangkan, Nordin berkata, sekiranya berlaku sesuatu kemalangan membabitkan murid atau guru sekolah itu, mereka akan menghadapi masalah untuk menuntut pampasan.

Sehubungan itu, Nordin mendesak pihak berkaitan supaya campur tangan dan menyelesaikan segera masalah ketiadaan CF tersebut dengan segera.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan pihak berkaitan, SK Tanjung Batu sememangnya masih tidak mempunyai CF, namun segala kerosakan kemudahan seperti tandas, pendawaian elektrik dilaporkan sebenarnya boleh dibaik pulih.

Menurut sumber terbabit, sekiranya berlaku kerosakan, pihak sekolah hanya perlu menghantar laporan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk disampaikan kepada kementerian.

Sumber memberitahu, ketiadaan CF bagi sekolah terbabit disebabkan kes tertentu yang masih dalam proses untuk diselesaikan.

Menurutnya, daripada segi keselamatan bangunan, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jabatan berkaitan mengesahkan sekolah terbabit selamat untuk diduduki.

Lima sekeluarga termasuk bayi 7 bulan nyaris dijilat api di Kuala Terengganu – Bernama


Lima sekeluarga termasuk bayi 7 bulan nyaris dijilat api di Kuala Terengganu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Lima sekeluarga termasuk bayi perempuan berusia tujuh bulan nyaris maut setelah kediaman mereka di Kampung Wakaf Mempelam, di sini hangus dijilat api dalam kebakaran, malam tadi.

Mangsa Mohd Kamarul Arifin Ismail, 39, berkata ketika kejadian 9 malam itu dia sedang menonton televisyen di tingkat bawah manakala isteri dan tiga anaknya baru naik ke tingkat atas untuk masuk tidur.

Terhidu bau terbakar datang dari dalam rumah, beliau yang merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan Kuala Berang, Hulu Terengganu lantas memeriksa seluruh rumah namun tidak menemui sebarang kejadian pelik.

Beliau kemudiannya membuka pintu hadapan rumah dan ternampak kepulan asap serta bahang api dari kedai pendawaian elektrik bersebelahan rumahnya dan api telah mula menjilat sebahagian kediamannya.

 
“Panik dengan kejadian itu, saya terus menjerit menyuruh anak dan isteri keluar selamatkan diri dan tidak lama kemudian, api mula marak membakar rumah saya. Saya hanya sempat menyelamatkan komputer riba saja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Sementara itu, pemilik kedai pendawaian elektrik dan butik pakaian wanita, Safarin Ismail berkata sebelum kejadian, bekalan elektrik kedainya tiba-tiba terputus dan kemudian dia terlihat kepulan api mula membakar pekarangan luar bangunannya.

“Masa itu saya bersama isteri dan anak berada di butik pakaian dan tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Masa nak keluar melihat apa terjadi, saya nampak api dan terus arahkan keluarga saya lari tanpa sempat menyelamatkan barangan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Terengganu Mohd Zulkhairul Razilah berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 9.13 malam di mana lima jentera dengan 29 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya ketika pihak bomba sampai, api membakar kira-kira 60 peratus rumah serta dua premis itu.

“Tindakan pantas pihak bomba kami berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke keseluruhan premis separa kekal itu di mana kita mengambil masa kira-kira satu jam untuk memadamkan api,” katanya.

Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca sebenar kejadian serta nilai kerugian masih disiasat. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/11

Kerajaan Pusat Lulus Peruntukan Untuk Empat SRJKT di Kedah – Bernama


Kerajaan Pusat Lulus Peruntukan Untuk Empat SRJKT di Kedah
PADANG SERAI: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan kepada empat lagi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) di Kedah bagi membina bangunan tambahan dan peralatan serta kerja pengubahsuaian berjumlah RM7.421 juta.

Pengerusi MIC Negeri Kedah S. Ananthan berkata sekolah tersebut adalah SRJKT Ladang Victoria, Padang Serai yang mendapat sebuah bangunan tambahan tiga tingkat bernilai RM4 juta dan SRJKT Ladang Bukit Mertajam, Karangan yang mendapat bangunan tambahan dan peralatan bernilai RM2.521 juta.

“SRJKT Ladang Sungai Dingin, Mahang, pula mendapat bangunan gantian bernilai RM500,000 dan SRJKT Sungai Batu, Merbok pula untuk kerja-kerja penyelenggaraan bumbung, membaiki tandas dan pendawaian elektrik sebanyak RM400,00,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan MIC Pusat kepada empat tadika swasta dalam kawasan Lunas di sini, Isnin.

Setiap tadika menerima antara RM1,800 hingga RM2,400, sumbangan Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel untuk meningkatkan tahap kemudahan di tadika-tadika berkenaan.Ananthan berkata kerja-kerja merobohkan bangunan lama di SRJKT Ladang Victoria sedang dijalankan untuk memberi laluan kepada bangunan tambahan yang baharu.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa kesalnya dengan perkembangan kerja-kerja pembinaan SRJKT Paya Besar, Lunas, yang dikatakan menghadapi masalah dengan pihak Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) berhubung kedudukan jalan masuk di situ.

“Kita harap pihak berkenaan tidak akan menimbulkan masalah melambat-lambatkan kerja-kerja pembinaan kompleks sekolah tersebut kerana perkara ini sudah lama dinantikan masyarakat India sekitar sejak beberapa tahun,” katanya.

Beliau juga berharap tiada sebarang campur tangan politik tempatan yang menyebabkan kerja-kerja projek pembinaan sekolah tersebut tertangguh. -BERNAMA

NUTP minta kementerian tanggung kos selenggara sekolah – Sinar Harian


NUTP minta kementerian tanggung kos selenggara sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Julai 2012

Maznah (dua, kanan) serah Buku Panduan OSH in School kepada Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu, Hashim Mat Zin.
KUALA TERENGGANU – Kementerian Pelajaran perlu menyediakan peruntukan bagi menampung kos penyelenggaraan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, ia amat penting bagi memastikan sekolah betul-betul selamat dan menghindarkan kemalangan,terutama membabitkan pelajar.

Katanya, walaupun kejadian kemalangan di sekolah terkawal, langkah awal seperti penyelenggaraan sekolah perlu dibuat dari masa ke masa.

“Untuk menyelenggara perlukan kos dan pihak kementerian perlu keutamaan mengenai peruntukan ini supaya tidak berlaku sesuatu kemalangan.

“Penyelenggaraan pendawaian elektrik, suis, tandas dan tangga kini amat memerlukan perhatian dan jabatan terlibat seperti JKR, perlu datang
dari masa ke masa untuk buat pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Program Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di Sekolah 2012 peringkat negeri Terengganu di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu di sini, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas terdapat antara guru mengelak menggunakan kenderaan sendiri bagi membawa pelajar kerana risiko jika berlaku sesuatu seperti kemalangan, Yim Pheng mengakui perkara berkenaan.

“Memang kita ada beri cadangan sebelum ini untuk beri pengangkutan kepada sekolah, tetapi mustahil untuk kerajaan sediakan bas atau van bagi setiap sekolah kerana kita kini mempunyai 10,000 sekolah di seluruh negara.

Kita mungkin boleh sediakan pengangkutan lain tetapi yang boleh dipercayai dan amalkan pemanduan selamat,” katanya.

Tingkat tahap keselamatan, kesihatan sekolah: NUTP – Bernama


Tingkat tahap keselamatan, kesihatan sekolah: NUTP

16:48:33 PM Cetak Emel Kawan

KUALA TERENGGANU: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran Malaysia mempertingkat tahap keselamatan dan kesihatan di semua sekolah di negara ini dengan menyediakan kos penyelenggaraan yang diperlukan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata banyak punca kemalangan di sekolah adalah berkaitan masalah penyelenggaraan yang sering terabai akibat kekangan kewangan.

“Penyelenggaraan di sekolah perlu dipantau dari semasa ke semasa, dan pengurusan sekolah mesti diberi peruntukan yang cukup untuk membaiki setiap kerosakan infrastruktur bagi mengelakkan kemalangan berlaku di kawasan sekolah.
“Antara infrastruktur yang perlukan penyelenggaraan ialah pendawaian elektrik yang sudah terlalu lama, tandas dan tangga bangunan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ceramah di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu hari ini.

Lebih 400 pengetua dan guru besar hadir sempena program kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan sekolah yang dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Mengulas permintaan pengetua dan guru besar yang mahu kementerian menyediakan kenderaan di setiap sekolah, Lok berkata kerajaan tidak mampu melaksanakan perkara itu kerana membabitkan kos yang sangat besar kerana terdapat 10,000 sekolah di seluruh negara.

“Kita akan fikirkan alternatif lain yang lebih selamat, dan buat masa sekarang, sekolah perlu menyediakan kenderaan untuk membawa pelajar ke program atau aktiviti di luar kawasan sekolah.
“Mungkin boleh gunakan teksi yang pemandunya kita kenal dan percayai, atau menggunakan kereta guru di mana kereta itu perlu dipastikan selamat, dan jika terjadi sebarang kemalangan, guru tersebut tidak boleh diambil tindakan mahkamah kerana dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sahaja,” katanya sambil menambah NUTP sering membawa isu ini ke peringkat kementerian namun belum mendapat kata putus.

Beliau turut mengingatkan semua pengetua dan guru besar agar meluluskan permohonan cuti tambahan 30 hari yang dikemukakan guru wanita yang hendak bersalin.

Sehingga kini, katanya, semua guru yang bersalin diberi cuti selama 60 hari dan perlu mengemukakan permohonan cuti tambahan jika mahu terus bercuti selama 90 hari.

“Tolong luluskan permohonan cuti tambahan ini kerana kita sudah ada kes di mana terdapat guru besar dan pengetua yang enggan meluluskan cuti tambahan ini sedangkan ini berkait rapat dengan faktor kesihatan guru itu sendiri,” katanya. – BERNAMA