Sebar Akta Kanak-kanak 2001 – Sinar Harian


Sebar Akta Kanak-kanak 2001

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Februari 2013
Sebar Akta Kanak-kanak 2001
Kakitangan klinik kesihatan memberi borang soal selidik HIV dan AIDS kepada pelajar tingkat empat sekolah tersebut.

TANJUNG IPOH – Statistik salah laku kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi 2012 mencecah 38 kes yang kebanyakannya melibatkan kecurian.

Pegawai JKM Bahagian Kanak-kanak, Emelia Kamarulzaman, berkata, Akta Kanak-kanak 2001, menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.

“Peringkat usia kanak-kanak di bawah akta ini ialah 18 tahun ke bawah. Akta ini merujuk kepada perlindungan kanak-kanak, melalui aktiviti untuk mencegah dan bertindak balas terhadap pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap mereka.

“Contoh penderaan seksual menurut Akta Kanak-kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam sebarang aktiviti berunsur seks. Perkara seperti ini perlu dicegah sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika ditemui selepas Program Remaja HIV dan Sayangi Diri Anda di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abdul Samad, dekat sini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, akta tersebut perlu disebarkan kepada generasi muda terutama di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

“Buat masa ini, pihak JKM telah pergi ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang Tinggi, SK Tunku Kurshiah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Muhammad dan SMK Tunku Besar Burhanuddin.

“Pihak JKM amat mengalu-alukan pihak klinik kesihatan untuk bekerjasama dengan kami bagi memberi pendedahan maklumat kepada remaja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Panel Klinik Kesihatan Terachi, Ahmad Awaludin berkata, program tersebut mensasarkan remaja supaya mereka tidak terjebak kegiatan jenayah yang merosakkan masa depan sendiri.

“Kita khuatir, ramai anak Melayu yang tersasar akibat perbuatan sendiri.

“Tidak bersekolah, mencuri, melakukan perbuatan dilarang dalam Islam. Semua ini perlu dibendung dari peringkat awal supaya ia tidak berleluasa,” katanya.

Ahmad menyatakan, melalui program tersebut, sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran, kefahaman, secara lebih terperinci berhubung HIV dan Aids.

“Melalui ceramah yang disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Klinik Kesihatan Terachi, Dr Farhana Mohd Yusuf, menerangkan kepada remaja cara hidup sihat bebas HIV dan Aids.

“Saya berharap, dengan adanya program ini dapat meningkatkan pengetahuan remaja selain memberi manfaat kepada pelajar tingkatan  empat,” katanya.

Ramai Kanak-Kanak Lelaki Alami Penderaan Seksual Di Rumah Anak Yatim – NGO – mStar


Ramai Kanak-Kanak Lelaki Alami Penderaan Seksual Di Rumah Anak Yatim – NGO

Oleh R.S.N MURALI

MELAKA: Sebuah NGO mendakwa bahawa semakin ramai kanak-kanak lelaki di bawah umur didera secara seksual di rumah kebajikan di Durian Daun.

Presiden Persatuan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak) Muhammad Khairul Hafiz mendakwa tiga kanak-kanak lelaki berusia antara 13 dan 14 tahun, telah membuat laporan polis pada 12 November di ibu pejabat polis negeri di sini.

“Mangsa berkata, mereka disuruh melakukan masturbasi di hadapan pegawai kanan dan bermain-main dengan alat sulitnya,” katanya.

Muhammad Khairul berharap pelaku akan ditahan tidak lama lagi.

Sekolah tersebut adalah rumah kepada kira-kira 150 kanak-kanak lelaki di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ini bukan kali pertama laporan telah dibuat terhadap pekerja di situ.

Pada bulan Julai, Perbak mendakwa pegawai-pegawai kanan di rumah yang sama telah meliwat dan melakukan penderaan seksual terhadap kira-kira 150 penghuni di bawah umur.

Pada masa itu, Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (bahagian kanak-kanak) Saidatol Aini Jafri berkata jabatan itu akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis dalam siasatan mereka.

“Kami prihatin terhadap dakwaan itu dan akan bekerjasama rapat dengan pihak polis,” katanya yang kemudiannya dipetik sebagai berkata.

Muhammad Khairul mendakwa dia mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan.

“Tahun ini sahaja beberapa laporan polis telah dikemukakan oleh anak-anak yatim yang telah diliwat oleh pegawai-pegawai. Para pegawai semakin kurang ajar kerana tiada tindakan telah diambil walaupun banyak laporan polis telah dibuat,” dakwanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Superintndan PR Gunarajan mengesahkan menerima laporan dan berkata siasatan sedang dijalankan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Negeri, Datuk Norpipah Abdol berkata pihaknya akan menjalankan siasatan.

Kes Remaja Hamil Luar Nikah: ‘Satu Kelahiran Setiap Hari’ – mStar


Kes Remaja Hamil Luar Nikah: ‘Satu Kelahiran Setiap Hari’

Oleh IVY SOON

KLANG: Semakin ramai remaja Malaysia hamil luar nikah dengan beberapa hospital utama mencatatkan sekurang-kurangnya satu kes setiap hari.

Menurut Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr Mohamad Farouk Abdullah, kira-kira 12,000 anak luar nikah dilahirkan di hospital tersebut.

“Kami ingat kes remaja hamil luar nikah hanya berlaku di Klang tetapi senario sama turut dihadapi enam hospital pakar di Selangor,” katanya.

“Remaja berusia 12 tahun merupakan remaja termuda melahirkan anak di hospital ini,” kata Dr Mohamad Farouk pada seminar ‘Pregnant by Choice, Not by Chance or Force’.

Ia dianjurkan hospital tersebut sempena bulan Perancangan Keluarga.

Kementerian Kesihatan merekodkan kira-kira 18,652 kelahiran oleh remaja berusia di bawah 19 tahun pada 2011 berbanding hanya 5,962 kes pada separuh kedua 2010.

Pegawai perubatan kebajikan sosial HTAR, Nurul Azira Mahamad Jafar berkata, dia menguruskan sekurang-kurangnya satu kes remaja hamil luar nikah setiap hari pada tahun ini.

“Saya pernah mengendalikan 14 kes, bilangan tertinggi dalam tempoh sehari melibatkan remaja hamil di usia muda,” katanya.

Nurul Azira memberitahu dia pernah menguruskan kes yang melibatkan remaja hamil luar nikah, mangsa rogol dan penderaan seksual di hospital tersebut dalam tempoh enam tahun.

Kebanyakan remaja yang hamil ini diarahkan oleh klinik untuk merujuk kepada hospital.

Ini kerana, kehamilan di usia remaja dianggap kes berisiko tinggi.

Seorang remaja berdepan risiko dua kali ganda untuk meninggal dunia akibat komplikasi kehamilan atau ketika melahirkan anak berbanding wanita berusia 20-an.

Kebanyakan remaja datang ke hospital mengadu mengalami ketidakselesaan di bahagian perut.

Sebagai sebahagian daripada protokol hospital, doktor akan melakukan pemeriksaan kehamilan ke atas mereka.

Sekiranya disahkan hamil, mereka akan dimasukkan ke wad dan pihak hospital akan memaklumkan perkara itu kepada keluarga remaja terbabit.

Nurul Azira berkata, remaja di bawah usia 18 tahun yang hamil dan anak mereka dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 serta akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam kebanyakan kes, remaja hamil luar nikah kerana mereka melakukan hubungan seks dengan pasangan masing-masing.

“Mereka terdiri daripada keluarga bermasalah dan berpendapatan rendah. Ada sesetengah daripada mereka melarikan diri dari rumah.

“Kami menjalin hubungan baik dengan remaja-remaja ini. Oleh kerana takut, mereka tidak akan menceritakan perkara itu kepada keluarga, jadi kami perlu mendapat kepercayaan mereka untuk memperoleh maklumat keluarga,” katanya.

Nurul Azira berkata, kebanyakan ibu bapa malu apabila dimaklumkan mengenai keadaan anak mereka.

“Mereka bimbang jiran akan mengetahui perkara tersebut. Terdapat juga segelintir ibu bapa yang mengakui gagal mengawal tingkah laku anak mereka.

“Kebiasaannya kami akan menasihatkan remaja terbabit dan ibu bapa mereka untuk mendapatkan kaunseling,” katanya.

Jelasnya lagi, sekiranya ibu bapa tidak dapat menjaga ibu dan anak tersebut, mereka boleh menyerahkan kedua-duanya kepada JKM.

Beliau menceritakan kes remaja berusia 13 tahun yang melahirkan anak luar nikah baru-baru ini.

“Ibu bapanya berkata mereka enggan memberi jaminan bahawa remaja tersebut tidak akan hamil semula sekiranya bapa kepada anak luar nikah itu tinggal di kawasan sama,” katanya.

“Jadi mereka bersetuju untuk menghantar remaja dan bayi tersebut ke JKM,” katanya.