Budak tujuh tahun dakwa diliwat rakan – Metro


Budak tujuh tahun dakwa diliwat rakan

 15  4 Google +1  0  0

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mendakwa diliwat rakan dalam kejadian di sebuah rumah di Cheras, di sini, kelmarin.

Mangsa mendakwa diliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang juga tinggal di kawasan perumahan sama dalam kejadian jam 4.30 petang itu.
Menurut sumber, mangsa pada mulanya diarahkan ibunya berusia 44 tahun untuk mengambil surat khabar di sebuah rumah di kawasan perumahan itu.

 

“Mangsa pulang ke rumahnya 30 minit kemudian dalam keadaan menangis. Ibu mangsa yang hairan dengan sikap anaknya itu bertanyakan apa yang berlaku.
“Wanita terbabit terkejut apabila anaknya mendakwa seorang kanak-kanak lelaki memasukkan kemaluan ke duburnya dengan cara paksa,” katanya.
Sumber berkata, wanita berkenaan dan suaminya bergegas ke rumah kanak-kanak terbabit bagi mendapatkan penjelasan namun kehadiran mereka tidak dialu-alukan keluarga kanak-kanak itu.

 

“Mangsa kemudian dibawa ibu dan bapanya ke Balai Polis Cheras untuk membuat laporan kejadian itu,” katanya.
Katanya, kanak-kanak terbabit masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malah doktor juga sudah melakukan pemeriksaan terhadapnya.

 

Difahamkan, kes berkenaan kini dikendalikan Bahagian Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/16

JKM siasat remaja diseksa – Metro


JKM siasat remaja diseksa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan kini menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan empat remaja mendakwa diseksa di sebuah rumah perlindungan di Rembau, menyebabkan mereka melarikan diri, Selasa lalu.

Jurucakap JKM Negeri Sembilan berkata, setakat ini belum ada keputusan dibuat kerana siasatan masih dijalankan.
“Kami memerlukan masa mengumpul maklumat sebelum mengambil tindakan susulan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak), Mohammad Khairul Hafiz Abdullah berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap rumah perlindungan remaja terbabit jika dakwaan empat remaja itu benar.
Menurutnya, pihak diamanahkan menjaga remaja itu perlu melakukan tugas dengan ikhlas bagi mengelak perkara seperti ini berlaku.
“Kejadian seperti itu pernah terjadi sebelum ini di tempat dan lokasi berbeza, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pengurusan serta kakitangan rumah kebajikan terbabit.

 

“Penderaan ini adalah satu penganiayaan dan pencabulan hak remaja berkenaan. Jika dakwaan ini benar, kami akan mengambil tindakan undang-undang selain berusaha meminta mahkamah memberi kebenaran kepada pihak berkaitan membuat lawatan mengejut di rumah perlindungan terbabit,” katanya, semalam.
Menurut Khairul, lawatan mengejut itu bertujuan menyelami apa sebenarnya berlaku di situ selain berusaha memastikan kejadian dera dapat ditangani.

“Kami beranggapan tiba satu tahap untuk mewujudkan lembaga pelawat yang akan membuat pemeriksaan dan lawatan ke rumah perlindungan seperti ini bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini terjadi,” katanya.
Kelmarin, Harian Metro melaporkan, empat remaja mendakwa terpaksa melarikan diri kerana tidak tahan ditampar dan diterajang penghuni serta kakitangan rumah perlindungan remaja terbabit.

Pasangan tak mengaku dera anak – Utusan


Pasangan tak mengaku dera anak

JOHOR BAHRU 27 April – Sepasang suami isteri warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mendera tiga anak mereka pada Ahad lalu.

Idris Yaacob, 46, dan ibu tiri kepada mangsa, Zarina Ibrahim, 39, dituduh dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap ketiga-tiga mangsa yang berusia tujuh, 10 dan 14 tahun.

Pasangan yang bekerja sebagai guru muzik itu didakwa melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari, 22 April lalu di sebuah rumah di Kampung Melayu, Gelang Patah dekat sini.

Pegawai pendakwa, Inspektor Hasbullah Noor menawarkan ikat jamin RM45,000 bagi setiap tertuduh namun kedua-duanya merayu agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan kurang berkemampuan dan tidak dapat menghubungi ahli keluarga bagi meminta bantuan.

Majistret Hafizah Johor Ariff Johor kemudian membenarkan pasangan tersebut masing-masing diikat jamin RM25,000 sementara menunggu sebutan kes pada 11 Jun ini.

Memetik laporan akhbar, polis menahan kedua-dua tertuduh di rumah mereka pada Selasa lalu kerana dipercayai mendera tiga anak mereka.

Penahanan tersebut adalah hasil laporan yang dibuat sendiri oleh seorang remaja perempuan berusia 14 tahun kerana tidak tahan dengan penderaan yang dilakukan terhadapnya dan juga ke atas adik perempuannya berusia 10 tahun serta adik lelakinya, tujuh tahun.

Suspek kes dera ditahan polis – Bernama


Suspek kes dera ditahan polis

2012/01/03

GEORGETOWN: Kurang dari 12 jam selepas menjadi buruan polis, seorang pekerja barang lusuh yang dipercayai terbabit dengan kes penderaan, berjaya ditahan polis dengan bantuan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).

Menurut jurucakap polis, suspek yang berumur 49 tahun itu berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri di Pasar Jelutong pada jam 12.30 pagi tadi.

Katanya, suspek turut cuba mengubah identitinya dengan membotakkan kepalanya untuk mengelak daripada dikenali namun cubaan itu tidak berhasil dan lelaki itu berjaya diberkas ketika sedang menunggang motosikal.

“Lelaki itu dibawa ke balai polis Jelutong untuk soal siasat dan dijangka dibawa ke Mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan hari ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, ketika dihubungi di sini pagi tadi, mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, kes itu akan di siasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Semalam, polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, yang dikurung dalam sebuah rumah di Jalan Perak.
Budak itu disyaki mangsa dera bapanya berdasarkan kesan lebam lama dan baru di belakang badan dan calar di kaki serta tangan, dikatakan menangis dan meminta tolong selama 10 jam, bermula jam 3 petang sehinggalah diselamatkan pada 1 pagi.

Kanak-kanak itu kini masih mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana terdapat kesan luka di tangan, badan dan kakinya. – BERNAMA