Skim Gaji Bersepadu – NUTP


Skim Gaji Bersepadu

Skim Gaji Bersepadu

Untuk Makluman,

Skim Gaji Bersepadu untuk Guru akan disiarkan pada 1.1.2014.

JPA telah memaklumkan perkara ini kepada KPPK.

Diharap bersabar.

Pn Lok Yim Pheng

Setiausaha Agung KPPK

Tarikh Berita/News Date:

‘Ini soal pendidikan, bukan politik’ – Metro


‘Ini soal pendidikan, bukan politik’

 0  0 Google +1  0  0

London: Langkah meningkatkan tempoh masa pembelajaran subjek Bahasa Malaysia (BM) daripada 180 minit kepada 240 minit seminggu di semua sekolah vernakular adalah hasil kajian dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan itu tidak ada kaitan dengan politik, sebaliknya adalah agenda pendidikan yang dirumus pakar.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, langkah itu dikemuka kerana kementerian tidak mahu melihat murid sekolah vernakular mengikuti pembelajaran subjek BM pada tahap teramat rendah berbanding pelajar sekolah kebangsaan.

 

“Kementerian tidak membuat keputusan dengan sewenang-wenangnya hanya untuk menguatkuasakan ia semata-mata. Ini soal pendidikan, bukan politik. Saya bukan pakar pengajar, bukan menteri yang menyimpulkan berapa tempoh masa paling sesuai untuk sesi itu, tapi pakar pengajar yang merumuskannya,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.
Muhyiddin yang berada di sini dalam rangka lawatan kerja lima hari ke United Kingdom (UK) berkata, beliau membangkitkan perkara itu susulan kritikan sesetengah pihak.
Lanjutan tempoh masa pembelajaran subjek BM di sekolah vernakular adalah antara ketetapan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancar Muhyiddin di Kuala Lumpur, minggu lalu.

 

Ditanya mengenai tindakan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang masih mengkritik PPPM, Muhyiddin berkata, beliau tidak mahu mengulas setiap perkara yang dibangkitkan persatuan itu kerana Dong Zong akan terus mengkritik.
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, sejak dilancarkan, PPPM menerima banyak maklum balas termasuk menerusi kira-kira 55,000 khidmat pesanan ringkas (SMS) yang rata-rata mahu melihat kejayaan sistem pendidikan negara.

 

“Ada juga pihak yang mahu Kementerian Pendidikan melibatkan mereka secara berterusan bagi mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan pelan induk pendidikan negara itu,” katanya.
Menurut Muhyiddin, kementerian tidak mempunyai masalah berhubung penglibatan pihak berkenaan dalam PPPM, namun sewajarnya kementerian itu juga diberi peluang menjelaskan secara terperinci pelan berkenaan mengikut fasa yang ditetapkan.
Muhyiddin sebelum itu menghadiri ‘Forum Merdeka 2013: 56 Years of Merdeka, Road to 2020’ anjuran pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di UK. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/14

Buku seorang guru – Kosmo


Buku seorang guru

 

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

 

WAN ZAYUHISHAM menunjukkan buku-buku yang telah ditulisnya sejak tahun 2009.

 

MEMILIH kerjaya sebagai seorang pendidik, Wan Zayuhisham Wan Yusoff, 41, mengakui, beliau amat bersyukur dengan perjalanan hidupnya yang telah diatur Ilahi.

Selama 17 tahun bergelar guru, banyak pengalaman pahit manis yang diperoleh dalam dunia persekolahan yang saban tahun semakin mencabar. Ini kerana perkembangan teknologi juga menjadikan para pelajar lebih ke hadapan dalam pelbagai aspek.

Situasi itu sekali gus memberi cabaran besar buat guru bagi menangani masalah tersebut. Menyedari hakikat itu, Wan Zayuhisham terpanggil untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat melalui penulisan buku-buku remaja.

Terbaharu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan PPR Taman Lembah Subang itu tampil dengan karya bertajuk Cikgu, Anak Saya Okey? yang memaparkan pelbagai dilema yang dihadapi pelajar.

Ia merupakan sebuah buku motivasi kedua beliau selepas menghasilkan buku Suami Yang Teruji berdasarkan catatan pengalaman, pengisahan rakan-rakan guru serta pemerhatian sendiri mengenai isu-isu pendidikan dan persekolahan.

Menurut Wan Zayuhisham, selain menulis mengenai masalah yang dihadapi, beliau juga memberi pandangan untuk mengatasinya. Tidak ketinggalan, tip-tip ringkas untuk ibu bapa dalam mendidik anak-anak turut diselitkan.

“Jujur saya katakan, bahawa apa yang dipaparkan dalam buku ini bukan untuk mengajar ibu bapa mendidik anak-anak tetapi sekadar berkongsi pengalaman dan kaedah yang pernah dipelajari melalui kelas pengajian, seminar, diskusi dan pembacaan.

“Buku ini juga mampu memberikan gambaran keseluruhan kepada para ibu bapa mengenai dunia persekolahan anak-anak,” ujar Wan Zayuhisham sambil memberitahu, buku itu disiapkan sewaktu cuti persekolahan pada bulan November dan Disember tahun lalu.

Lapan buah buku

Mula terjun dalam dunia penulisan sejak Mei 2009, anak kelahiran Setiu, Terengganu itu sudah menghasilkan lapan buah buku.

Buku pertamanya bertajuk Impian Juara diterbitkan pada 2010. Ia diikuti Ops Menjejak Pencuri, juga pada tahun yang sama, Impian Juara 2 (2011), Ops Conteng dan Suami Yang Teruji (2012) serta Erti Persahabatan dan Ulat Buku (2013).

Tambah beliau, kesibukan tugas sebagai seorang guru bukan penghalang untuknya aktif menulis. Apa yang penting, pengurusan masa yang bijak mampu membantu mencapai kejayaannya dalam bidang penulisan.

“Saya biasa menulis selepas asar tetapi pada kebanyakan masa, waktu yang paling ideal bagi saya adalah selepas isyak dan awal pagi. Ada ketika, saya juga pernah tertidur di hadapan komputer gara-gara terlalu letih,” luah bapa kepada lima cahaya mata itu lagi.

Ditanya mengenai kepuasan yang dirasai dalam bidang penulisan, Wan Zayuhisham pantas menjawab: “Perasaan itu sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Bagi saya, bila seseorang penulis dapat menghasilkan sebuah buku, ia boleh diibaratkan seperti melahirkan bayi. Itu yang saya rasa.”

Selain SK PPR Taman Lembah Subang, Wan Zayuhisham pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tungku (1994-1998), diikuti SK Sains Dominic (1999-2002), kedua-duanya di Lahad Datu, Sabah dan SK Taman Medan, Jalan Klang Lama (2003-2010).

Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan Wan Zayu- hisham, layari laman blognya ilhamwan.blogspot.com.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2XnRXUpSS
Hakcipta terpelihara

Manfaat pelajar, pendidik – Berita Harian


Manfaat pelajar, pendidik

13/09/2012 – 05:34:12 AMCetakEmel Kawan
Keputusan kerajaan mengubah sistem pendidikan negara mendapat sokongan semua pihak dan pada masa sama memberikan pelbagai cadangan penambahbaikan.

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin itu bagi memastikan setiap rakyat mendapat pendidikan terbaik bersandarkan keperluan semasa dan masa hadapan mencabar.

Generasi sekarang makin cerdik

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata anak-anak zaman sekarang semakin cerdik dan cepat matang, jadi tak perlu bersekolah terlalu lama.

Dengan perubahan ini, pada usia 21 tahun mereka sudah lulus sebagai siswazah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berkata, laporan itu memberi petanda baik kepada masa depan pendidikan negara dan yakin ia dapat membantu kerajaan terus melakukan transformasi pendidikan yang merentasi politik bagi melahirkan generasi berwibawa.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, berkata pelan itu adalah satu rancangan jangka panjang yang memberi banyak manfaat kepada pendidik.
Saya lihat, apa yang ditegaskan Perdana Menteri adalah untuk meningkatkan prestasi pendidik. Untuk itu, ia memerlukan perubahan sikap semua pihak dalam bidang pendidikan, katanya.

Di Jerantut, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sabri Arshad yang menyokong pelan itu mahu laporan itu dilaksanakan dengan penuh teliti, komprehensif dan berhati-hati dari semua sudut bagi mengelak kegagalan.

Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), Jemale Paiman, pula berpendapat laporan pelan tindakan holistik itu membabitkan semua lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar dalam usaha menjaga piawaian pendidikan setara.

Ini akan merapatkan jurang perbezaan mutu pendidikan di bandar dan luar bandar kerana selama ini ramai beranggapan perbezaan lokasi menentukan mutu dan kejayaan sesebuah sekolah, katanya.

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam pula menyarankan beberapa penambahbaikan dilakukan untuk menjadikan pelan itu lebih inklusif.

Katanya, dasar pendidikan negara sepatutnya menghapuskan sistem dikotomi dengan memastikan semua aliran sekolah diberi karektor kebangsaan dan bersifat inklusif untuk kepentingan perpaduan nasional.

Tidak dinyatakan bagaimana sekolah vernakular, mubaligh dan sekolah agama yang dikategorikan sekolah jenis kebangsaan dan menerima bantuan kewangan terhad, boleh dijadikan sekolah bantuan penuh dan sekolah kebangsaan. Majoriti pelajar di sekolah mubaligh adalah pelajar Melayu, maka kajian semula adalah perlu, katanya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI – MAAF ZAHIR BATIN


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI – MAAF ZAHIR BATIN

Himpunan Berita (HB) ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, maaf zahir dan batin kepada warga kerja Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), warga kerja Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), warga kerja Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), warga kerja NUTP, warga pendidik di seluruh Malaysia, murid-murid di seluruh Malaysia dan pengunjung yang sering melawat dan mendapatkan maklumat di dalam HB ini.

HB doakan semoga perjalanan anda semua selamat sampai ke destinasi yang dituju. Amin.


“Biar lambat asal selamat” dan “Sayangilah insan tersayang”.

Salam Aidilfitri dari HB.

Editor

Suka duka tugas seorang pendidik – Kosmo


Suka duka tugas seorang pendidik


 

TULISAN yang tertera ayat berbunyi, ‘Saya ada rumah. Rumah saya cantik’ kelihatan ditulis kemas di atas papan putih. Kemudian, kedengaran pula suara nyaring sekumpulan kanak-kanak mengeja satu persatu huruf yang membentuk ayat tersebut.

“Baiklah, sekarang siapa yang mahu mengeja dan membacanya seorang diri?,” tanya Liza Mokhtar, 30, seorang guru yang bertugas di Tadika Ilham Bestari yang terletak di Ampang, Selangor itu.

Sebaik mendengar kata-kata rangsangan daripada Liza, masing-masing bersemangat untuk mencuba sambil mengangkat tangan dan menjerit supaya nama mereka dipanggil untuk melakukan tugas tersebut.

Namun, apabila ada dalam kalangan mereka nama tidak dipanggil cikgu, keluhan kecil terkeluar dari mulut mereka. Ternyata riak muka anak-anak itu menunjukkan kehampaan.

Itulah sebahagian gelagat pelajar tadika berusia enam tahun yang dapat disaksikan ketika mengikuti sesi pengajaran mereka di dalam kelas tersebut.

Menurut Liza, sepanjang empat tahun mengajar di tadika itu, banyak pengalaman manis yang diperoleh terutama dalam mengenali karakter setiap kanak-kanak yang belajar di sana.

“Memang seronok mengajar mereka. Apatah lagi, masing-masing mempunyai keletah tersendiri. Walaupun kadang-kadang mereka cepat bosan apabila belajar, tetapi apabila kita adakan kuiz atau permainan, semuanya berebut-rebut untuk mencuba,” ujar Liza sambil memberitahu guru perlu berbuat sesuatu yang kreatif apabila melihat fokus kanak-kanak mula hilang di dalam kelas.

Bagi Siti Zabedah Abu Bakar, 28, pula, sebagai seorang guru tadika, mereka perlu bijak menarik perhatian kanak-kanak. Justeru, praktik pembelajaran menggunakan peralatan tertentu amat penting untuk dilaksanakan.

“Contohnya penggunaan kad huruf, bentuk-bentuk objek dan sebagainya. Selain itu, teknik belajar sambil menyanyi dan menari juga mampu mengembalikan minat kanak-kanak ini pada pembelajaran,” kata Zabedah yang mula mengajar di Tadika Ilham Bestari pada tahun 2008.

Mencuit hati

PENDIDIKAN awal kanak-kanak di tadika mampu membentuk sikap dan peribadi mereka ke arah yang lebih positif.

 

Tambahnya, meskipun ada waktunya kanak-kanak di tadika itu membuatkan dirinya tertekan, namun pada masa yang sama mereka juga yang menjadi penawar hati mereka dengan pelbagai gelagat yang mencuit hati.

Sementara itu, Pengetua Tadika Ilham Bestari, Noor Azah Adnan, 50, memaklumkan bahawa, setiap guru perlu ikhlas dalam menjalankan tugas mereka sebagai pendidik.

“Guru ialah satu pekerjaan yang mulia. Bahkan setiap kejayaan pasti bermula daripada didikan seorang guru. Justeru, amat penting untuk menanamkan sifat menghormati guru kepada anak-anak sejak kecil lagi,” tutur Azah yang sudah terlibat dalam pengurusan taska dan tadika sejak dua dekad lalu.

Berkongsi pengalaman, ibu kepada lima cahaya mata itu memberitahu, kanak-kanak yang dibesarkan di taska kendaliannya dan kemudian memasuki prasekolah di Tadika Ilham Bestari, mereka tidak segan silu berkongsi masalah dengan guru yang sudah dianggap seperti kawan.

“Bayangkan apabila seorang bekas pelajar tadika ini ketika didatangi haid pertama, dia bukan memberitahu ibunya sendiri, sebaliknya terus menceritakan masalah itu kepada guru yang pernah mengajarnya dahulu.

“Ia mungkin disebabkan rasa hormatnya pada guru tersebut sejak kecil. Kanak-kanak mempunyai hati yang bersih. Mereka tidak pernah berdendam apabila dimarahi, malah cepat lupa tentang apa yang telah dibuat kepada mereka. Lantaran itu, pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam mencorak perilaku mereka yang akan dibawa hingga dewasa,” tegas Azah.

Selepas menerima didikan awal di tadika, sekolah rendah pula menjadi medan untuk kanak-kanak meneruskan perjuangan mereka dalam menimba ilmu. Jika mereka cemerlang di tadika, pencapaian itu akan diteruskan di sekolah rendah.

Andai guru yang mengajar mereka cukup komited dan berdedikasi, tidak mustahil minat untuk belajar sentiasa subur dan mekar dalam jiwa masing-masing.

Perkara ini diakui oleh Gopinat Muthy, 30, Ketua Panitia Bahasa Tamil, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anggerik di Taman Len Sen, Cheras, Kuala Lumpur.

Ujar Gopinat, proses pengajaran masa kini lebih cenderung menggunakan peralatan alat bantu mengajar seperti kaedah persembahan daripada perisian power point, kad imbas dan membawa pelajar keluar dari kelas untuk melihat persekitaran.

HUBUNGAN guru dan pelajar yang erat menjadikan suasana pembelajaran di sekolah berjalan dengan harmoni.

 

“Kalau dahulu, guru hanya statik belajar di dalam kelas dan papan hitam, tetapi sekarang kaedah sedemikian boleh membuatkan pelajar jemu sekali gus menghilangkan minat mereka untuk belajar,” ungkap graduan Fakulti Bahasa dan Linguistik dari Universiti Malaya itu.

Dalam pada itu, memegang jawatan sebagai Ketua Guru Disiplin, Gopinat memberitahu, masalah atau kes disiplin yang melibatkan pelajar sekolah rendah tidak terlalu tinggi.

“Kes yang berlaku hanya melibatkan pergaduhan kecil disebabkan ejek-mengejek sesama mereka. Masalah itu biasanya dapat diselesaikan dalam tempoh sehari atau paling cepat satu jam. Kes seperti ponteng sekolah pula, jarang berlaku di sekolah ini,” kata Gopinat yang rasa amat dihargai apabila ramai pelajar memberinya hadiah sewaktu sambutan hari guru atau hari lahir.

Sementara itu, Guru Besar SK Seri Anggerik, Sabariah Ali berkata, seiring dengan perkembangan teknologi, pelajar kini semakin bijak dan lebih mengetahui banyak perkara berbanding guru.

“Situasi ini menjadikan cabaran yang dihadapi para guru semakin besar. Justeru, amat penting mereka berada setapak di hadapan pelajar agar tidak dipandang rendah kerana buta teknologi maklumat (IT) contohnya dalam memahami penggunaan gajet-gajet canggih,” ungkap Sabariah.

Guru berperanan jelas perkara benar – Kosmo


Guru berperanan jelas perkara benar

MUHYIDDIN disambut guru-guru pada Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak di Ipoh semalam.

 

IPOH – Guru berperanan menjelaskan kepada rakyat perkara benar bagi menangkis serangan pembangkang terhadap kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun tidak boleh terlibat dalam politik secara aktif, guru sebagai penjawat awam berperanan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai serangan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang.

“Kita tidak perlu bersifat apologetik apabila kita membicarakan apa yang kerajaan telah buat,” katanya ketika menjawab soalan peserta pada Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak di sini semalam.

Beliau berkata, pembangkang sering memfitnah dan membuat pelbagai tohmahan tetapi guru dalam perkhidmatan kerajaan tahu bahawa ia tidak benar.

Menjawab soalan lain, Muhyiddin berkata, kerajaan akan menyemak semula elaun guru besar yang didakwa terlalu rendah iaitu RM100 sebulan.