Pendidikan agama di Selangor tidak diabaikan: Muhyiddin – Berita Harian


Pendidikan agama di Selangor tidak diabaikan: Muhyiddin

2011/03/29

BANTING: Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap pembangunan pelajaran termasuk pendidikan agama walaupun di negeri-negeri yang kini diperintah pakatan pembangkang seperti Selangor, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebagai tanda komitmen kerajaan persekutuan terhadap pendidikan agama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, hari ini menyampaikan geran bantuan berjumlah RM3.22 juta kepada 23 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada satu majlis di sini, dengan setiap SABK menerima sebanyak RM140,000.

Pada majlis perjumpaan bersama wakil-wakil sekolah dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) seluruh Selangor di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah Sungai Manggis di sini sempena lawatan seharinya ke Selangor, beliau turut mengumumkan bantuan pengurusan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) seluruh negara berjumlah RM4.998 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, RM1.4 juta diperuntukkan untuk SAR dan KAFA di Selangor.

Katanya, terdapat 188 buah SAR dan KAFA di seluruh Selangor yang mempunyai 90,620 pelajar yang akan mendapat manfaat daripada peruntukan terbabit.

Bagi SABK di seluruh negara pula, Muhyiddin berkata, sejumlah RM120.77 juta diperuntukkan sebagai belanja pengurusan dan daripada jumlah itu, RM29.27 juta diperuntukkan bagi SABK di Selangor yang berjumlah 23 buah dengan jumlah pelajar 15,586 orang.

Beliau berkata, sejumlah RM95 juta telah diperuntukkan sebagai bantuan untuk SAR seluruh negara dalam Bajet 2011 di mana RM9.6 juta diperuntukkan bagi Selangor.
Katanya, bantuan itu akan digunakan bagi kursus untuk guru-guru SAR, pembinaan dan pembaikan kecil SAR.

Beliau berkata, ilmu adalah asas bagi seseorang itu untuk mendapatkan bukan sahaja kejayaan di dunia bahkan juga di akhirat.

Muhyiddin berkata, kerajaan persekutuan mengutamakan pembangunan pendidikan untuk rakyatnya di mana 26 peratus daripada bajet negara adalah dikhaskan bagi pendidikan. – BERNAMA