PPPM: Soalan UPSR, SPM berbentuk pemikiran tinggi – Bernama


PPPM: Soalan UPSR, SPM berbentuk pemikiran tinggi

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang 2016.

Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan itu bermaksud guru tidak lagi perlu meramal soalan dan topik yang akan diuji dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran.

“Sebaliknya murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan dalam situasi berbeza,” demikian menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Pelan itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, kurikulum peperiksaan dan pentaksiran untuk mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga akan dikaji semula.

Untuk itu, murid akan mendapat tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek, khusus bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam usaha memastikan setiap murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat SPM bermula 2016.

Bagi membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi membolehkan mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.

Bagi meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris, semua 61,000 guru bahasa Inggeris juga diwajibkan mengikuti Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh dua tahun.

Berhubung usaha melahirkan rakyat yang menghayati nilai sejagat, pelan itu menggariskan bahawa Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral perlu diperkukuh dengan tumpuan diberikan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid.

Dengan itu, setiap murid sekolah rendah dan menengah perlu melibatkan diri dalam khidmat komuniti di mana elemen komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan bagi sekolah menengah.

Selain itu, keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab dan 1Badan Beruniform juga akan diperkukuh, dan bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di sekolah, guru penasihat aktiviti akan diberi latihan bersasaran oleh kementerian.

“Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan penglibatan ini sebagai syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi,” menurut pelan itu. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_30/PPPM-Soalan-UPSR-SPM-berbentuk-pemikiran-tinggi#ixzz2e7riv3Q9
© Utusan Melayu (M) Bhd

LGBT: Guru perlu kreatif didik pelajar – Utusan


LGBT: Guru perlu kreatif didik pelajar

Sebahagian daripada guru dan ibu bapa yang menghadirI Seminar Keibubapaan Menangani Isu LGBT di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

BUKIT MERTAJAM 31 Jan. – Guru perlu mengunakan kreativiti mereka untuk mendedahkan pelajar kepada kesan buruk gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang kini merupakan masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya menyedari gejala itu semakin menular di negara ini dan satu langkah segera lebih proaktif harus diambil bagi menanganinya.

Ekoran itu ujarnya, kementerian memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Kesihatan dan Reproduktif di sekolah yang menekankan isu-isu pendidikan seks dalam kalangan pelajar.

“Selain itu, melalui transformasi pendidikan yang dibuat, mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral juga diperkemaskan bagi menyediakan pelajar yang lebih matang tentang isu-isu berkaitan sosial.

“Biarpun tiada garis panduan khusus tetapi guru-guru terutama kaunselor dan guru hal ehwal murid harus lebih kreatif untuk menjelaskan isu ini kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan Menangani Isu LGBT di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.

Seminar sehari anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-sekolah Putrajaya itu adalah kali kedua diadakan di Pulau Pinang.

Tambah Mohd. Puad, pada masa sama peranan untuk menangani isu LGBT dalam kalangan pelajar sekolah juga tidak terletak di bahu guru semata-mata tetapi melibatkan ibu bapa dan masyarakat.

“Ini kerana tidak ramai dalam kalangan masyarakat yang mengetahui tanda-tanda awal seseorang pelajar itu terjebak atau mengenali simptom LGBT sebelum terdedah lebih jauh,” katanya.

Jelasnya, ibu bapa sendiri harus mengawal anak masing-masing sejak di bangku sekolah lagi serta mendidik mereka tentang gejala sosial yang serius itu.

“Isu ini harus dicegah dari peringkat awal lagi dan tidak hanya dibincangkan apabila berlaku sesuatu kes melibatkan sekolah yang dilanda masalah LGBT,” ujarnya.

“Oleh itu, peranan ibu bapa di dalam PIBG juga amat diharapkan agar ditangani sebaiknya serta pencegahan awal dapat dibuat dan tidak hanya menunggu program pemulihan,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130201/dn_07/LGBT-Guru-perlu-kreatif-didik-pelajar#ixzz2JeQ0iX9a
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kualiti pendidikan Islam perlu ditingkat, titah Sultan Johor – Sinar Harian


Kualiti pendidikan Islam perlu ditingkat, titah Sultan Johor
MOHD FIRDAUS YON
14 Ogos 2012

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima cenderahati daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin – Foto Bernama
JOHOR BAHRU – Dalam suasana dunia yang semakin terbuka dan mencabar, kualiti pendidikan agama Islam perlu dipertingkat dan pengurusan agama juga perlu dijalankan dengan lebih tersusun, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Baginda bertitah, tumpuan perlu diberikan bukan sahaja kepada pelajaran dan kurikulum pelajar, tetapi juga kemudahan tempat belajar yang selesa.

“Pengurusan yang cekap dan keupayaan tenaga pengajar yang cemerlang perlu diberikan perhatian yang serius,” titah baginda pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pendaftaran Sekolah-Sekolah Agama Negeri Johor Sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, termeterainya perjanjian pendaftaran lapan buah Sekolah Agama Rendah Agama Bersepadu dan 20 buah Sekolah Menengah Agama di negeri ini sebagai SABK di bawah Kementerian Pelajaran.

Turut berangkat tiba ke majlis berkenaan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggung Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Ali Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil dan Mufti Negeri Johor, Datuk M Tahrir Shamsudin.

Sultan Ibrahim bertitah, perjanjian persefahaman yang ditandatangani bukan bermakna penyerahan kuasa Kerajaan Negeri dalam bidang pendidikan agama di negeri ini kepada Kerajaan Persekutuan, tetapi ia untuk membolehkan Kementerian Pelajaran menyalurkan bantuan dan meringankan beban kewangan Kerajaan Negeri.

“Saya amat menghargai usaha Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan kualiti pendidikan agama Islam di negeri ini.

“Dengan persefahaman termeterai kelak, saya dimaklumkan bahawa kerajaan persekutuan akan memberikan bantuan modal dan peruntukan yang khusus kepada 28 buah sekolah Sekolah Rendah Agama Johor dan Sekolah Menengah Agama Johor yang disenaraikan sebagai SABK,” titah baginda.

Baginda bertitah, kuasa mutlak Raja sebagai Ketua Agama Negeri Johor tidak akan tergugat atau terjejas dengan perjanjian berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah, segala tindakan yang hendak dilakukan oleh Kementerian Pelajaran kepada SABK selepas termeterainya perjanjian itu perlu dibuat mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 Bahagian Pendidikan Islam dan perlu disembahkan kepada Sultan Johor terlebih dahulu.

“Jika saya lihat terdapat perlanggaran syarat, maka saya akan membatalkan perjanjian ini dengan serta merta. Adalah menjadi tanggungjawab dan amanah saya untuk menjaga kepentingan agama Islam dan rakyat negeri saya.

“Saya akan sentiasa memastikan keutamaan diberikan kepada rakyat negeri Johor. Sebagai contoh, pelantikan pengetua, guru besar dan guru-guru kanan hendaklah dilantik daripada kalangan rakyat negeri Johor.

“Walau bagaimanapun Kerajaan Persekutuan boleh mencadangkan calon yang lain jika sudah tiada guru-guru yang berasal dari negeri Johor. Itu pun terpulang kepada saya untuk perkenan,” titah baginda.

Titah baginda lagi, segala usaha yang hendak dibuat oleh mana-mana pihak untuk meningkatkan pembangunan dan kualiti taraf pendidikan Islam di negeri ini amat dialu-alukan.

Bagaimanapun, apa-apa hasrat atau dasar yang hendak digubal mestilah sesuatu berfaedah kepada masyarakat umum dan tidak akan melemahkan kuasa Raja sebagai Ketua Agama Islam negeri.

“Sekiranya ada pihak yang betul-betul ikhlas untuk memberi sumbangan bantuan, silalah menghulurkan bantuan tersebut tanpa meletakkan apa-apa syarat demi untuk pembangunan agama Islam di negeri Johor,” titah baginda.