PPPM 2013-2025 dirangka dengan teliti dan berlainan – TPM – Utusan


PPPM 2013-2025 dirangka dengan teliti dan berlainan – TPM

 

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN dan KHAIRULANUAR YAHYA

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Kementerian Pendidikan mencipta kelainan dalam penghasilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dengan penggunaan data yang diperoleh daripada kajian kementerian itu, universiti tempatan, Unesco dan juga Bank Negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian juga telah menganalisis semua laporan awal termasuk Laporan Penyata Razak, Laporan Kabinet, Pelan Pembangunan Pendidikan 2000-2012 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan untuk menilai pencapaian negara dalam pendidikan.

Menurut beliau, dengan semua dapatan tersebut, kementerian memulakan perancangan bagi pelaksanaan panjang pelan berkenaan sehingga tahun 2025.

“Jadi setiap perancangan pendidikan yang terkandung dalam PPPM 2013-2025 tidak dibuat secara sewenang-wenangnya malah berdasarklan kepada fakta dan data selain daripada menerima secara positif pendapat yang disuarakan oleh masyarakat keseluruhannya.

“Pelan ini juga memberi tumpuan kepada keberhasilan murid yang melibatkan laluan pendidikan merangkumi pendidikan teknik dan vokasional, pendidikan inklusif, pendidikan agama, pendidikan seni dan sukan yang merangkumi semua pringkat persekolahan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian PPPM 2013-2025 di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan dua Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap serta P. Kamalanathan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut menegaskan, melalui pelan yang turut dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28), kedudukan bahasa-bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah tidak akan dinafikan sama sekali.

“Selain itu, kementerian juga akan terus memartabatkan Bahasa Malaysia dan memberi perhatian utama bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris yang akan dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus SPM menjelang tahun 2016,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_33/PPPM-2013-2025-dirangka-dengan-teliti-dan-berlainan—TPM#ixzz2e7rVGicy
© Utusan Melayu (M) Bhd

SPRM cadang modul integriti dimasukkan dalam buku teks sekolah – Bernama


SPRM cadang modul integriti dimasukkan dalam buku teks sekolah

2012/10/02 – 16:03:21 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran memasukkan modul integriti dan pencegahan rasuah ke dalam tiga mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan berkata, cadangan memasukkan modul tersebut ke dalam mata pelajaran Pendidikan Agama, Pendidikan Sivik dan Pendidikan Moral itu telah dihantar ke kementerian pada Jun lepas, malah pihaknya juga sudah berbincang dengan Jabatan Kokurikulum kementerian itu berhubung cadangan berkenaan.

“Selain itu, kita juga sudah berbincang dengan Institut Pendidikan Guru untuk menubuhkan sekretariat pencegahan rasuah di semua pusat latihan perguruan bagi melatih guru-guru pelatih berkaitan nilai-nilai murni seperi amanah, jujur, ikhlas dan integriti, iaitu antara elemen yang akan dimasukkan dalam modul itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan persidangan Pencegahan Rasuah bersama Pengetua, Guru Besar dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan adanya modul itu, peranan pihak sekolah dalam membentuk modal insan yang cemerlang juga akan menjadi lebih berkesan.

Sutinah berkata penekanan nilai-nilai integriti dari bangku sekolah mampu menjadi benteng kukuh dalam menghindarkan pelajar daripada terjebak dalam aktiviti rasuah selepas memasuki alam pekerjaan.

“Dalam membentuk modal insan yang cemerlang pihak sekolah juga mempunyai peranan penting dan sekiranya cadangan ini dilaksanakan, kita yakin pelajar-pelajar akan menjadi lebih berwibawa dan berintegriti apabila bekerja kelak,” katanya. – BERNAMA

Pengajaran J-Qaf di sekolah menengah ditangguh kerana kurang guru – Bernama


Pengajaran J-Qaf di sekolah menengah ditangguh kerana kurang guru

2012/05/06

BATU PAHAT: Pelaksanaan pengajaran J-Qaf (Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain) di sekolah menengah di seluruh negara yang dijadual bermula pertengahan tahun ini, akan ditangguhkan kerana masalah kekurangan guru, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, penangguhan dibuat memandangkan terdapat kekurangan kira-kira 11,000 guru J-Qaf di sekolah kebangsaan yang sekaligus menghalang pengajarannya diteruskan ke peringkat sekolah menengah.

“Kita perlu menyelesaikan dahulu kekurangan guru J-Qaf di sekolah kebangsaan yang menjadi keperluan mendesak ketika ini. Terdapat beberapa cadangan untuk meningkatkan jumlah guru itu dan ia akan dibincangkan pada mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pelajaran minggu depan bagi mendapatkan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung dan penyampaian anugerah pelajar cemerlang Sekolah Agama Kampung Sungai Suloh, Senggarang, di sini, hari ini.

Mohd Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, antara cadangan kementerian bagi meningkatkan jumlah guru J-Qaf adalah dengan melatih lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mempunyai latar belakang pendidikan agama di Institut Pendidikan Guru (IPG) sebelum diserapkan menjadi guru.

Beliau berkata, kerajaan ada mengambil guru lepasan ijazah dari Timur Tengah untuk berkhidmat sebagai guru J-Qaf di negara ini, namun, jumlah itu belum memadai bagi menampung keperluan ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Disember lalu mengumumkan program perintis J-Qaf di sekolah menengah akan dilaksanakan mulai pertengahan tahun ini dan pelaksanaan sepenuhnya pada 2013 di sekolah menengah seluruh negara. – BERNAMA

Bajet tambahan 12 peratus – Sinar Harian


Bajet tambahan 12 peratus

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 14, 2012

KLUANG – Sektor pendidikan agama menerima peruntukan tambahan sebanyak 12 peratus daripada Kerajaan Negeri pada tahun ini khusus untuk menggandakan lagi aktiviti-aktiviti keagamaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sebelum bajet tambahan ter­­sebut dimaklumkan, Kerajaan Ne­geri telah memperuntukkan bajet sebanyak RM180 juta pada 2011 khusus untuk pengurusan pendidi­kan agama.

“Walau bagaimanapun, untuk portfolio agama, peruntukan yang diterima adalah peruntukan terbesar daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapannya sempena Majlis Peng­isytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA), Sijil Intensif Bahasa (SIB), Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) dan Peng­anu­gerahan Kecemerlangan Ujian Pe­nilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi tahun 2011 yang diadakan di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, dari segi pembinaan sekolah agama di negeri ini, Kerajaan Negeri tetap akan memberi keu­ta­maan kepada pendidikan agama dengan menambahkan jumlah sekolah agama mengikut keperluan semasa.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan sedang membina 121 sekolah agama. Ia dibina berikutan terdapat sekolah-sekolah agama yang menumpang.

“Pembinaannya dijangka siap selewat-lewatnya pada 2013 dengan kos lebih daripada RM200 juta.

“Dengan pembinaan tersebut ia menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sangat prihatin dalam pembangunan pendidikan agama di negeri ini,” katanya.

Katanya, Majlis Agama Islam Johor (Maij) telah mengeluarkan RM61.9 juta dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini bagi pembangunan sekolah agama rakyat (SAR), Skim Wakaf Kitab, bantuan anak-anak yatim dan insentif untuk pelajar tahfiz.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan sentiasa memberi perhatian dan sokongan terhadap program pembangunan pendidikan agama di negeri ini, khususnya yang menjurus ke arah pembentukan dan perkembangan minda anak-anak.
“Malah, ianya bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan warga Malaysia yang berilmu dan berpengetahuan menjelang 2020,” katanya.