Bertindaklah sebelum terlambat! – Sinar Harian


Bertindaklah sebelum terlambat!

RIDHUAN TEE ABDULLAH,
1 Julai 2013
(K) RIDHUAN TEE ABDULLAH

Kenyataan bekas hakim mahkamah rayuan, Datuk Mohd Noor mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) perlu diserapkan dalam pendidikan kebangsaan, menjadi kontroversi. Salah seorang pemimpin MCA nampak berang dalam memberikan respons terhadap kenyataan tersebut.

MCA mengatakan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa rasmi negara memang disanjung dan dijunjung SJK. Ironinya, apakah beliau sedar atau tidak, kedudukan BM di SJK, Sekolah Menengah Jenin Kebangsaan (SMJK), Sekolah Persendirian Cina (SPC) dan universiti? Jangan membuat kenyataan sembarangan, memalukan.

Jika MCA menerima BM sebagai bahasa negara atau bahasa kebangsaan, lakukan kempen untuk memandaikan orang Cina bertutur BM. Jangan cakap sahaja. Buatlah kajian di SJKC berapa ramai yang gagal BM dalam peperiksaan dan berapa ramai yang langsung tidak tahu bertutur dalam BM. Dalam MCA sendiri, cuba lihat berapa ramai yang boleh menulis dan bertutur dalam BM dengan baik, seperti mana Cina yang berada di Indonesia dan Thailand.

Saya tidak nafikan BM diajar di SJK dan SMJK, tetapi berapa kali atau berapa jam dalam seminggu? Pergilah buat lawatan dan lihat jadual waktunya.
Bila kerajaan mahu menambahkan masa BM di SJK, ditentang dengan hebat oleh Dong Zong dan sekutunya.

Syarat masuk ke IPTA mesti mendapat kredit BM. Bermakna, pelajar Cina yang masuk IPTA adalah kalangan mereka yang mendapat kredit BM peringkat SPM. Tidak ada lagi BM diajar IPTA kecuali mereka yang mengkhusus dalam BM.

Kedudukan BM di IPTS pula menyedihkan. Tanpa kredit BM peringkat SPM pun, mereka diterima masuk. Kredit BM bukan bermakna pandai bertutur BM, kadangkala mereka hafal sahaja. Kajian oleh Banci 2010 menunjukkan ramai orang Cina tidak boleh membaca, menulis dan bertutur BM, terpaksa mencari penterjemah untuk mengisi borang banci.

Saya menerima sepucuk surat daripada guru Melayu yang mengajar di SMJKC di Pulau Pinang yang mendapat anugerah Sekolah Kluster. Sekolah jenis ini yang mendapat bantuan mencurah-curah daripada kerajaan, malangnya telah menjadi sarang ultra kiasu.

Antara aduan tersebut mendakwa:
• Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) tidak dikendalikan mengikut kehendak pekeliling kerajaan. Menonton persembahan Tahun Baru Cina dan menghadiri Mesyuarat Agung PIBG dikira sebagai LDP.
• Sambutan merdeka dibuat sambil lewa sahaja. Ucapan pemimpin negara dan KPM tidak dibaca sebagaimana amalan SK yang lain.
• Sambutan Hari Guru amat menyedihkan, sekadar upacara memotong kek. Ucapan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pendidikan tidak dibaca.
• Sambutan Tahun Baru Cina disambut meriah berbanding Hari Guru.
• Pakaian guru-guru SJK tidak mencerminkan etika keguruan dan pekeliling kerajaan.
• Penggunaan dewan sekolah oleh pihak kerajaan seperti untuk pemberian BB1M dan BR1M, tidak disukai oleh pihak pentadbir sekolah.

Sama ada dakwaan ini benar atau tidak, berdasarkan pengalaman, saya fikir banyak betulnya. Ini dibuktikan oleh seorang pelajar Melayu yang sedang melanjutkan ijazah sarjana di salah sebuah universiti di Taiwan mengeposkan pandangannya dalam blog saya, ridhuantee.blogspot.com, mengatakan:

“Sedih saya melihat kebanyakan warga Malaysia berbangsa Cina apabila bertemu mereka, sukar sekali mereka untuk berinteraksi dalam BM, tergagap-gagap akhirnya cakap dalam bahasa Inggeris. Kenapa orang Malaysia tetapi bertahun-tahun tinggal di Malaysia, cakap pun tak reti. Sedih melihat fenomena ini di Malaysia. Sampai bila masalah ini akan berterusan. Kesemua kawan saya dari Indonesia, yang berbangsa Cina fasih berbahasa Indonesia, sehinggakan saya tidak tahu yang dia berbangsa Cina. Malahan di Indonesia sendiri, bahasa Cina tidak diajar di sekolah kebangsaan cuma dapat dipelajari di kelas-kelas bahasa. Saya dapat lihat hubungan orang Indonesia ini sangat kuat tidak kira apa bangsa sekalipun. Rasanya, sudah sampai masanya kerajaan merombak perkara-perkara yang menjauhkan jurang antara kaum di Malaysia. PERLU kita utamakan kebolehan berbahasa Malaysia sebagai syarat utama untuk layak menjadi Malaysian. Saya dapat lihat jurang yang besar antara rakyat berbilang kaum di Malaysia, orang Cina cakap Cina, orang India cakap bahasa India. Kerajaan harus mencontohi kerajaan Indonesia, bersikap tegas.”

Apa lagi bukti yang kita mahu? Semua sudah terang lagi bersuluh. Jika pihak Kementerian Pendidikan masih ragu-ragu, buat kajian dan audit yang menyeluruh ke atas SJK. Bertindaklah sebelum terlambat.

PERSIDANGAN PENYELIDIKAN PENDIDIKAN KEBANGSAAN 2013


PERSIDANGAN PENYELIDIKAN PENDIDIKAN KEBANGSAAN 2013

04 March 2013

 

BPPDP akan menganjurkan Persidangan Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan 2013

Tema : PENYELIDIKAN PEMACU PEMBANGUNAN PENDIDIKAN

Tarikh : 10 – 13 JUN 2013

Tuan/Puan yang berminat menghantar kertas bagi persidangan tersebut sangat dialu-alukan. Tarikh tutup penghantaran kertas ialah pada 15 Mac 2013 (Jumaat). Sebarang pertanyaan sila hubungi Bahagian/JPN masing-masing.

PERTANDINGAN BAHAS ALA PARLIMEN BAHASA INGGERIS PIALA DATUK WIRA DR. ABDUL RAHMAN ARSHAD SEKOLAH MENENGAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2012


PERTANDINGAN BAHAS ALA PARLIMEN BAHASA INGGERIS PIALA DATUK WIRA DR. ABDUL RAHMAN ARSHAD SEKOLAH MENENGAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2012

 

Tarikh:
24 hingga 27 Jun 2012 (Ahad hingga Rabu)

Tetamu Kehormat :

YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad
Tokoh Pendidikan Kebangsaan

Tempat:

Manikar Beach Resort
Pohon Batu WP Labuan

Bilangan Peserta:
75 orang murid
15 orang guru
Tempat Pertandingan :
Manikar Beach Resort & SM Sains Labuan

 

Impak Program:

Melalui pertandingan ini adalah diharapkan dapat melahirkan pelajar yang berketrampilan dan mampu mengutarakan idea dan pemikiran secara kreatif dan kritis demi mempertahankan sesuatu pendapat.

Bahasa Bahasa Inggeris ini juga mampu membentuk pelajar yang seimbang dari segi emosi, rohani dan sahsiah selain mengasah kebolehan intelek sesuai dengan isu semasa yang diutarakan.

 

Muhyiddin mahu semua pihak sertai dialog baiki sistem pendidikan negara – Bernama


Muhyiddin mahu semua pihak sertai dialog baiki sistem pendidikan negara

2012/04/26

GEORGETOWN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pihak yang berkepentingan di semua peringkat untuk menyertai siri dialog pendidikan nasional yang akan diadakan hujung bulan ini sehingga Julai nanti.

Katanya siri dialog adalah bagi mengumpul maklum balas dan pandangan pelbagai pihak dalam menyokong usaha kerajaan bagi menambah baik sistem pendidikan negara.

Muhyiddin berkata siri dialog itu akan diadakan di setiap negeri yang melibatkan Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan pakar-pakar pendidikan.

“Daripada proses perbincangan, kita harap dapat kumpul segala pandangan yang mengambil kira semua kumpulan, kepentingan dan kaum. Harap dapat kita rumuskan apa yang disebutkan sebagai pelan tindakan dan hala tuju untuk 20 tahun yang akan datang supaya sistem pendidikan kita menjadi antara sistem pendidikan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog dalam Majlis Perhimpunan Perdana Anggota Perkhidmatan Awam dan Belia sempena lawatan sehari ke Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyokong usaha kerjasama dan sokongan Kementerian Pertahanan dan agensi lain dalam membantu sekolah untuk melahirkan atlit.

Katanya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya ahli-ahli taekwondo Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu melatih murid sekolah dalam usaha mencapai hasrat satu murid satu sukan.
Muhyiddin berkata jika ada agensi lain yang mempunyai kemudahan dan ingin berkongsi misalnya padang, kementeriannya akan turut menyokong dan membantu dalam meningkatkan taraf kemudahan untuk kegunaan sekolah. – BERNAMA

Dialog pelan strategik pendidikan – Utusan


Dialog pelan strategik pendidikan

KUALA LUMPUR 15 Mac – Pandangan, maklum balas dan idea dari rakyat akan menjadi sebahagian daripada pembentukan laporan hala tuju dan pelan strategik sistem pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyifatkan proses penglibatan bersama rakyat itu sangat penting dalam penggubalan hala tuju sistem pendidikan negara, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dialog pendidikan kebangsaan akan dilancarkan bagi membolehkan rakyat melibatkan diri dalam usaha merangka pelan strategik tersebut sebelum ia dimuktamadkan pada akhir tahun ini.

Beberapa pendekatan akan dilaksanakan bagi mendapatkan penglibatan rakyat iaitu seperti melalui forum, sesi meja bulat, kaji selidik dan media sosial, katanya dalam satu pertemuan dengan pengarang-pengarang media di sini, hari ini.