Pendidikan keselamatan kanak-kanak perlu ditingkat – Utusan


Pendidikan keselamatan kanak-kanak perlu ditingkat

KUALA LUMPUR 23 Jun – Pendidikan keselamatan membabitkan kanak-kanak perlu ditingkatkan ekoran peningkatan kejadian jenayah yang sering menimpa golongan tersebut di negara ini.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, melindungi kanak-kanak daripada sebarang ancaman jenayah adalah tanggungjawab semua pihak yang hidup dalam sesebuah masyarakat.

Menurutnya, kanak-kanak perlu diberi persekitaran hidup yang harmoni dan selamat bagi memastikan hak mereka untuk membesar dan hidup dapat terlaksana secara menyeluruh.

“Adalah penting untuk kita memberikan kanak-kanak ini khususnya murid-murid di sekolah rendah pendidikan awal keselamatan termasuk diajar cara-cara melindungi diri dalam satu-satu situasi.

“Selain itu, peranan ibu bapa, para guru dan anggota masyarakat juga harus dipertingkatkan dalam memastikan persekitaran hidup yang lebih selamat buat generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.