Idris Jusoh bercakap ketika sesi dialog bertajuk “Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Satu Perspektif” bagi mengupas isu pendidikan nasional anjuran Sinar Harian di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf. – Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO
pendidikan nasional
Muhyiddin mahu semua pihak sertai dialog baiki sistem pendidikan negara – Bernama
Muhyiddin mahu semua pihak sertai dialog baiki sistem pendidikan negara
2012/04/26
GEORGETOWN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pihak yang berkepentingan di semua peringkat untuk menyertai siri dialog pendidikan nasional yang akan diadakan hujung bulan ini sehingga Julai nanti.
Katanya siri dialog adalah bagi mengumpul maklum balas dan pandangan pelbagai pihak dalam menyokong usaha kerajaan bagi menambah baik sistem pendidikan negara.
Muhyiddin berkata siri dialog itu akan diadakan di setiap negeri yang melibatkan Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan pakar-pakar pendidikan.
“Daripada proses perbincangan, kita harap dapat kumpul segala pandangan yang mengambil kira semua kumpulan, kepentingan dan kaum. Harap dapat kita rumuskan apa yang disebutkan sebagai pelan tindakan dan hala tuju untuk 20 tahun yang akan datang supaya sistem pendidikan kita menjadi antara sistem pendidikan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog dalam Majlis Perhimpunan Perdana Anggota Perkhidmatan Awam dan Belia sempena lawatan sehari ke Pulau Pinang di sini, hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyokong usaha kerjasama dan sokongan Kementerian Pertahanan dan agensi lain dalam membantu sekolah untuk melahirkan atlit.
Katanya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya ahli-ahli taekwondo Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu melatih murid sekolah dalam usaha mencapai hasrat satu murid satu sukan.
Muhyiddin berkata jika ada agensi lain yang mempunyai kemudahan dan ingin berkongsi misalnya padang, kementeriannya akan turut menyokong dan membantu dalam meningkatkan taraf kemudahan untuk kegunaan sekolah. – BERNAMA