Perdana Menteri azam kurangkan beban guru – Utusan


Perdana Menteri azam kurangkan beban guru

PUTRAJAYA 7 Feb. – Mengurangkan beban tugas guru adalah antara perkara utama yang akan diberikan perhatian selepas Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dilaksanakan kelak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengenal pasti cara dan kaedah yang sesuai untuk mengurangkan masa guru dalam melakukan kerja-kerja yang tiada kaitan dengan tugas mendidik.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran baru-baru ini.

“Perkara itu adalah antara pembaharuan yang kita komited untuk melaksanakannya, namun kesudahannya bergantung pada peristiwa yang akan berlangsung sedikit masa lagi.

“Kalau berakhir dengan sesuatu yang menggembirakan, saya yakin bidang pendidikan negara akan melalui zaman yang jauh lebih maju pada masa depan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Gala Jubli Emas Sekolah Sultan Alam Shah di sini malam ini.

Dalam majlis itu, Najib turut menyumbang RM1 juta kepada sekolah tersebut.

Pada ucapan sama, Najib berkata, abad ini dicorakkan dengan hakikat bahawa sesiapa yang mempunyai idea yang lebih unggul akan mengatasi yang lain.

“Sebab itulah sistem pendidikan kita mesti berjaya melahirkan modal insan berkualiti yang menepati kayu ukur bahawa kita ingin lahirkan individu yang bukan sahaja bersifat akademik tetapi mampu berfikir secara kreatif dan kritis,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130208/dn_01/Perdana-Menteri-azam-kurangkan-beban-guru#ixzz2KHzM5PAQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

MUAT TURUN LAGU TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA


MUAT TURUN LAGU TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

18 January 2013

 

Lagu: Transformasi Pendidikan Negara

 

Artis: Hafiz dan Stacy

 

Muat Turun
Lagu Transformasi Pendidikan Negara

Pelan pembangunan pendidikan ke Kabinet Januari ini – Utusan


Pelan pembangunan pendidikan ke Kabinet Januari ini

PUTRAJAYA 28 Dis. – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan dibentang kepada Kabinet Januari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pelan yang lengkap kemudiannya akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat restu peringkat tertinggi itu, bagi pelaksanaannya tahun depan.

“Pelan yang kini berada di peringkat akhir setelah menerima laporan dan pandangan daripada pelbagai pihak, sudah diterima supaya ianya dapat dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.

“Kita sudah banyak membuat perbincangan. Saya fikir tidak ada satu pihak yang terkecuali.

“Jadi langkah ini agak komprehensif dan lengkap dan sudah disediakan. Malahan kita tambah baik lagi kalau ada kekurangan kita lihat dalam tempoh dua tiga bulan lepas,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis interaksi bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik Muda di sini, hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121228/dn_20/Pelan-pembangunan-pendidikan-ke-Kabinet-Januari-ini#ixzz2GUlUkMU6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tidak semua boleh jadi pendidik – Metro


Tidak semua boleh jadi pendidik

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Bakal guru yang akan berkhidmat dalam sektor pendidikan negara perlu sentiasa bersyukur kerana dipilih menyertai profesion itu, berikutan tugasan mendidik anak bangsa yang cukup istimewa dan disanjung tinggi.

Pesanan daripada bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom itu sebagai menyuntik semangat buat golongan berkenaan yang ketika ini dilihat kurang menyerlah berbanding generasi pendidik terdahulu.
Alimuddin berkata, bukan semua belia di negara ini terpilih untuk mengikuti kursus perguruan, malah ribuan permohonan yang diterima sepanjang tahun disaring dengan terperinci, memastikan hanya mereka berkualiti saja diambil berkhidmat.

 

“Kerana itu saya kata bakal guru kena bersyukur, mereka berada dalam profesion yang penting dan hanya berkualiti serta berkelayakan saja terpilih untuk menjadi seorang guru.
“Jadi, berilah masa dan kumpulkan tenaga untuk mendidik anak bangsa supaya mereka menjadi insan yang cemerlang, mempunyai pencapaian tinggi dan mungkin memimpin satu hari nanti. Itu cabarannya,” katanya di sini, semalam.
Beliau ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA) yang dirasmikan Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Dr Lee Boon Hua.

 

 

Alimuddin hadir sebagai tetamu jemputan bagi mini dialog yang membincangkan mengenai prestasi guru, perubahan pendidikan negara dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).
Menurutnya, Malaysia mengalami perubahan dalam sektor pendidikan setanding statusnya menghampiri negara maju, justeru guru perlu bergerak seiring dengan memfokus kepada bagaimana membangunkan modal insan cemerlang.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/25

Fokus tingkat kualiti pendidikan negara – Utusan


Fokus tingkat kualiti pendidikan negara

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Kementerian Pelajaran yang menerima peruntukan terbesar iaitu RM38.7 bilion dan tambahan RM500 juta untuk Pelan Pembangunan Pendidikan akan memberi fokus kepada pembangunan profesionalisme guru serta membina prasarana sekolah secara meluas di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu penting bagi memastikan usaha kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan negara mencapai objektif ditetapkan apatah lagi mulai 2013, gelombang pertama Pelan Pembangunan Pendidikan akan bermula.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, melalui fokus pembangunan tersebut, bukan sahaja kualiti guru dan kemudahan infrastruktur dapat ditingkatkan tetapi lebih penting, pelajar yang dilahirkan mempunyai daya pemikiran tinggi.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan satu peruntukan yang besar kepada Kementerian Pelajaran. Ia peruntukan terbesar kerana merangkumi 21 peratus daripada keseluruhan Bajet 2013.

“Melalui peruntukan ini, kita akan meneruskan usaha-usaha meningkatkan mutu pendidikan dengan sejumlah RM500 juta akan digunakan khusus untuk meningkatkan kualiti profesionalisme guru selaras dengan gelombang pertama Pelan Pendidikan Nasional yang bermula pada 2013.

“Saya juga telah membuat perancangan teliti untuk membangunkan sekolah dan prasarana sekolah secara meluas di seluruh negara terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pelan pembangunan Kementerian Pelajaran selepas kementerian itu menerima peruntukan terbesar berjumlah RM38.7 bilion beserta tambahan RM500 juta.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran juga akan membuat kajian baru bagi melihat bagaimana sistem pengagihan peruntukan untuk 2013 bakal dibuat.

“Melalui kajian baru nanti mungkin kita akan melihat di mana sekolah diperlukan, di situ sekolah akan dibangunkan dan di mana kekurangan bilik darjah, di kawasan itu kita akan memberi perhatian khusus,” ujarnya.

Kementerian Akan Latih Guru Bahasa Di Sekolah Vernakular – mStar


Kementerian Akan Latih Guru Bahasa Di Sekolah Vernakular

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedia melatih guru-guru Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah vernakular bagi memastikan bahawa subjek tersebut boleh diajar dengan berkesan.

Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program latihan Bahasa Malaysia adalah selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025, yang bertujuan untuk menyeragamkan pengajaran Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah vernakular dengan sekolah kebangsaan pada tahun 2014.

“Dengan latihan, guru akan menjadi lebih dekat dengan pelajar, di mana keperluan dan kehendak setiap pelajar dapat dipenuhi,” katanya pada Bahasa 2012 dan Sastera Festival penyampaian hadiah majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.

“Dalam melaksanakan Bahasa Malaysia standard kurikulum, pelajar-pelajar di sekolah Tamil dan Cina dengan masalah dalam Bahasa Malaysia akan diberi bimbingan dalam kelas pemulihan, yang akan diadakan sekurang-kurangnya lima kali seminggu.

“Jika perlu, guru-guru Bahasa Malaysia akan dihantar ke sekolah-sekolah vernakular untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru di sana,” katanya.

Pada kejayaan kumpulan pelajar pro-establishment dalam pilihan raya kampus universiti awam, Muhyiddin berkata ia boleh menjadi tanda bahawa pelajar telah menyokong kerja Kerajaan dan usaha untuk negara.

“Kami berharap mereka akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik kerana mereka adalah pemimpin masa depan kita,” kata Muhyiddin.

Pandangan pelan pendidikan – Berita Harian


Pandangan pelan pendidikan

13/09/2012 – 05:27:21 AM Oleh Syed Azwan Syed AliCetakEmel Kawan
Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran akan menganjurkan program Hari Terbuka, bulan depan bagi membolehkan masyarakat meneliti, mengkaji dan memberi maklum balas terhadap kandungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program dua hari itu memberi peluang kepada pihak berkepentingan melontarkan cadangan dan pandangan sebelum laporan akhir pelan dibentangkan kepada Kabinet, Disember depan.

Teliti laporan awal

Sambil meminta semua pihak berkepentingan meneliti laporan awal pelan itu sebelum membuat sebarang ulasan atau kesimpulan, beliau berkata, sebarang cadangan dan pandangan yang mahu dikemukakan, perlulah mengambil kira matlamat meningkatkan kualiti pendidikan negara, praktikal serta munasabah.

“Kunci utama adalah meningkatkan mutu pendidikan. Kalau cadangan itu dilihat boleh menambah baik kualiti pendidikan, kita sedia menerimanya dan masukkan dalam laporan akhir pelan,” katanya selepas meninjau 89 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah, di sini semalam.

Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang merangkumi 11 anjakan utama bagi mengubah sistem pendidikan negara dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam. Pelaksanaannya akan dibahagikan kepada tiga gelombang atau peringkat pelaksanaan bermula 2013-2015, 2016-2020 dan 2021-2025.

Siri penerangan
Beliau berkata, kementerian juga akan mengadakan beberapa siri penerangan di seluruh negara bagi membolehkan rakyat mendapat pandangan jelas mengenai pelan terbabit, selain mencetak bahan penerangan dalam bahasa yang mudah agar semua pihak dapat memahami kandungannya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kementeriannya akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikan yang akan melaporkan secara terus kepadanya untuk memacu pelaksanaan.

Kementerian Pelajaran juga, katanya, turut bercadang menubuhkan jawatankuasa pemantau dianggotai wakil kementerian, ibu bapa dan ahli akademik.

Transformasi pendidikan – PM – Utusan


Transformasi pendidikan – PM

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, transformasi sistem pendidikan yang sedang diusahakan Kementerian Pelajaran menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 perlu terus maju seiring dengan dasar transformasi negara.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan kerajaan kini mengatur langkah membangunkan negara di bawah Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

“Dalam usaha untuk memenuhi aspirasi kita yang tinggi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, kita tidak boleh hanya berdiam diri. Negara memerlukan transformasi dalam keseluruhan sistem pendidikan dan perlu meningkatkan pencapaian semua pelajar.

“Perubahan yang dimaksudkan bukan hanya sekadar menambah bilangan kakitangan serta kemudahan, tetapi sekarang kita perlu memahami dan meningkatkan dinamik proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya menerusi blognya, http://1malaysia.com.my hari ini.

Semalam, beliau melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 yang antara lain bertujuan menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Mengulas lanjut Najib berkata, pendidikan bukan hanya satu elemen yang sangat penting dalam pembangunan peribadi seseorang insan, malah ia merupakan penyumbang utama kepada pembangunan modal sosial dan ekonomi sesebuah negara.

Ia jelasnya, menggalakkan kreativiti dan memupuk inovasi, menyediakan para belia dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran dan merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, sasaran yang ditetapkan adalah tinggi namun ia boleh dicapai termasuk meningkatkan standard negara daripada tergolong dalam kumpulan terbawah kepada paling atas bagi penilaian antarabangsa seperti Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) dalam tempoh 15 tahun.

Sasaran lain, katanya, membina satu sistem pendidikan yang mendidik anak bangsa menghargai identiti unik negara sebagai rakyat Malaysia.

“Transformasi sistem pendidikan bukan satu usaha yang mudah dan kemungkinan besar kita akan menghadapi beberapa cabaran. Namun, yakinlah bahawa bukan sahaja kerajaan dan Kementerian Pelajaran yang komited untuk mencapai matlamat ini, malah saya juga secara peribadi memegang teguh komitmen ini.

“Daripada ibu bapa kepada masyarakat tempatan dan sektor swasta, kita semua mempunyai peranan dan kepentingan peribadi dalam memastikan sistem pendidikan kita diperbaiki,” tegasnya.

KPI capai sasaran pelan pendidikan – Berita Harian


KPI capai sasaran pelan pendidikan

12/09/2012 – 06:37:36 AM bhnews@bharian.com.myCetakEmel Kawan
Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran akan menetapkan indeks prestasi utama (KPI) kepada semua pegawai kumpulan pengurusan tertingginya bagi mencapai sasaran dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

KPI itu pula akan diperturunkan ke peringkat bawah, dari kementerian sehingga sekolah, bagi memastikan matlamat yang ingin dicapai adalah tekal dan selari.

Langkah ini bagi memastikan matlamat pelan pendidikan berkenaan benar-benar memberi impak besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, berkata berikutan itu, kementerian akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikan untuk memacu isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul maklum balas secara berterusan.

Hasil rundingan awam

“Inilah julung kali dalam sejarah, satu pelan pembangunan pendidikan untuk rakyat disediakan hasil rundingan awam secara telus dan terbuka. Lebih 90 peratus pandangan dikemukakan orang ramai menerusi siri jelajah Dialog Nasional Pendidikan Negara.

“Selepas ini, kementerian akan mengadakan hari terbuka untuk membolehkan masyarakat meneliti kandungan pelan ini, mendapat penjelasan dan mengemukakan maklum balas lanjut kepada kerajaan, khususnya kementerian.
“Saya percaya apabila dibentangkan kepada Kabinet dan dimuktamadkan pada Disember nanti, ia adalah pelan pendidikan yang sarat dengan cita-cita dan harapan rakyat, insya-Allah,” kata beliau berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Awal PPPM 2013-2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, PPPM adalah dokumen komprehensif, malah satu referendum bersejarah, yang mengenal pasti bidang keutamaan, meletakkan sasaran, menyenarai inisiatif penting, melakar pelan tindakan jelas dan menetapkan jangka masa untuk mencapai setiap sasaran.

Ambil langkah berani

Beliau berkata, tiada jalan pintas atau tongkat ajaib untuk mengatasi kelemahan pencapaian murid dalam pentaksiran peringkat antarabangsa, antaranya berada di tempat sepertiga terbawah bagi Bacaan, Matematik dan Sains daripada 74 negara menyertai ujian Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2009.

“Sebaliknya kita perlu akur dengan realiti semasa, jujur melakukan pembetulan dan mengambil langkah berani melonjakkan prestasi pendidikan negara,” katanya.

Sembilan bidang keutamaan dalam pelan pembangunan pendidikan


Sembilan bidang keutamaan dalam pelan pembangunan pendidikan

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015, sembilan bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi.

Sembilan bidang itu ialah:

1. Memartabatkan profesion perguruan

2. Meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah

3. Meningkatkan kualiti sekolah

4. Memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran

5. Meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa

6. Mengukuhkan penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan

7. Meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja

8. Memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber

9. Membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan. – UTUSAN