PM lancar Pelan Pendidikan esok – Kosmo


PM lancar Pelan Pendidikan esok

 

Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
luqman.ridhwan@kosmo.com.my

 

KERAJAAN sentiasa peka dengan keperluan perubahan kepada sistem pendidikan negara. – Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan dilancarkan esok oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar kecil) bakal melonjakkan kualiti dan pencapaian bidang tersebut pada aras yang lebih tinggi.

Melalui pelan itu, kualiti keseluruhan sistem pendidikan yang meliputi guru, modal insan, kurikulum, pentaksiran, penyampaian dan pengurusan pendidikan bakal menerima satu perubahan besar.

Pelan itu juga bukan sekadar pernyataan dasar tetapi dokumen yang memperincikan strategi dan tindakan yang akan diambil oleh Kementerian Pelajaran untuk mencapai sasarannya.

Pelaksanaannya akan dibuat secara telus dan demi mencapai matlamat itu, kepimpinan tertinggi di peringkat kementerian akan mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tertentu yang perlu dicapai selain laporan tahunan perlu diumumkan kepada pihak awam.

Jemputan Menghadiri Konvensyen Pendidikan Kebangsaan 2012 dan Malam Pemangkin Pendidikan Negara


Jemputan Menghadiri Konvensyen Pendidikan Kebangsaan 2012 dan Malam Pemangkin Pendidikan Negara

 

Sukacita dimaklumkan Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan mengadakan Program berbentuk intelektual yang akan mengupas isu persoalan pendidikan Negara. Pendidikan adalah merupakan satu komponen utama dalam Pelan Transformasi Ekonomi Negara yang perlu dilaksanakan bagi melahirkan modal insan yang kreatif, inovatif, serta mempunyai kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran di masa akan datang.

 

Untuk maklumat lanjut, sila muat turun surat jemputan di bawah.
Muat turun
Surat Jemputan

Telefon bimbit di sekolah: Kerajaan perlu tegas – Utusan


Telefon bimbit di sekolah: Kerajaan perlu tegas

KUALA LUMPUR 24 Julai – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menggesa kerajaan membuat keputusan tegas berhubung cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah.

Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, selain mengganggu proses pembelajaran, ia juga boleh mewujudkan budaya tidak sihat dalam kalangan pelajar.

“Langkah membenarkan pelajar membawa telefon bimbit hanya akan menganggu tumpuan mereka pada sesi pembelajaran ketika berada di dalam kelas.

“Langkah itu juga dikhuatiri akan mengundang beberapa masalah lain seperti kecurian, penyalahgunaan dan wujud jurang antara berkemampuan dan kurang berkemampuan dalam kalangan pelajar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis lalu yang menegaskan, belum ada sebarang keputusan dibuat terhadap cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah.

Jelas Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, perkara tersebut hanya salah satu cadangan yang diusulkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin peringkat kementerian yang dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong beberapa minggu lalu setelah mengambil kira perkembangan teknologi terkini.

Mohd. Ali berkata, penggunaan peralatan alat komunikasi itu turut dilihat akan membebankan pihak sekolah daripada aspek kos dan masa.

“Saya bimbang ia akan meningkatkan kos pihak sekolah dalam menyediakan lokar khas untuk menyimpan peralatan elektronik itu kepada pelajar serta menambahkan beban guru untuk memantau sewaktu proses pembelajaran,” ujarnya.

Justeru jelasnya, kerajaan harus mengkaji perkara tersebut secara mendalam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan agar ia tidak mendatangkan kesan negatif terhadap institusi pendidikan negara.

Sistem pendidikan negara dijangka mula dirombak tahun depan – Bernama


Sistem pendidikan negara dijangka mula dirombak tahun depan

JOHOR BAHARU 14 Julai – Sistem Pendidikan Negara dijangka mengalami rombakan besar-besaran dan proses transformasi bermula tahun hadapan dengan mengambil kira hasil dapatan Dialog Nasional Pendidikan Negara yang dijalan sejak April lepas.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata transformasi itu akan dijalankan mengikut fasa dengan mendahulukan perkara-perkara yang boleh dilaksana dengan segera tanpa melibatkan perkara besar.

“Kami harapkan satu anjakan berganda dan semua pandangan daripada siri dialog ini telah dicatat, dikaji dan dianalis untuk mendapatkan intipatinya dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan dalam tempoh 15 tahun dan Pelan Strategik Pendidikan bagi tempoh tiga tahun.

“Jadi ia ada pelan jangka pendek, jangka sederhana, dan panjang iaitu selama 15 tahun supaya bidang yang perlu kita perbaiki dapat dilaksanakan kerana ini satu perkara yang besar dan kalau hendak lihat satu perubahan kita kena mengambil kira banyak perkara dan pandangan untuk pastikan kualiti pendidikan kita setanding negara maju,” katanya. – BERNAMA

Rumusan kajian semula pendidikan diumum dua bulan lagi – Bernama


Rumusan kajian semula pendidikan diumum dua bulan lagi

KOTA BHARU 23 Jun – Jawatankuasa Kajian Semula Pendidikan dijangka selesai membuat kajian ke arah penambahbaikan mutu pendidikan negara dalam tempoh dua bulan lagi, kata Pengerusi Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012, Tan Sri Dr Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin.

Katanya, kajian itu akan mula dilakukan selepas anggota panel yang dilantik menganggotai DNPN itu selesai menjelajah ke seluruh negara bagi mengumpul cadangan daripada orang ramai.

“Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 ini dijangka selesai membuat penjelajahan ke seluruh negara pada 14 Julai ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup dialog tersebut peringkat negeri Kelantan di sini hari ini. – BERNAMA

Hala tuju pendidikan makin jelas – Berita Harian


Hala tuju pendidikan makin jelas
Oleh Syuhada Choo Abdullah, Shaarani Ismail dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
2012/06/19

Profesionalisme, kebajikan, kemahiran guru agenda paling popular DNPN

KUALA LUMPUR: Profesionalisme perguruan, kebajikan dan kemahiran guru menjadi topik paling popular dalam siri Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) dan perbincangan meja bulat yang diadakan di seluruh negara setakat ini.
Kira-kira 27 peratus responden terbabit dalam lapan siri DNPN dan tujuh perbincangan meja bulat sejak April lalu, menyentuh aspek itu, manakala 14 peratus lagi mengenai aspirasi sistem pendidikan dan pembangunan modal insan.
Selepas semua maklumat dikumpul, dinilai dan dirumuskan, satu laporan akhir disediakan yang kemudian akan digunakan untuk menentukan hala tuju pendidikan baru negara. – Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Topik popular lain ialah kualiti sekolah (12 peratus), kepimpinan sekolah (11 peratus), kurikulum dan pentaksiran (10 peratus), peranan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (sembilan peratus), kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian (tujuh peratus), kecekapan dan keberkesanan penggunaan sumber (lima peratus), kemahiran bahasa (tiga peratus) dan peluang lepasan menengah (satu peratus).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan dapatan awal DNPN itu, Kementerian Pelajaran mendapati profesionalisme perguruan, aspirasi rakyat terhadap sistem pendidikan dan kemenjadian murid perlu diberi perhatian utama dalam transformasi pendidikan negara.

Seramai 8,415 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang pendidikan, termasuk wakil agama menyertai DNPN setakat ini.

“Masih ada lima siri dialog sehingga pertengahan bulan depan. Saya harap mereka memanfaatkan peluang itu untuk memberi input dan pandangan,” katanya menjawab soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) di Dewan Rakyat, semalam.
Selain DNPN, Muhyiddin berkata, tujuh perbincangan meja bulat sudah diadakan mengikut kumpulan seperti penggerak masyarakat, ahli akademik, tokoh dan pemimpin masyarakat, termasuk kalangan orang kelainan upaya (OKU).

Katanya, kebanyakan isu dibangkitkan pada meja bulat itu menyentuh persoalan hampir sama dalam siri DNPN, termasuk kualiti guru, sistem pendidikan, kurikulum dan pentaksiran, kualiti sekolah, kepimpinan sekolah, penekanan kepada nilai dan disiplin murid, pembabitan ibu bapa dan pendidikan yang bebas daripada campur tangan politik.

Lapan lagi sesi perbincangan akan diadakan sebelum pertengahan bulan depan.

Di samping itu, pertubuhan, persatuan, kesatuan, kumpulan komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menghantar 22 memorandum mengandungi pandangan, resolusi serta cadangan untuk penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Muhyiddin berkata, selepas semua maklumat dikumpul, dinilai dan dirumuskan, satu laporan akhir disediakan yang kemudian akan digunakan untuk menentukan hala tuju pendidikan baru negara.

“Rangka tindakan pendidikan itu kemudian akan dibentangkan semula kepada rakyat untuk mendapat maklum balas akhir. Rangka yang sudah dimurnikan akan dibentang kepada Kabinet untuk dilulus dan dilaksanakan.

“Apabila selesai pembinaan hala tuju pendidikan yang baru, kementerian akan menyediakan pula pelan tindakan bersesuaian untuk menterjemahkan hasrat hala tuju pendidikan itu dalam bentuk inisiatif baru,” katanya.

Rayuan punca masalah pindah guru – Berita Harian


Rayuan punca masalah pindah guru
2012/06/19

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengaku Kementerian Pelajaran menghadapi masalah untuk memindahkan guru berikutan timbul isu kemanusiaan dan rayuan yang perlu diambil kira.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kekangan penempatan semula menjadi punca utama kementerian tidak dapat memenuhi tuntutan keperluan sebenar, menyebabkan isu kekurangan guru berlarutan.
“Saya kena akui dalam Parlimen, kita menghadapi masalah apabila mengeluarkan arahan perpindahan, ada rayuan, kadang-kadang orang politik memberi surat sokongan (supaya) janganlah pindahkan mereka (guru) kerana diperlukan.
Jika kita hendak memindahkan si isteri, perlu ambil kira faktor sosial dan keluarga soal ini timbul mengakibatkan kita tidak dapat memenuhi tuntutan sebenar. Jadi isu kemanusiaan berbangkit menyebabkan ada masalah melaksanakannya secara lebih cekap. – Tan Sri Muhyiddin Yassin “Jika kita hendak memindahkan si isteri, perlu ambil kira faktor sosial dan keluarga soal ini timbul mengakibatkan kita tidak dapat memenuhi tuntutan sebenar. Jadi isu kemanusiaan berbangkit menyebabkan ada masalah melaksanakannya secara lebih cekap,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

Dalam konteks ini, Muhyiddin berkata, agensi dan jabatan lain turut menghadapi masalah sama dari segi penempatan semula kakitangan mereka, namun berikutan saiz kementerian besar meliputi satu pertiga daripada penjawat awam dengan membabitkan 500,000 guru, isu berkenaan perlu diuruskan secara teliti untuk penyelesaian jangka panjang.

Katanya, ini meliputi aspek pengurusan dan pentadbiran mengenai pengambilan dan penempatan guru, terutama menerusi kajian semula sistem pendidikan negara yang sedang dijalankan, walaupun masalah kekurangan yang berlaku atas faktor seperti persaraan, sakit dan cuti bersalin tidak mungkin dapat diatasi 100 peratus.

Profesionalisme perguruan fokus utama – Muhyiddin – Bernama


Profesionalisme perguruan fokus utama – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 18 Jun – Bidang profesionalisme perguruan dan aspirasi rakyat terhadap sistem pendidikan serta kemenjadian murid menjadi fokus utama yang perlu diberi perhatian dalam usaha mentransformasi pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia merupakan dapatan awal daripada lapan siri Dialog Nasional Pendidikan yang melibatkan 8,415 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang pendidikan termasuk wakil daripada bidang keagamaan yang telah dilaksanakan sehingga kini.

Beliau berkata, masih terdapat lima siri dialog akan berlangsung sehingga pertengahan bulan ini yang bertujuan mendapatkan maklumat dan pandangan masyarakat bagi menyediakan hala tuju pendidikan yang lebih baik pada masa hadapan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak agar dapat memanfaatkan peluang yang masih ada ini untuk bersama-sama memberi input dan pandangan demi masa depan sistem pendidikan negara,” katanya ketika menjawab pertanyaan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Boon Soon meminta Menteri Pelajaran menyatakan hala tuju atau arah baru Kementerian Pelajaran dalam usaha mentransformasi Dasar Pelajaran Negara. – BERNAMA

NUTP mahu guru ada ijazah – Berita Harian


NUTP mahu guru ada ijazah

Oleh Syuhada Choo Abdullah

2012/05/16

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu tenaga pengajar di sekolah seluruh negara adalah guru siswazah 100 peratus sebagai antara pengisian utama transformasi pendidikan negara yang sedang dirangka Kementerian Pelajaran.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata ketika ini dianggarkan kira-kira 45 peratus guru di sekolah rendah masih bukan siswazah, selepas kementerian melaksanakan Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG), yang mensasarkan 50 peratus tenaga pengajar di sekolah peringkat itu adalah lepasan ijazah menjelang 2010.

Beliau berkata, adalah penting untuk semua sekolah rendah dan menengah diisi guru siswazah sepenuhnya demi kepentingan pelajar yang berdepan perkembangan pendidikan semakin mencabar.

Katanya, langkah itu juga akan memudahkan urusan penempatan tenaga pengajar di sekolah.

“Guru yang belum bergelar siswazah berpeluang melanjutkan pelajaran melalui pelbagai program sedia ada.

“NUTP akan mengemukakan usul ini bersama keseluruhan cadangan lain untuk transformasi pendidikan negara, selepas mengadakan bengkel khas pada bulan depan atau Julai ini.

“Kami akan menjemput pakar yang banyak melakukan penyelidikan dalam bidang pendidikan untuk turut memberi input,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini melancarkan Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN), yang akan diadakan di 15 lokasi sehingga Julai depan.

Dialog itu bertujuan mendengar pandangan rakyat dalam proses merangka agenda transformasi pendidikan negara.

Selain mendapatkan pandangan semua peringkat masyarakat, ia turut membabitkan sesi perjumpaan dan perbincangan dengan pertubuhan guru, termasuk NUTP.

Yim Pheng berkata, pendidikan negara memerlukan transformasi berterusan untuk memastikannya bersesuaian keperluan negara.

“Saya ingin memperbetulkan persepsi orang ramai. Transformasi dilakukan ini bukan bermakna pendidikan negara tidak bagus, ada banyak masalah atau kelemahan, serta perlu diubah semuanya.

“Sebaliknya, transformasi ini bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan negara dengan kos paling minimum dan sumber manusia dimanfaatkan secara optimum, iaitu yang baik diteruskan, manakala kelemahan pula diperbaiki atau diganti dengan pelaksanaan baru berdasarkan inovasi dan kreativiti,” katanya.

Pendidikan desa, bandar seiring – Metro


Pendidikan desa, bandar seiring

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Langkah terbaik kini dikenal pasti bagi meningkatkan mutu pendidikan negara dalam usaha memastikan sistem pendidikan luar bandar mampu bergerak seiring dengan di bandar.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata, sehingga kini mutu pendidikan negara secara amnya mampu bersaing dengan negara lain dan tidak perlu dipertikaikan.
Bagaimanapun, katanya, usaha transformasi ingin dilakukan bagi memastikan perkembangan pendidikan negara disebarkan secara menyeluruh, terutama di kalangan pelajar luar bandar.

 

“Jika kita melihat kadar pencapaian mutu pendidikan negara, sememangnya boleh dikatakan ia sama dengan tahap pendidikan negara lain.
“Namun, apa yang ingin kita lakukan supaya mutu pendidikan luar bandar dan di bandar bergerak dan meningkat secara seiring,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Kepimpinan dan Transformasi Pendidikan anjuran Yayasan Guru Pelajaran Malaysia (YGPM), di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi YGPM, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pengarah Institut Kepimpinan Pendidikan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Marohaini Yusof.

 

 

Abd Ghafar tidak menafikan wujud jurang mutu pendidikan antara pelajar luar bandar dengan bandar yang berpunca daripadanya banyak faktor.
“Faktor ini pula bukan satu, sebaliknya merangkumi banyak aspek. Sebagaimana program transformasi pendidikan yang ingin dilakukan, kita ingin mencungkil di mana kelemahannya dan cara mengatasinya,” katanya.