Kerajaan salur RM1 juta setahun bantu pendidikan Orang Asli di Kelantan – Bernama


Kerajaan salur RM1 juta setahun bantu pendidikan Orang Asli di Kelantan

27 Januari 2013

GUA MUSANG – Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membelanjakan RM1 juta setahun bagi program kemajuan pendidikan pelajar Orang Asli di Kelantan.

Adun Galas, Ab Aziz Yusof berkata, perbelanjaan itu tidak termasuk bantuan lain berjumlah puluhan juta ringgit setahun yang turut meliputi penyediaan peralatan sekolah dan makanan.

“Kerajaan berbuat demikian kerana mahu melihat pelajar kaum itu lebih maju dan berjaya dalam peperiksaan,” katanya pada majis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2013 kepada Pelajar Sekolah Kebangsaan Pos Hendrop di sini, hari ini.

Ab Aziz yang juga Setiausaha Umno Gua Musang berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi kelas dewasa Orang Asli yang dilaksana di beberapa sekolah berhampiran perkampungan masyarakat itu.

Beliau berkata, kerajaan sanggup berbuat demikian kerana tidak mahu kaum itu terus ketinggalan dalam arus pemodenan negara.

Katanya, bantuan juga sebagai penghargaan kerajaan persekutuan terhadap sokongan kuat mereka kepada Barisan Nasional (BN) pada setiap pilihan raya umum.

“Kita yakin Orang Asli di kawasan pedalaman daerah ini tidak mudah keliru dengan janji pemimpin pembangkang yang ingin melakukan perubahan jika menang kerusi Dun Galas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Mereka harus ingat, selama Pas memerintah Kelantan lebih 20 tahun lalu, tidak ada kemajuan yang dilakukan untuk kaum terbabit, sebaliknya lebih banyak tanah yang dimajukan Orang Asli dirampas sebelum diserahkan kepada syarikat swasta bagi pembangunan ladang sawit,” katanya. – Bernama

RM1 juta jalan kajian pendidikan Orang Asli – Utusan


RM1 juta jalan kajian pendidikan Orang Asli

KUALA LIPIS 21 Jun – Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM1 juta bagi menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan pendidikan Orang Asli dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan kaum itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tanggungjawab itu akan dilaksanakan oleh Pusat Kecemerlangan Pedagogi Pribumi Kebangsaan, Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan di sini.

Katanya, tujuan kajian itu bagi memastikan tidak ada anak-anak Orang Asli yang ketinggalan atau terpinggir dalam arus pendidikan perdana.

“Pendidikan awal dalam kalangan anak-anak Orang Asli turut diberikan perhatian utama oleh kerajaan dalam sistem pendidikan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) supaya kecemerlangan pendidikan masyarakat berkenaan dapat ditingkatkan.

“Dalam konteks meningkatkan pencapaian prestasi sekolah-sekolah Orang Asli, kita akan merangkakan program yang bersesuaian seperti Kelas Bimbingan Khas bagi meningkatkan Literasi dan Numerasi (LINUS).

“Kita juga berharap dapat memberikan pendidikan awal kepada anak-anak Orang Asli dari usia empat dan lima tahun,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap melancarkan Transformasi Pendidikan Orang Asli Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Betau, dekat sini hari ini.

Menurut beliau, program Transformasi Pendidikan Orang Asli yang diumumkan hari ini diharap dapat membawa perubahan pendidikan yang menyeluruh kepada mereka.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti pengangkutan bas dan kenderaan pacuan empat roda bagi membolehkan murid-murid Orang Asli menjalani pelbagai aktiviti persekolahan dengan lebih berkesan.

Sebanyak RM10 juta lagi turut diperuntukkan bagi meningkatkan kebajikan dan keperluan guru-guru termasuk membina serta menaik taraf kediaman mereka yang mengajar di kawasan pedalaman.

Muhyiddin pada majlis itu turut meluluskan peruntukan RM700,000 bagi membaik pulih dan menaik taraf enam buah sekolah Orang Asli di kawasan Parlimen Cameron Highlands.