KONVENSYEN AMALAN TERBAIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PRASEKOLAH KEBANGSAAN 2013 PADA 23 – 27 SEPTEMBER 2013


KONVENSYEN AMALAN TERBAIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PRASEKOLAH KEBANGSAAN 2013 PADA 23 – 27 SEPTEMBER 2013

18 September 2013

Adalah dimaklumkan Bahagian Pembangunan Kurikulum akan menganjurkan Konvensyen Amalan Terbaik Pengajaran dan Pembelajaran Prasekolah Kebangsaan 2013 pada 23 – 27 September 2013. Butiran berkaitan konvensyen tersebut adalah seperti berikut:

Tarikh : 23 – 27 September 2013

Tempat : Hotel Summit, Subang Jaya, Selangor.

Tema : Memacu Pendidikan Prasekolah Melalui Amalan Terbaik.

Tujuan konvensyen : Meningkatkan kualiti guru prasekolah melalui pengajaran dan pembelajaran yang menarik minat murid, kreatif, inovatif dan berkesan.

Perasmian pembukaan oleh:  YB Datuk Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Pendidikan pada 24 September 2013 jam 8.00 malam.

Pupuk murid suka ke sekolah – Sinar Harian


Pupuk murid suka ke sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
17 September 2013
  • Pupuk murid suka ke sekolahMohamad Ariffin bersama tetamu, guru dan murid pada Jamuan Hari Raya Prasekolah SK Paya Pasir.
< 1 / 1 >

CHENOR – Guru prasekolah diingatkan tidak mengambil mudah tugas mereka dalam menyerapkan elemen penting memupuk semangat sayang dan suka ke sekolah dalam kalangan murid.

Adun Chenor, Mohamad Ariffin Awang Ismail berkata, golongan itu memikul tanggungjawab penting bagi memastikan pembelajaran peringkat asas prasekolah berlangsung dengan sempurna.

Menurutnya, landskap pendidikan prasekolah adalah medium memperkembangkan kemahiran literasi untuk berinteraksi dengan rakan sebaya, dewasa, persekitaran dan bahan permainan selain untuk menjana perkembangan holistik.

“Keselamatan murid-murid ini ketika mengikuti pembelajaran termasuk melakukan aktiviti riadah dan permainan perlu diutamakan bagi mengelak insiden tidak diingini.

“Budak-budak biasalah kalau sudah dapat bermain dengan rakan, mereka tidak pedulikan keadaan sekeliling maka pengawasan penuh guru diperlukan,” katanya pada Majlis Jamuan Hari Raya Prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Pasir, di sini.

Hadir sama, Pegawai Prasekolah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Maran, Idzahar Abu Bakar, Guru Besar SK Paya Pasir, Muhammad Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Paya Pasir, Abdul Manan Mamat.

Mohamad Ariffin berkata, jurang perbezaan antara kanak-kanak di bandar dan luar bandar perlu didekatkan supaya mereka dapat menikmati kemudahan pendidikan berkualiti hasil pembangunan dan kemajuan negara.

Menurutnya, bagi memperkasakan pendidikan prasekolah, kurikulum dan garis panduan yang dibuat perlu diikuti semua tadika termasuk tadika swasta.

Manifesto BN: Wujudkan sistem pendidikan terbaik dunia – Bernama


Manifesto BN: Wujudkan sistem pendidikan terbaik dunia

7 April 2013
Manifesto
Manifesto

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) berjanji untuk membawa sistem pendidikan negara ke taraf antara terbaik di dunia dengan memperbaiki kualiti sekolah kebangsaan.

Manifesto BN bertajuk ‘Menepati Janji Membawa Harapan’ yang dilancarkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam ini, berjanji membawa Malaysia ke “tahap kategori tiga teratas” dalam sistem pendidikan terbaik dunia.

Selain itu BN turut menggariskan usahanya dalam membina kecemerlangan pendidikan negara termasuk berjanji untuk memperkasakan Bahasa Inggeris dengan menjadikannya mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta memperbaiki penguasaan bahasa itu dan Bahasa Malaysia dari tahap prasekolah.

Perhatian juga terus akan diberikan untuk meningkatkan prestasi mata pelajaran Sains dan Matematik, selain membentuk kemahiran berfikir yang tinggi di kalangan pelajar, serta mengembangkan persekolahan satu sesi, dan menyediakan makmal ICT di sekolah-sekolah yang memerlukan.

BN juga berjanji menyediakan lebih banyak sekolah, meliputi semua jenis sekolah, di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi, dan menyediakan insentif kewangan sebanyak RM100,000 setahun kepada sekolah yang menawarkan kelas pendidikan khas.

BN juga berjanji untuk menyediakan lebih banyak biasiswa berdasarkan merit dengan peruntukan khas kepada komuniti yang kurang bernasib baik.

Mengenai komuniti kecil dan kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak, BN berjanji memperbaiki akses untuk pendidikan berkualiti di kawasan tersebut, dan memperluaskan pendidikan prasekolah meliputi semua jenis sekolah.

Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), BN berjanji untuk memperkenalkan sistem pembelajaran dan pengajaran yang mudah bagi Bahasa Malaysia di kedua-dua sekolah tersebut.

BN juga akan menukar status SJKT kepada sekolah bantuan penuh kerajaan jika sekolah berkenaan berhasrat berbuat demikian, menurut Manifesto BN.

Selain itu, BN juga berjanji untuk meneruskan peruntukan khas kepada semua jenis sekolah termasuk SKJC, SJKT, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Berasrama Penuh dan sekolah mubaligh.

Bagi guru pula, BN berjanji menyediakan laluan kerjaya baharu kepada 420,000 guru dengan membolehkan mereka dinaikkan pangkat segera berdasarkan prestasi masing-masing.

Juga akan merombak institut-institut perguruan dan menaikkan syarat pengambilan guru pelatih.

BN juga berjanji mentransformasikan sekolah vokasional menjadi kolej dan menambah pelajar sebanyak 20 peratus, serta menyediakan jalur lebar WiFi secara percuma dan terjamin di semua kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Selain itu, juga akan  memperkenalkan skim pemilikan laptop di sekolah-sekolah berasrama dengan kemudahan internet.  – Bernama