PPPM 2013-2025 dirangka dengan teliti dan berlainan – TPM – Utusan


PPPM 2013-2025 dirangka dengan teliti dan berlainan – TPM

 

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN dan KHAIRULANUAR YAHYA

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Kementerian Pendidikan mencipta kelainan dalam penghasilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dengan penggunaan data yang diperoleh daripada kajian kementerian itu, universiti tempatan, Unesco dan juga Bank Negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian juga telah menganalisis semua laporan awal termasuk Laporan Penyata Razak, Laporan Kabinet, Pelan Pembangunan Pendidikan 2000-2012 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan untuk menilai pencapaian negara dalam pendidikan.

Menurut beliau, dengan semua dapatan tersebut, kementerian memulakan perancangan bagi pelaksanaan panjang pelan berkenaan sehingga tahun 2025.

“Jadi setiap perancangan pendidikan yang terkandung dalam PPPM 2013-2025 tidak dibuat secara sewenang-wenangnya malah berdasarklan kepada fakta dan data selain daripada menerima secara positif pendapat yang disuarakan oleh masyarakat keseluruhannya.

“Pelan ini juga memberi tumpuan kepada keberhasilan murid yang melibatkan laluan pendidikan merangkumi pendidikan teknik dan vokasional, pendidikan inklusif, pendidikan agama, pendidikan seni dan sukan yang merangkumi semua pringkat persekolahan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian PPPM 2013-2025 di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan dua Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap serta P. Kamalanathan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut menegaskan, melalui pelan yang turut dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28), kedudukan bahasa-bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah tidak akan dinafikan sama sekali.

“Selain itu, kementerian juga akan terus memartabatkan Bahasa Malaysia dan memberi perhatian utama bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris yang akan dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus SPM menjelang tahun 2016,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_33/PPPM-2013-2025-dirangka-dengan-teliti-dan-berlainan—TPM#ixzz2e7rVGicy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sistem baru jimat masa pembelajaran – Berita Harian


Sistem baru jimat masa pembelajaran

12/09/2012 – 06:32:23 AMCetakEmel Kawan
Murid sekolah rendah, menengah tamat pengajian awal setahun

Pembelajaran pintas yang membenarkan murid pencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dan rendah setahun lebih awal adalah antara cadangan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Murid akan menamatkan pengajian sekolah menengah dalam tempoh empat tahun berbanding lima sekarang, manakala peringkat sekolah rendah hanya setakat lima tahun.

Program kurikulum pintas membolehkan murid menamatkan sekolah menengah dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh empat tahun serta terbabit dalam aktiviti berbentuk memperkaya seperti projek kajian individu.

Murid akan dipilih selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan diuji setiap tahun bagi memastikan program itu berfaedah kepada serta tidak menjejaskan perkembangan diri.

Saring pelajar

Program laluan pintas pula memberi peluang kepada murid menduduki Tahun Satu dan Tahun Dua pada tahun yang sama.

Bagaimanapun, satu saringan akan dilakukan pada peringkat awal Tahun Satu untuk mengenal pasti tahap kepintaran dan kecergasan murid menggunakan ujian standard yang dibangunkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dalam pada itu, dianggarkan 10 hingga 15 peratus murid bakal berjaya melepasi standard ditetapkan bagi kemasukan setiap tahun dan selepas menjalani program, murid dinaikkan ke Tahun Tiga pada tahun berikutnya.

Selain itu, kementerian akan mewujudkan program untuk murid pintar cerdas dan berbakat dalam aspek tertentu seperti matematik, bahasa, muzik dan pendidikan seni.

Program perintis

Ia antara tiga program perintis yang akan dilaksanakan, iaitu dua untuk murid pencapaian tinggi yang berdasarkan kajian dianggarkan hampir 15 peratus daripada populasi murid dan program bagi murid pintar cerdas.

Ketiga-tiga program perintis itu akan diperkenalkan dalam Gelombang Kedua (2016-2020) transformasi PPPM.

Gelombang Pertama

Kementerian akan melaksanakan Gelombang Pertama (2013-2015) dengan dalam tempoh tiga tahun berikut, tanda aras program ditetapkan dengan program pendidikan pintar cerdas terbaik.

Pada fasa terakhir pelan iaitu Gelombang Ketiga (2021-2025), kementerian akan memurnikan rangka kerja ketiga-tiga program rintis pintar cerdas dan berbakat, serta memperluaskannya pada peringkat kebangsaan.