Kerajaan sedia timbang cadangan gabungkan 27 IPGM jadi universiti – Berita Harian


Kerajaan sedia timbang cadangan gabungkan 27 IPGM jadi universiti

2013/09/20 – 12:27:04 PMCetakEmel Kawan
TANJUNG MALIM: Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk menggabungkan 27 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menjadi universiti pendidikan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun cadangan itu memerlukan kajian terperinci bagi menentukan keperluannya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog dengan pelajar dan kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kampus Sultan Azlan Shah Proton City, di sini, sebentar tadi.

Guru lulus temu duga pasti dapat kenaikan – Kosmo


Guru lulus temu duga pasti dapat kenaikan

 

Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
luqman.ridhwan@kosmo.com.my

 

KERAJAAN amat memahami peranan guru dalam pendidikan negara masa kini. – Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Seramai 15,000 orang guru yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dan telah ditemu duga untuk kenaikan gred DG41 sejak dua tahun lalu diminta bersabar dan menunggu surat tawaran kenaikan itu daripada Kementerian Pelajaran.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Zakaria Kasa berkata, masalah tersebut berlaku mungkin disebabkan wujudnya faktor-faktor yang menyumbang kepada kelewatan kenaikan gred berkenaan.

“Memang dua tahun itu suatu tempoh yang boleh disifatkan sebagai lama dan tidak berpatutan, namun, ia terpaksa dihadapi oleh guru berkenaan.

“Mungkin kekurangan kekosongan tempat bagi gred berkenaan menjadi antara punca masalah ini timbul dan apa yang boleh mereka lakukan ialah menunggu sahaja surat tawaran itu tiba,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Lambakan guru sains, matematik akan diatasi – Mohd. Fuad – Utusan


Lambakan guru sains, matematik akan diatasi – Mohd. Fuad

BATU PAHAT 4 Feb. – Kementerian Pelajaran akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memperhalusi dakwaan berlaku lambakan 13,000 guru sains dan matematik di seluruh negara, kesan penurunan pelajar mengambil jurusan sains.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perbincangan juga akan dilakukan bagi mencari formula terbaik bagi mengatasi masalah itu yang harus dilihat secara menyeluruh kerana membabitkan pelbagai faktor termasuk peranan ibu bapa.

“Memang sudah diwujudkan Jawatankuasa Penyelarasan dalam memastikan unjuran pengambilan guru tidak berkurangan mahupun berlebihan tetapi jumlah pelajar yang memilih bidang sains menurun, mungkin menyebabkan berlaku lambakan seperti didakwa.

“Saya tidak pasti ketepatan bilangan lambakan guru seperti yang didakwa itu tetapi dasar kita adalah melahirkan 60 peratus pelajar jurusan sains. Bagaimanapun, kita tak boleh paksa ibu bapa dan anak memilih jurusan sains,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berhubung isu lambakan guru tersebut, baru-baru ini.

Laporan itu berdasarkan ulasan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terhadap taklimat Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa.

Zakaria dilaporkan berkata, berlaku lambakan 13,000 graduan Sains dan Matematik seluruh negara telah dihantar ke UPSI untuk latihan semula.

Sementara itu, Mohd. Puad berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa merangka kaedah proaktif termasuk menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) untuk memastikan minat pelajar dalam bidang Sains dan Matematik meningkat.

“Kementerian sendiri akan terus menggalakkan sekolah dan pelajar menceburi bidang ini selain memperbanyakkan lagi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) aliran Sains dan kelas aliran Sains di sekolah seluruh negara namun, ibu bapa juga perlu memain peranan dan menyemai minat anak mereka.

“Saya juga cadangkan sekolah ambil inisiatif termasuk menubuhkan serta mengadakan pelbagai kelab dan aktiviti berunsur Sains dan Matematik termasuk kelab robotik mahupun menyertai ekspo mahupun lawatan supaya minat pelajar terhadap bidang ini dapat terus dipupuk,” katanya.

UPSI akan tubuh sekolah makmal pertama di Malaysia – Bernama


UPSI akan tubuh sekolah makmal pertama di Malaysia

02/02/2012 7:44pm

 

TANJUNG MALIM 2 Feb. – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini akan menubuhkan sebuah sekolah makmal pertama di Malaysia yang meliputi prasekolah sehingga sekolah menengah secara berperingkat-peringkat bermula pada awal tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, penubuhan sekolah makmal itu berharga RM41 juta mampu memberikan pendedahan dan latihan yang secukupnya kepada penuntut dan siswazah UPSI.

Operasi, kokurikulum dan pengurusan sekolah dalam universiti ini dijalankan sepenuhnya oleh UPSI, katanya kepada pemberita selepas melawat UPSI hari ini.

Beliau berkata, sekolah makmal tersebut diwujudkan yang melambangkan status dan peranan UPSI sendiri sebagai sebuah universiti pendidikan yang tersohor di negara ini.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, sekolah makmal bagi peringkat prasekolah telah dimulakan pada awal tahun ini, tetapi menumpang di sebuah bangunan di UPSI.

“Setakat ini kami mempunyai 70 orang kanak-kanak tadika di sekolah kami dan tahun depan kita akan mulakan peringkat seterusnya satu persatu iaitu peringkat sekolah rendah apabila mereka mula naik ke tahun satu,” katanya. – BERNAMA