Sekolah bantuan kerajaan tidak dipinggir, kata Ka Siong – Bernama


Sekolah bantuan kerajaan tidak dipinggir, kata Ka Siong

16 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah menafikan hak mana-mana sekolah termasuk sekolah bantuan kerajaan untuk menerima peruntukan perbelanjaan mengurus, malah memberi bantuan mencukupi dan konsisten setiap tahun.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata kementerian juga sentiasa cuba mengimbangi keperluan antara sekolah, namun perlu memberi tumpuan lebih kepada sekolah daif terutama yang terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak agar kerja-kerja baik pulih boleh diselesaikan segera.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hamim Samuri (BN-Ledang) di Dewan Rakyat, di sini hari ini, yang mahu tahu kedudukan sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) memandangkan banyak desakan yang menuntut pembelaan kepada sekolah persendirian mutakhir ini.

Mengulas lanjut, Wee berkata sebanyak RM500 juta telah dibelanjakan bagi membaik pulih lebih 8,000 SK dan SMK pada tahun ini dengan RM400 juta lagi diperuntukkan untuk tahun depan.

Menjawab soalan tambahan Wong Ho Leng (DAP-Sibu) sama ada kerajaan bercadang memberi peruntukan tahunan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta Sekolah Mubaligh, Wee berkata bantuan itu diberi secara sistematik sejak tahun 2009 lagi.

“Pada 2009, kita beri SJKC RM50 juta dan SJKT RM50 juta. Disusuli RM50 juta lagi masing-masing untuk kedua-dua jenis sekolah itu tiga bulan kemudian.

“Semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-10, sebanyak RM70 juta peruntukan keseluruhan diberi kepada SJKC dan SJKT bagi tahun 2011-2012,” kata Wee.

Katanya kerajaan telah menambah sebanyak RM100 juta lagi tahun ini untuk memenuhi beberapa keperluan mendesak, manakala RM100 juta diperuntukkan bagi tahun 2013.

Menjawab soalan asal Wong, Wee berkata 60 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina yang ada di negara ini merupakan institusi pendidikan swasta dan tidak terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran termasuk penyediaan peruntukan. – Bernama

Keyakinan terhadap pelajar pendidikan khas masih di tahap rendah – Sinar Harian


Keyakinan terhadap pelajar pendidikan khas masih di tahap rendah

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2012

KOTA BHARU – Keyakinan orang ramai terhadap keupayaan pelajar-pelajar pendidikan khas di negeri ini masih rendah menyebabkan golongan itu tidak mendapat peluang pekerjaan yang baik.

Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Negeri, Nasrudin Talib berkata, terdapat pemilik syarikat enggan memberi peluang kepada golongan iitu walaupun mereka diberi latihan sewajarnya.

“Jabatan sentiasa berusaha memastikan pelajar-pelajar pendidikan khas ini boleh menjalani dan mengurus kehidupan mereka dengan membekalkan kemahiran- kemahiran tertentu, cuma masalahnya orang kita tak berapa nak ambil golongan ini,”katanya.

Nasrudin berkata demikian kepada Sinar Harian selepas merasmikan Kursus Pendedahan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Khas Terkini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji di sini, semalam.

Hadir sama, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Bahagian Pendidikan Khas Pejabat Pelajaran Daerah Kota Bharu, Mohd Rusli Hasbullah, dan Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar sekolah itu, Ismail Awang.

Beliau berkata, pihaknya merayu pemilik syarikat di negeri ini agar tidak meminggirkan pelajar- pelajar istimewa yang sudah dilatih dengan pendekatan paling baik.

“Kita sudah ajar mereka bergaul, tetapi tidak ramai yang mengambil mereka bekerja, hanya ada seorang atau dua sahaja diberi kepercayai itupun dalam tugas- tugas yang maksima seperti telefonis bagi yang menghadapi masalah penglihatan,”katanya.

Mengulas mengenai kesedaran ibu bapa dalam memberi pendidikan kepada anak- anak istimewa ini, Nasrudin berkata, ia agak memberansangkan apabila pelbagai pendekatan dilakukan termasuk menjelaskan kepentingan pendidikan itu difahami dan diterima baik.

“Kesedaran ibu bapa, bagus, apabila kita adakan ‘promosi’ dengan kerjasama Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), kita jelaskan keperluan anak- anak itu dibawa ke sekolah supaya boleh mengurus diri dan meningkatkan keyakinan, ramai yang mula membuka minda,”katanya.

Sehingga kini hampir 4, 000 pelajar pendidikan khas mengikuti pengajian di lebih 120 sekolah di negeri ini dengan bimbingan lebih 700 guru.