Calon SPM dibenar ambil 12 subjek – Berita Harian


Calon SPM dibenar ambil 12 subjek

Pelajar diberi kelonggaran ambil dua mata pelajaran tambahan

Kuala Lumpur: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberi kelonggaran mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan menjadikan jumlah keseluruhan dibenarkan adalah 12 subjek.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, berkata dasar mengehadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran dalam SPM diperkenalkan mulai 2010 lagi.

Wajib ambil mata pelajaran teras

“Calon wajib mengambil mata pelajaran teras bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai dasar mengehadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran kekal bagi memastikan calon fokus dengan mata pelajaran teras.

Abd Ghafar berkata, calon boleh menambah dua mata pelajaran elektif antaranya Kesusasteraan Cina, Kesusasteraan Tamil, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Tasawwur Islam dan Pendidikan Seni Visual.

“Perkara itu termaktub dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.1/2010 Pelaksanaan Dasar Mengehadkan Jumlah Maksimum Sepuluh (10) Mata Pelajaran dan Penambahan Dua (2) Mata Pelajaran Tambahan dalam Peperiksaan SPM (No. Ruj: KP(BPSH-SPDK)201/005/01/(37)) bertarikh 13 Januari 2010.
“Pelaksanaan dasar ini diguna pakai untuk peperiksaan SPM sejak ia diluluskan pada 2010,” katanya.

KP Pelajaran perjelas jumlah mata pelajaran SPM – Bernama


KP Pelajaran perjelas jumlah mata pelajaran SPM

14 Mac 2013

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran hari ini menjelaskan pelaksanaan dasar mengehadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah ditetapkan sejak 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata di samping itu, calon diberi kelonggaran mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan yang menjadikan jumlah keseluruhan subjek yang boleh diambil 12.

“Dua mata pelajaran tambahan itu mestilah dipilih daripada mana-mana mata pelajaran yang telah disenaraikan dalam peperiksaan SPM, kecuali mata pelajaran teras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Calon hendaklah mengambil enam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral.

Menurut kenyataan itu, calon boleh membuat pilihan untuk mengambil mana-mana mata pelajaran elektif yang ditawarkan sehingga maksimum 10 mata pelajaran.

“Dan kelonggaran diberi kepada calon untuk menambah dua mata pelajaran elektif, antaranya Kesusasteraan Cina, Kesusasteraan Tamil dan Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Tasawwur Islam dan Pendidikan Seni Visual,” kata Abdul Ghafar.

Beliau mengulas laporan sebuah media tempatan bertajuk ‘SPM 10-Subject Limit Stays’ yang disiarkan 10 Mac lalu. – Bernama

Maidam tawar pelajar cemerlang SPM belajar perubatan di Jordan – Bernama


Maidam tawar pelajar cemerlang SPM belajar perubatan di Jordan

31 Mac 2012

BESUT – Fatin Hamimi Abdullah, 17, pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 Terengganu yang memperoleh 11A+ ditawar mengikuti pengajian Ijazah Kedoktoran di bawah Program Sakit Puan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Jika menerima tawaran itu, Fatin Hamimi dari SMKA Nurul Ittifaq, Kuala Besut, akan memulakan pengajian di Universiti Sains Teknologi Jordan pada September ini.

Surat tawaran itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman kepada Fatin Hamimi di rumahnya di Kampung Gong Manak, Kuala Besut di sini hari ini.

Anak kedua daripada enam beradik pasangan guru itu memperolehi A+ dalam Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Al-Sunnah dan Al-Quran, Pendidikan Syariah Islamiah dan Bahasa Arab Tinggi.

Pelajar itu akan diminta mengikuti kursus permulaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Kuala Terengganu selama sebulan dari 4 Jun hingga 5 Julai sebelum berlepas ke Jordan pada September.

Wan Harujan berkata pihaknya memilih pelajar itu setelah mendapatinya seorang yang konsisten dengan pencapaian cemerlang semasa ujian akhir di sekolah sehinggalah keputusan SPM sebenar.

Katanya, Fatin Hamimi antara tiga pelajar dari negeri ini yang ditawarkan  mengikuti kursus tersebut sebagai usaha kerajaan negeri untuk melahirkan anak tempatan yang pakar dalam bidang sakit puan.

Menurutnya, ini kali kedua Maidam menawarkan peluang itu dengan kumpulan pertama tiga pelajar cemerlang SPM telah menerima tawaran sama tahun lalu.

Sementara itu, Fatin Hamimi yang terkejut dengan tawaran itu berkata dia bersyukur kerana terpilih untuk mengikuti kursus perubatan di Jordan sebagaimana yang dicita-citakannya selama ini.

Dia berjanji akan melakukan yang terbaik dan berharap merealisasikan hasratnya menjadi pakar sakit puan yang dapat memberi khidmat kepada golongan memerlukan. – Bernama