Guru melampau percakapan berbaur lucah
19 Julai 2013
BANDARAYA MELAKA – Kerajaan negeri sedang menyiasat dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap seorang guru sebuah sekolah rendah di negeri ini yang didakwa mengeluarkan percakapan berbaur lucah terhadap muridnya baru-baru ini.
Exco Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Md Yunos Husin berkata, semua aduan itu akan disiasat dengan teliti bagi memastikan kesahihan sebelum sebarang tindakan dibuat.
“Sekiranya hanya seorang murid membuat dakwaan itu, mungkin ia tidak tepat. Tetapi dalam kes ini, terdapat beberapa dakwaan sama dibuat ibu bapa, sekaligus menunjukkan seriusnya masalah ini.
“Apapun, kerajaan negeri berjanji akan menyiasat dakwaan ini dengan teliti dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya di sini semalam.
Md Yunos berkata demikian merujuk kepada dakwaan ibu bapa berkaitan seorang guru lelaki mengeluarkan kenyataan berbaur lucah dengan merujuk kepada alat sulit masing-masing terhadap murid lelaki darjah satu dan dua di sekolah berkenaan.
Berikutan kejadian itu, difahamkan ibu bapa beberapa murid sudah membuat laporan kepada Jabatan Pelajaran Negeri.
Malah, Md Yunos berkata, beliau turut menerima beberapa pesanan ringkas (SMS) dari ibu bapa terbabit yang memaklumkan mengenai tindakan guru berkenaan.
“Kita sama sekali tidak boleh perbuatan sebegini. Kalau murid degil sekalipun, ada cara lain untuk menghukum mereka, bukannya cara begini,” katanya.