Rogol dalam kelas kosong – Sinar Harian


Rogol dalam kelas kosong

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 April 2012

REMBAU – Seorang pengawal keselamatan dikesan rakan sejawatnya melakukan kegiatan tidak bermoral bersama ­seorang pelajar asrama di ­sebuah kelas kosong, di sini, 16 April lalu.

Sumber yang tidak mahu dikenali berkata, pada hari kejadian, suspek berusia 28 tahun dan dua lagi pengawal keselamatan seperti biasa meronda kawasan sekolah berkenaan dan salah seorang menyedari suspek tidak balik ke pos kawalan.

Menurutnya, risau dengan keadaan itu, mereka mencari suspek di kawasan sekolah itu dan terperanjat apabila menemui suspek di dalam kelas kosong kira-kira jam 6.15 petang bersama seorang pelajar perempuan tingkatan lima.

“Susulan penemuan berkenaan, pelajar perempuan itu yang juga tinggal di asrama sekolah berkenaan mendakwa telah dirogol suspek di kelas kosong berkenaan. Rakan sejawatnya yang terkejut bergegas menghubungi polis bagi tindakan selanjutnya.

“Manakala, pihak sekolah pula memaklumkan insiden memalukan ­itu kepada ibu pelajar perempuan itu dan membuat laporan polis pada hari sama kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian itu dan suspek kini ditahan ­reman dari 16 hingga 23 April ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh di­hukum penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Bapa kesal anak hampir tertelan skru besi dalam roti – Utusan


Bapa kesal anak hampir tertelan skru besi dalam roti

PULAU PINANG 15 Feb. – Bapa seorang pelajar di sebuah sekolah menengah asrama penuh di sini mendakwa anaknya hampir tertelan sebatang skru besi ketika menikmati roti ban yang diedarkan sekolah berkenaan.

Anuar Abu Kassim, 49, berkata, kejadian berlaku pada 11 Februari lalu ketika sekolah itu mengadakan aktiviti merentas desa dan semua pelajar diberikan roti ban berkenaan sebelum acara bermula.

Menurut beliau, anaknya Nurul Ain telah memberitahu guru sekolah mengenai penemuan skru besi dalam roti itu.

“Sebagai seorang bapa, saya amat dukacita kerana kejadian ini boleh menyebabkan kehilangan nyawa anak saya.

“Saya bukan mahu meminta sebarang ganti rugi, namun sebagai seorang pengguna saya memandang serius pekara ini kerana ia melibatkan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan pengguna,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Anuar, dia telah dihubungi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dua hari lalu mengenai kedatangan wakil syarikat pengeluar roti tempatan ke sekolah berkenaan.

“Wakil syarikat terbabit dikatakan tidak mahu perkara ini diperbesarkan dan telah mengambil roti dan skru tersebut untuk tujuan penyelidikan. Keputusan penyelidikannya hanya dimaklumkan kepada pihak sekolah pada 20 Februari ini,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan tindakan sekolah yang tidak memaklumkan pertemuan tersebut dengannya.

Anuar berkata, dia berharap agar insiden seperti itu tidak berlaku pada masa hadapan dan berharap pengeluar roti berkenaan lebih bertanggungjawab.

Sementara itu, Nurul Ain memberitahu, ketika menikmati roti berperisa coklat itu, dia tergigit benda keras.

“Apabila diteliti saya mendapatinya ia sebatang skru. Saya bernasib baik tidak menelan skru itu kerana jika tertelan saya tidak tahu apa yang akan terjadi,” katanya.

2 beranak lemas, seorang hilang – Utusan


2 beranak lemas, seorang hilang

 

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

 

KUANTAN 12 Feb. – Seorang anggota polis dan anak tirinya mati lemas manakala seorang lagi masih hilang ketika mandi di pantai Kampung Cherating di sini semalam.

Mangsa, Lans Koperal Mohd. Asri Khamis, 28, yang bertugas di Balai Polis Mentakab dekat sini ditemui orang ramai terdampar pada pukul 6.50 petang semalam, iaitu kira-kira tiga kilometer dari tempatnya mandi.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Hasryzam Hasri, 15, yang merupakan anak tiri mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat di pantai itu pukul 3 petang tadi manakala adiknya, Muhammad Hairulnizam Hasri, 14, masih hilang.

Menurut isteri mangsa, Norsaharulizam Osman, 32, anak-anaknya begitu teruja berkelah di pantai sebaik sahaja sampai di pusat peranginan itu pada pukul 4.15 petang.

“Saya dan suami memantau mereka berdua yang mandi dari pantai, namun apabila melihat mereka semakin jauh, suami segera turun ke laut untuk memanggil mereka.

“Saya sempat lihat suami bersama-sama mereka (anak-anak) melambai ke arah saya menyatakan seronok bermandi-manda,” katanya ketika ditemui pemberita di pantai berkenaan di sini.

Norsaharulizam yang juga suri rumah berkata, ketika kejadian, dia membawa dua anaknya, Siti Nurafzani Hasri, 11, dan Nurul Nabila Natasha Mohd. Asri, 6, mandi di tandas berhampiran.

“Kira-kira pukul 6 petang saya lihat mereka (suami dan dua anak) tiada di laut manakala pengunjung lain mula naik ke darat.

“Pada masa sama, saya dikejutkan dengan orang ramai yang gempar penemuan mayat seorang lelaki dan sejurus saya dimaklumkan beberapa ciri mayat tersebut, sah ia adalah suami saya,” jelasnya.

Katanya, dia tidak menyangka cuti hujung minggu keluarganya di pantai itu berakhir dengan tragedi kerana pada mulanya suaminya enggan ke pantai Teluk Chempedak kerana menyatakan kawasan itu berbahaya.

“Suami sendiri memilih ke Cherating kerana beranggapan pantai berkenaan selamat untuk mandi terutama bagi kanak-kanak,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Mohd. Yusuff berkata, mayat mangsa ditemui terdampar oleh peronda pantai dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

“Mangsa disahkan lemas dan selamat dikebumikan di kampungnya di Jeniang, Kedah kira-kira pukul 12 tengah hari hari ini.

“Operasi mencari dan menyelamat seorang ahli keluarga mangsa diteruskan membabitkan 157 anggota daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Pasukan Gerakan Marin,” katanya.