Pendidikan bertaraf dunia – Metro


Pendidikan bertaraf dunia

 1  1 Google +0  0  0

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Suraya Roslan

Nilai: Guru di negara ini perlu memiliki wawasan unggul untuk mentransformasikan pelbagai aspek pendidikan, berpemikiran aras tinggi dan mampu berinovasi bagi melaksanakan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap bertaraf dunia.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi menyahut hasrat itu, guru perlu sentiasa berusaha meningkatkan keberhasilan sekolah dan murid.
“Saya akur guru selama ini memang berakauntabiliti dalam meningkatkan pencapaian murid dan kejayaan sekolah. Namun, akauntabiliti terhadap keberhasilan operasi sekolah masing-masing perlu terus dipertingkat kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini persaingan menjadi semakin sengit.

 

“Kebolehan kita untuk bersaing bergantung kepada kelebihan daya saing kita yang ditentukan oleh kemampuan minda dan keupayaan berfikir pada aras tinggi (KBAT),” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi Malaysia berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-42 di Stadium Tertutup Nilai, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I Datuk Mary Yap, Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II P Kamalanathan, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

 

FotoMUHYIDDIN bersalam dengan tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-42 di Stadium Tertutup Nilai, malam tadi sambil diiringi Mohamad.

Muhyiddin berkata, aspek pendidikan guru menjadi agenda utama kementerian bagi pemerkasaan guru melalui latihan berterusan dan untuk itu Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD) baharu dan pengkalan data pengesanan CPD bertujuan memantap dan mengukuhkan ilmu pengetahuan akan dilaksanakan.
Katanya, demi memartabatkan profesion keguruan, kerajaan turut menggariskan beberapa inisiatif untuk meningkatkan taraf guru. “Melalui PPPM 2013-2025, pelan menaik taraf profesion keguruan dirangka supaya 420,000 guru berpeluang dinaikkan pangkat berdasarkan prestasi,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Nasib 10,200 graduan pendidikan diketahui 28 September ini – Bernama


Nasib 10,200 graduan pendidikan diketahui 28 September ini

13/09/2012 – 17:57:02 PMCetakEmel Kawan
NILAI: Nasib 10,200 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang sehingga kini masih belum ditawarkan pekerjaan sebagai guru akan diketahui pada pembentangan Belanjawan 2013, 28 September ini.

Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua graduan terbabit diharap dapat bersabar kerana kedudukan mereka sebagai guru akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada hari itu.

“Ada timbul isu masalah pengangguran bagi graduan pendidikan kerana selepas menamatkan pelajaran dan memperoleh ijazah, mereka tidak ditawarkan pekerjaan di Kementerian Pelajaran.

“Bagaimanapun, kita sudah dimaklumkan masalah ini dan jalan penyelesaian sudah diambil namun ia hanya akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada Belanjawan nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Politeknik Nilai di sini, hari ini.

Ditanya sama ada Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik untuk graduan berkenaan, Mohamed Khaled berkata beliau sendiri tidak mengetahuinya, namun berharap ia adalah khabar gembira kepada graduan terbabit.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata kementeriannya kini dalam usaha untuk memantapkan mutu program pengajian di politeknik iaitu dengan menawarkan lebih banyak program pengajian peringkat ijazah.

Katanya, pada tahun ini, politeknik menawarkan lebih 10 program pengajian peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan dan menerima 12,000 permohonan daripada pelajar.
“Program pengajian ijazah ini dilaksanakan sama ada secara berkembar dengan institusi lain, secara anugerah bersama dengan institusi lain yang setara atau program pengajian yang dibangun dan dilaksana sendiri oleh politeknik.

“Apabila jumlah program peringkat ijazah sudah banyak, berkemungkinan kita akan mempertimbang mana-mana Politeknik untuk diangkat menjadi Kolej Universiti atau Universiti,” katanya.

– BERNAMA