Jurulatih pengakap hadapi 2 lagi tuduhan cabul – Sinar Harian


Jurulatih pengakap hadapi 2 lagi tuduhan cabul

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mac 2012

KUALA LUMPUR – Seorang jurulatih pengakap menghadapi dua lagi tuduhan mencabul pelajar-pelajarnya berusia 13 dan 14 tahun yang diletakkan di bawah penyeliaannya.

Ho Lee Fong, 44, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pagi ini dan meminta agar dia dibicarakan.

Dia dituduh mencabul dua pelajar di sebuah bilik di Sunway SPK Damancara di sini awal Jun lalu.

Pada 1 Mac lalu, Lee Fong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencabul lapan pelajar.

Laporan media bulan lalu menyebut jurulatih itu yang diberi tanggungjawab melatih 300 ahli Pergerakan Pengakap sebuah sekolah menengah, didakwa mencabul lebih 10 pelajar perempuan dengan memegang dada, kemaluan dan punggung mangsa.

Difahamkan, lelaki terbabit dipertanggungjawabkan melatih pelajar berusia antara 13 dan 14 tahun di sekolah berkenaan sejak 2008.

Perbuatan itu terbongkar 8 Februari lalu selepas seorang mangsa dicabul mengadu kepada bapanya sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara.

Tiada istilah tidak sengaja – Metro


Tiada istilah tidak sengaja

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Tidak puas hati dan mahu tindakan susulan. Berikutan penafian jurulatih pengakap sebuah sekolah menengah di sini mencabul lebih 10 pelajar perempuan di bawah pengawasannya ketika menjalankan latihan fizikal, tiga pelajar tampil sekali lagi membuat laporan polis, semalam.

Jurulatih dikenali sebagai Hoo, 44, Khamis lalu, mengadakan sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Selangor menafikan dakwaan dia mencabul selepas pelajar terbabit membuat laporan polis dan kes disiarkan akhbar pada hari sama.
Bagaimanapun, seorang bapa dikenali Leong, 40-an, yang tidak puas hati dengan kenyataan jurulatih itu, menemani anak gadisnya berusia 14 tahun membuat laporan sekali lagi di Balai Polis Bandar Sri Damansara, di sini.

 

“Saya mahu polis mengambil tindakan terhadap Hoo dan kes ini disiasat seadil-adilnya. Anak perempuan saya mendakwa pernah dicabul enam bulan lalu ketika mengikuti latihan di sekolahnya.
“Namun, dia tidak menceritakan kejadian itu kerana menyangka jurulatih terbabit tidak sengaja. Namun selepas bercerita dengan beberapa rakan lain dan mereka juga mendakwa diperlakukan sedemikian, baru mereka sedar jurulatih itu sengaja melakukannya,” katanya.
Sebelum itu, Leong dilihat masuk ke balai polis berkenaan bersama isteri dan anak perempuannya pada jam 9.30 pagi sebelum keluar semula sejam kemudian.

 

 

Leong berkata, sebaik anak perempuannya menceritakan kejadian itu kepadanya, dia dan isteri membawanya membuat laporan pada 8 Februari lalu.
“Saya percaya jurulatih itu sengaja mencabul anak perempuan saya dan pelajar lain. Tiada istilah tidak sengaja apabila perbuatan memalukan itu dilakukan kepada ramai pelajar dan berulang kali.

 

“Laporan polis kedua ini dilakukan untuk menuntut keadilan dan mahu siasatan diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima tiga laporan daripada tiga pelajar di sekitar daerahnya, semalam.

Anak malu ke sekolah – Metro


Anak malu ke sekolah

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Jurulatih pengakap sebuah sekolah menengah di sini menafikan dakwaan laporan akhbar yang menyatakan dia mencabul lebih 10 pelajar perempuan di bawah pengawasannya ketika sedang menjalankan latihan fizikal.

Jurulatih dikenali sebagai Hoo, 44, berkata, dia tidak tahu bagaimana tuduhan itu timbul sedangkan dia sudah menjadi jurulatih lebih 20 tahun membabitkan pelajar sekolah sama ada lelaki atau perempuan.
“Saya tidak tahu motif keluarga pelajar terbabit membuat tuduhan ini sedangkan saya tidak melakukan perkara itu,” katanya ketika ditemui di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Negeri Selangor di sini, semalam.

 

Hoo berkata, dia kesal dengan tindakan keluarga pelajar itu yang tidak bertanya kepadanya perkara sebenar sehingga membuat laporan polis yang menjatuhkan maruah keluarganya.
“Isteri dan anak-anak berada dalam keadaan tertekan akibat pandangan serong masyarakat terhadap saya yang kononnya lelaki tidak bermoral.
“Lebih mengecewakan, anak saya enggan ke sekolah hari ini (semalam) kerana malu untuk berdepan dengan rakan dan guru yang mengetahui perkara itu melalui laporan akhbar,” katanya.

 

 

Sementara itu Ketua Biro Biro Pengaduan Awam MCA Negeri Selangor, Datuk Theng Book berkata, pihaknya membantu jurulatih terbabit dengan meminta dia tampil membuat sidang akhbar sebagai bukti dia tidak bersalah.
Katanya, pengakuan itu bertujuan membersihkan nama keluarga jurulatih itu yang kini tertekan akibat dipandang serong masyarakat.

 

“Jurulatih itu sudah memberi keterangan kepada polis dan kami serahkan kepada mereka untuk siasatan lanjut. Sebarang tindakan susulan akan dibuat sebaik laporan penuh siasatan itu dikeluarkan,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan seorang jurulatih mencabul lebih 10 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah yang menyertai Pergerakan Pengakap dengan memegang buah dada, kemaluan dan punggung mangsa.
Difahamkan, lelaki itu dipertanggungjawabkan melatih pelajar berusia 13 dan 14 tahun di sekolah berkenaan sejak 2008 dan mula melakukan perbuatan keji itu penghujung tahun lalu.