PPPM: Pengambilan guru kalangan 30% graduan terbaik – Bernama


PPPM: Pengambilan guru kalangan 30% graduan terbaik

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Profesion keguruan akan menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30 peratus terbaik dalam negara dalam usaha mentransformasi profesion itu menjadi profesion pilihan.

Ini bermakna Kementerian Pendidikan akan meninggikan syarat kelayakan kemasukan ke profesion keguruan bagi memastikan semua guru yang mengikuti setiap latihan perguruan memenuhi syarat minimum kelayakan akademik.

Kementerian turut berhasrat untuk mengubah Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada universiti latihan guru bertaraf dunia menjelang 2020 dan menilai semula kurikulum latihan praperkhidmatan semasa bagi memastikan guru bersedia untuk mengajar kemahiran berfikir aras tinggi yang diperlukan murid.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mulai tahun ini, guru akan menerima program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi membantu guru mencapai potensi penuh.

Program CPD itu termasuk latihan komponen teras dan elektif mengikut keperluan pembangunan diri yang akan diberi latihan secara individu daripada penyelia masing-masing.

Pelan itu turut menyebut, guru boleh memilih laluan kerjaya yang menarik berdasarkan prestasi, potensi dan minat mereka, sama ada memilih untuk menjalankan tugas kepimpinan atau menjadi guru pakar.

Selain itu, guru juga akan dinilai secara tahunan oleh pengetua atau guru besar dengan menggunakan input yang mungkin diberikan oleh rakan sejawat dan menggunakan instrumen penilaian baharu yang memberi tumpuan kepada keupayaan guru menyampaikan pengajaran secara berkesan di dalam dan luar bilik darjah.

Dalam memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah, kementerian akan menukar kriteria pemilihan pengetua dan guru besar daripada pemilihan berasaskan tempoh perkhidmatan kepada pemilihan yang berfokuskan kecekapan kepimpinan.

Setiap pengetua atau guru besar juga dikehendaki mendapatkan sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) daripada Institut Aminuddin Baki sebelum boleh dilantik.

Pengetua dan guru besar yang bakal dilantik juga akan mengikuti program pementoran selama satu bulan di bawah bimbingan pengetua dan guru besar yang akan berpindah dan bersara.

Dalam pada itu, kementerian akan memastikan 100 peratus sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas menjelang 2015, bermula dengan Sabah dan Sarawak bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, bersih dan kondusif.

Kementerian juga akan melaksanakan prinsip asas yang telus dan saksama dalam pengagihan kewangan dan sokongan lain kepada semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

Bagi memanfaatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam meningkatkan kualiti pembelajaran, kementerian menyediakan akses Internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui iBestariNet bagi kesemua 10,000 sekolah menjelang tahun ini.

Perpustakaan video pengajaran oleh guru cemerlang akan diwujudkan supaya guru boleh menggunakan sumber ini bagi mendapatkan idea dan murid pula dapat menjadikannya sebagai alat ulang kaji. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_29/PPPM-Pengambilan-guru-kalangan-30-graduan-terbaik#ixzz2e7rqcSrS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sasaran tiga guru J-Qaf di sekolah rendah menjelang 2016 – Bernama


Sasaran tiga guru J-Qaf di sekolah rendah menjelang 2016

2013/05/19 – 18:33:16 PMCetakEmel Kawan
KOTA BHARU: Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi dijangka dapat memenuhi sasaran menempatkan sekurang-kurangnya tiga guru program pendidikan Jawi, al-Quran, Bahasa Arab, Fardu Ain (J-Qaf) di semua sekolah rendah di seluruh negara menjelang 2016.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam kementerian itu, Abdullah Md Din, berkata sasaran itu boleh dicapai apabila terdapat lebih 20,000 guru J-Qaf mulai tahun ini.

Menurut Abdullah hasil kajian bahagiannya mendapati sejak kementerian memperkenalkan pengambilan guru J-Qaf pada 2006, sebanyak 90 peratus murid mencapai matlamat penguasaan pendidikan Islam dalam penulisan, bacaan jawi, bacaan al-Quran dan fardu ain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Karnival Kesenian Standard Sekolah Rendah di Sekolah Kebangsaan Islah, di sini, hari ini. – BERNAMA

e-mel anda: Gaji beli tiket aje! – Metro


e-mel anda: Gaji beli tiket aje!

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SAYA adalah guru J-QAF (Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain) kohort 2006 dan sudah tujuh tahun mengajar di kawasan luar bandar di Sarawak.

Saya sudah berkahwin pada 2008 dan mempunyai seorang anak serta bakal menimbang cahaya mata kedua.

Saya memohon perpindahan sebanyak tujuh kali dan mengemukakan rayuan setiap kali gagal serta bertungkus-lumus bekerja keras untuk bertukar ke Kedah/Perlis mengikut suami.

Saya juga sanggup berulang- alik dari Sarawak-Putrajaya-Kedah untuk membuat rayuan, tetapi semuanya gagal.

 
Saya ingin bertanya kepada Kementerian Pelajaran sama ada kementerian itu tiada usaha menyelesaikan masalah kami guru J-QAF.

Sedangkan pada masa sama kemasukan dan pengambilan guru J-QAF masih diteruskan bahkan kemasukan baru dihantar di kawasan berdekatan dan di Semenanjung, tetapi kami guru yang dihantar ke Sarawak dan berjauhan daripada suami dibebankan dengan kudrat yang tak seberapa ini dengan masalah mental dan fizikal.

Saya seorang ibu, menjadi ibu dan bapa kepada anak kecil yang sering bertanyakan bapanya, seorang isteri yang tidak menjalankan tanggungjawab kepada suami dengan sempurna, seorang anak tidak dapat menabur bakti menjaga orang tua kerana tanggungjawab dan komitmen menjadi seorang guru yang memberi ilmu tanpa mengira kudrat untuk mendidik anak bangsa, menjunjung amanat negara, merealisasikan impian ibu bapa dan murid.

Tetapi dalam hati terseksa, merintih dengan peraturan yang digariskan kementerian.

Tidak kasihankah kementerian melihat kami bertungkus-lumus mencari duit, tetapi hanya untuk membayar tiket kapal terbang kerana berulang- alik menunaikan permintaan suami supaya pulang.

Sayu melihat air mata anak yang merindui bapanya, sayup hati mendengar orang tua bertanya khabar dan memohon agar bersabar atas ujian Allah.

Terbit hajat di hati untuk berhenti menjadi guru, tetapi tidak tahu nasib diri di masa hadapan, kewajipan membantu ibu bapa yang banyak berjasa membesarkan diri dengan membantu membiayai kos pengajian adik-adik, membayar ansuran rumah dan hutang belajar.

Semua itu akan menjadi bebanan kalau saya mengambil jalan singkat untuk berhenti kerja. Masalah ini mesti ada jalan penyelesaiannya.

Kemasukan guru baru boleh menggantikan tempat kami. Jika alasan yang sama saja diberi pihak kementerian, masalah kami tak akan dapat diselesaikan.

Padahal guru pendidikan Islam dan guru akademik biasa pun tidak dibebankan dan tidak perlu mencari pengganti yang sama.

Sampai bila kehidupan saya dan anak-anak akan berterusan sebegini kerana ia bukan setahun dua, malah sudah masuk tahun keempat perkahwinan, tetapi masih berjauhan menyebabkan saya semakin tertekan.

Saya sejujurnya menggembleng tenaga membantu murid saya untuk berjaya dalam bidang bacaan al-Quran, sehingga kelas al-Quran percuma pun saya jalankan.

Tanda cintanya saya pada profesion keguruan dan melaksanakan impian kementerian, cuma saya amat berharap kementerian dapat menepati perjanjian yang ditandatangani dulu bahawa tempoh genap lima tahun akan layak bertukar.

Bukan ingin mengeluh dengan apa yang sudah ditakdirkan, tetapi saya ingin sifat adil dan ketelusan dalam meluluskan pertukaran.

MUSLINA
Lundu
Sarawak